KLANG: “Saya sedang tutup pintu pagar rumah sambil kendong anak kedua. Tiba-tiba terdengar bunyi ‘bum’ dan bila toleh, anak pertama saya terbaring di atas jalan,” kata Che Wan Nor Al Fatihah Che Wan Othman, 26, ibu kepada Muaz Hakimi Mohd Faisal, 4, yang maut di depan rumahnya akibat dilanggar kereta jiran, semalam.
Kejadian berlaku di Lorong Klang Perdana 2C, Taman Klang Perdana, Sementa, Kapar kira-kira jam 5.30 petang kelmarin dan kanak-kanak itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketika kejadian, mangsa seronok menunggang basikal dilanggar Toyota Innova milik jirannya dipercayai dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.
Che Wan Nor Al Fatihah berkata, selepas melihat Muaz Hakimi terbujur kaku dan berlumuran darah, dia berlari mendapatkan mangsa biarpun masih menggendong anak keduanya, Muhammad Faiz yang berusia setahun enam bulan.
“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas melihat dia tidak bernyawa. Baru beberapa saat sebelum itu dia berada di depan saya, tapi dalam sekelip mata dia meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya.
Che Wan Nor Al Fatihah dan suami, Mohd Faisal Mohd Affandi, 32, baru tiga bulan tinggal di rumah yang baru dibeli mereka itu.
Sebelum ini pasangan berkenaan menyewa di Teluk Gong, Pandamaran. Difahamkan, sebelum kejadian, Che Wan Nor Al Fatihah bersama dua anaknya itu keluar bertemu jiran yang berkumpul di simpang jalan sambil mengambil angin petang di kawasan perumahan berkenaan.
Che Wan Nor Al Fatihah berkata, malam sebelum kejadian anaknya menunjukkan perubahan sikap dan beberapa kali terjaga daripada tidur pada awal pagi dan menangis.
“Dia macam takut-takut dan selepas saya tenangkannya dia kembali tidur. Tak sangka itu petanda dia meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faisal yang bekerja sebagai pemandu lori di Pelabuhan Klang berkata, sejurus dihubungi jiran, dia bergegas pulang ke rumah.
“Saya syak anak saya kemalangan selepas melihat orang ramai mengelilingi berhampiran rumah saya.
“Selepas melihat keadaan anak saya, fikiran saya kosong dan tak mampu berkata apa-apa. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya,” katanya.
Menurutnya, kira-kira jam dua jam sebelum kejadian, anak sulungnya itu mencium dan melambai tangan ketika dia mahu keluar rumah untuk ke tempat kerja.
“Pagi sebelum kejadian, saya, arwah dan anak kedua ke kolam memancing tidak jauh dari sini dan dia begitu seronok sekali melihat ikan sambil sesekali mengusik adiknya.
“Tapi semua itu hanya tinggal kenangan dan saya perlu tabah dan terima hakikat dia pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya pilu.
Mohd Faisal berkata, dua tiga hari lalu, anaknya turut menunjukkan perubahan sikap. “Bila dengar azan, dia ikut melaungkan azan,” katanya.
Jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Kampung Sementa, selepas solat Zuhur, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan mendapati mangsa dilanggar dan diseret kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
“Laporan bedah siasat mendapati mangsa parah di kepala yang membawa kepada kematiannya,” katanya. - myMetro
trauma klu camni...kesian nak buat mcmana, ajal maut ditangan Allah swt. Alfatihah buat adik comel ni....takziah buat keluarga, tabah & redha dgn ketentuan yg Illahi tetapkan.
ReplyDelete