aDs

aluan

Followers

Friday, November 11, 2011

Ninja rompak emas di teksi


MIRI: Empat perompak, tiga daripadanya bertopeng ala ninja mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan tiga beg berisi barang kemas bernilai RM2 juta daripada tiga penumpang teksi dalam rompakan berhampiran lampu isyarat ke Lapangan Terbang Miri, semalam.

Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa lelaki berusia antara 39 hingga 59 tahun dari Kuala Lumpur, meninggalkan hotel penginapan dan menaiki teksi ke lapangan terbang sambil membawa contoh barang kemas ditempah dan dijual kepada peniaga di sekitar bandar raya ini, jam 3 petang.

Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua kilometer dari lapangan terbang berkenaan, teksi dinaiki mangsa dipintas perompak bersenjatakan kayu dan pisau yang memecahkan cermin kenderaan itu.

Menurutnya, seorang daripada penjenayah terbabit nekad merampas kunci teksi itu, membuka but kereta dan mengambil beg berisi barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan Proton Wira berwarna perak.

“Difahamkan, ketiga-tiga mangsa sering berulang- alik dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini bagi menjalankan urusan menjual barang kemas kepada peniaga di sini,” katanya.

Pemandu teksi yang mahu dikenali Kong Tsung, 40-an, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat mengecam kenderaan digunakan perompak terbabit.

Menurutnya, dia tidak menyedari perompak terbabit mengekori teksinya ketika mengambil tiga penumpang berkenaan di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Saya terkejut apabila teksi saya tiba-tiba dipintas berhampiran lampu isyarat oleh tiga lelaki bersenjata pisau. Seorang daripada mereka kemudian mengugut mencederakan saya jika tidak mahu menyerahkan kunci kenderaan.

“Saya melihat seorang daripada lelaki berada di dalam kenderaan, manakala tiga lagi rakan mereka yang memakai topeng ala ninja nekad memecahkan cermin teksi saya sebelum mengambil beg dipercayai milik tiga penumpang terbabit di dalam but,” katanya.

Kong Tsung berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya sepanjang lebih 10 tahun menyara keluarga dengan memandu teksi di sekitar bandar raya itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. - myMetro


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat