aDs

aluan

Followers

Wednesday, March 9, 2011

Anak dalam perut hilang


PEJAM celik, sudah setahun berlalu kontroversi membabitkan perkahwinan penyanyi Sayang Semuanya Sudah Terlambat, Shidee dengan Siti Fairunnisa Aziz, 23, yang dikatakan tidak direstui ibu mentua.

Ketika itu, Shidee dituduh dengan pelbagai cerita negatif oleh ibu mentuanya bagi menyokong tindakan itu. Penyanyi berusia 52 tahun ini turut dituduh membawa lari Fairunnisa dan memaksa berkahwin dengannya. Ketika berkunjung ke Rap bagi mempromosikan album terbarunya baru-baru ini, pasangan yang hadir bersama itu dilihat semakin bahagia.

Namun ada cerita sedih yang menimpa pasangan ini. Seperti mana pasangan lain, Shidee dan Nisa juga mengimpikan hasrat untuk memiliki anak sebagai pengikat kasih sayang. Mereka gembira apabila pemeriksaan doktor mengesahkan Nisa mengandung tiga minggu. Namun mereka akur dan reda apabila kandungan itu hilang secara tiba-tiba.

"Memang Nisa disahkan ada 'isi' pada Februari lalu. Apabila diberitahu doktor, kami pun seronok dan menadah tangan berdoa. Tapi, tak tahulah kenapa tiba-tiba saja kandungan Nisa hilang macam itu saja.  Sudah tak ada rezeki nak kata apa lagi. Saya tak kecewa dengan perkara ini. Insya-Allah, akan ada lagi rezeki kami untuk menimang anak sendiri suatu masa nanti.

"Cuma saya kesal dulu tiada anak kerana lambat kahwin. Kalaulah ada rezeki, saya mahu anak lelaki sebagai pewaris. Saya sudah buat kajian mengenai perkara ini dan mendapati anak lelaki sangat penting sebagai ketua keluarga jika berlaku apa-apa. Namun, kalau dikurniakan anak perempuan pun, saya akan terima," katanya.

Shidee juga gembira kerana kariernya semakin bersinar. Paling menggembirakan hubungan dengan ibu mentua sudah pulih. "Alhamdulillah, semuanya sudah baik sekarang. Tak ada masalah lagi. Kami sekarang tinggal di Cheras untuk memudahkan karier seni saya.

"Kami selalu menjenguk emak Nisa (Fairunnisa) bagi melihat keadaannya. Krisis kami selesai secara baik pada Ramadan lalu. Saya bersikap 'gentleman' berjumpa dia sendiri. Harapnya, hubungan ini berterusan selamanya. Bagi saya, semua yang berlaku ada hikmahnya. Kerana peristiwa itu nama saya naik semula. Ini ialah rezeki isteri saya. Apabila saya bawa dia ke mana-mana pun, peminat suka dan tak pernah pertikaikan.

"Menariknya, isteri saya pun tenang apabila saya dikelilingi peminat wanita. Dia faham karier saya dan boleh terima dengan hati terbuka. Saya ada kawan dan isteri yang boleh menguruskan segala-galanya sekarang," katanya ceria. Kasih sayang Shidee terhadap isterinya jelas ditunjukkan apabila tidak membenarkan Nisa bekerja. Alasan diberikannya kasihan Nisa berseorangan diri apabila dia keluar menyanyi.

"Setakat ini belum pernah lagi saya tinggalkan dia berseorangan. Ke mana-mana, dia pasti akan menemani saya termasuk ke Brunei. Tak dinafikan, kami ada bergaduh sikit-sikit tapi itu adat berumahtangga," katanya. Nisa yang sentiasa mendengar perbualan Shidee, dahulu memanggil suaminya dengan panggilan 'uncle'. Ceritanya, Shidee bukanlah seorang suami yang cemburu. Malah dia juga senang dengan statusnya sebagai isteri kepada penyanyi popular era 90-an itu.

"Memang saya pilih jadi isteri abang. Dia tak pernah kongkong saya, cuma saya sudah pernah hidup bebas dahulu, apa salahnya sekarang saya berada di samping suami," katanya.

Shidee kini giat mempromosi album terbarunya, kompilasi berjudul Pop Syahdu!! yang menggandingkannya dengan penyanyi Zamree. Album terbitan Rock Records itu menampilkan 20 lagu antaranya lagu-lagu popular Shidee iaitu Semuanya Sudah Terlambat, Janganlah Menghancurkan dan Bayangan Wajahmu. Sebuah lagu terbarunya berjudul Kecundang Juga Akhirnya turut dimuatkan.

"Lagu itu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Nizam Hamid. Apabila ada album baru, wujudlah album ini. Saya masih setia dengan irama pop Hindi kerana serasi dengan jiwa. Saya janji akan terus berkarya dan yakin akan bangkit semula serta akan banyak lagi buat album selepas ini. Saya nampak populariti artis sekarang hanya sementara dan tak kekal lama.

"Saya dan generasi penyanyi lama boleh bertahan kerana mungkin ada pengalaman dan tahu kebolehan sendiri dalam nyanyian. Saya juga akan terus perjuangkan nilai seni lagu Melayu. Banyak orang yang tak nampak nilai seni dalam industri sekarang. Kalau kita tak perjuangkannya, siapa lagi kerana jika tidak nanti orang lain yang ambil nilai seni yang ada," katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat