PETALING JAYA: Pihak Astro dikatakan sudah membuat keputusan untuk tidak melantik penyanyi dari Indonesia, Ahmad Dhani sebagai pengetua rancangan Akademi Fantasia ke sembilan (AF9) seperti yang dihebohkan sebelum ini.
Sumber memberitahu mStar Online, keputusan itu dibuat selepas ia mendapat bantahan ramai selain imej penyanyi itu yang dikatakan tidak bersesuaian kerana kelantangannya mengkritik agama Islam.
“Disahkan, Ahmad Dhani bukan pengetua AF9,” kata sumber tersebut.
Terbaru, Ahmad Dhani dilaporkan mengasari dua wartawan termasuk jurukamera sebuah stesen televisyen di Jakarta.
Laporan akhbar menyebut Dhani dan lima rakannya dipercayai menghalang tugas wartawan berkenaan dengan melakukan penganiayaan serta merosakkan kamera mereka.
Kejadian itu berlaku ketika wartawan tersebut sedang merakamkan visual persekitaran rumah penyanyi Mulan Jameela yang juga isteri Dhani bagi mendapatkan pengesahan berita kehamilannya.
mStar Online turut difahamkan, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi telah pergi ke Jakarta beberapa minggu lalu untuk membatalkan pelantikan Dhani sebagai Pengetua AF9.
Pada 7 Mac ini, pihak Astro akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan perkembangan terbaru rancangan realiti itu termasuk mengumumkan pengacara rancangan berkenaan yang dikatakan akan turut diterajui semula oleh Aznil Nawawi.
elok pun...org camni xyah la ambil.
ReplyDelete