aDs

aluan

Followers

Sunday, November 21, 2010

Bomoh 18 tahun puja kubur di Tumpat?

TUMPAT 20 Nov. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) digesa bertindak segera ke atas seorang lelaki dan bomoh berusia 18 tahun yang dikatakan menggunakan sebuah kubur sebagai tempat pemujaan.

Kedua-duanya difahamkan membina sebuah pondok berwarna kuning sepanjang tiga meter dan lebar dua meter dengan berlantaikan mozek serta beratap daun nipah sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk kampung.

Seorang mangsa bomoh itu, Che Roslina Che Othman, 42, mendakwa, dia telah membuat enam laporan polis di Kelantan termasuk satu di Terengganu terhadap bomoh berkenaan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Che Roslina juga mendakwa kerugian melebihi RM5,000 kerana terlalu taksub terhadap bomoh yang memakai nama 'Yang Mulia Tengku Mohd. Faris' itu.

"Saya telah diperkenalkan dengan bomoh itu melalui seorang kawan selepas kami sekeluarga mengalami sakit misteri, semasa berubat saya melihat sendiri dia pergi ke kubur itu untuk memuja.

"Dia membuat pelbagai permintaan tetapi saya bernasib baik kerana sebuah rumah, kereta dan geran tanah yang diberikan kepada bomoh berkenaan dapat diambil kembali baru-baru ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di tanah perkuburan itu mendapati dua payung berwarna kuning dipasang di atas kubur yang ditabur dengan pelbagai jenis bunga, selain terdapat sebentuk cincin dan tasbih bersaiz besar di atas kubur berkenaan.
Kesemua peralatan itu dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Su, 70, berkata, dia pernah melarang lelaki terbabit daripada membina pondok tersebut bagaimanapun tidak diendahkan.

"Mereka cuma memberi alasan bahawa pondok ini dibina untuk mengindahkan kubur itu tetapi bagi saya ia bercanggah dengan ajaran Islam kerana saya pernah melihat bomoh ini membawa beberapa pesakit ke kubur tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Mohd. Ab. Aziz Mohd. Nor berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut memandangkan kegiatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut untuk tindakan lanjut.

"JHEAIK belum menerima laporan mengenai dakwaan kegiatan pemujaan kubur itu. Insya-Allah saya akan menghubungi Pejabat Agama Daerah Tumpat esok untuk mengetahui perkembangan aktiviti berkenaan.

"Jika siasatan mendapati bahawa wujudnya unsur-unsur pemujaan kita boleh merampas bahan yang berkaitan dan kedua-dua lelaki ini boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat