SHAH ALAM: Seperti dijangka Man atau nama sebenar Abd Rahman Kassim, 33, dinobatkan sebagai juara program realiti Raja Lawak Astro 5 dalam pertandingan akhir malam Jumaat.
Program akhir yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu menyaksikan peserta yang berasal dari Kuala Lumpur ini berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus.
Manakala Kumpulan RJ yang dianggotai oleh Rahim Mat Ali dan Ridhzuan Mat Ali yang menerima undian 32.5 peratus sekadar berpuas hati muncul naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Balas denganundian 22.6 peratus.
Dengan kemenangan tersebut, Man berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000, barangan elektrik serta trofi sumbagan Astro.
Sementara kumpulan RJ dan Balas tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, barangan elektrik serta trofi.
"Saya masih lagi tergamam dengan kemenangan ini, ia membuktikan pengorbanan lima tahun dari program pertama hingga ke kelima akhirnya membuahkan hasil.
"Sebagai orang biasa, saya rasakan ini merupakan satu keajaiban yang berlaku dalam hidup saya," katanya selepas diumumkan sebagai juara.
Tambah Man, dia berharap agar diberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.
"Perancangan selepas ini hanya serahkan kepada pihak Astro untuk mencungkil bakat lagi bakat yang ada pada diri saya.
"Selain itu, saya juga perlu berbincang dengan majikan saya Pos Malaysia untuk perancangan selepas ini," ujarnya.
Pertandingan akhir itu diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Afdlin Shauki, sementara keputusan penuh pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Dengan keputusan ini, secara automatik ketiga-tiga peserta akhir ini layak untuk bertanding di dalam rancangan Maharaja Lawak yang akan bersiaran pada 1 April ini.
Program Maharaja Lawak tersebut akan menyaksikan persaingan di antara kesemua finalis rancangan Raja Lawak Astro dari musim pertama hingga kelima. - mStar
No comments:
Post a Comment