aDs

aluan

Followers

Friday, March 4, 2011

Ramai muntah darah


PENGSAN...penagih arak murah terbaring akibat penangan minuman keras terbabit.

IPOH: Bukan akibat ilmu hitam atau disantau, namun ramai belia dilaporkan mengalami simptom muntah darah gara-gara ketagihan sejenis minuman keras digelar ‘tonik gila’ atau ‘samsu setan’.

Lebih mengejutkan apabila gejala penyakit berkenaan dikesan berpunca daripada kadar alkohol terlalu tinggi sehingga mencecah 43 peratus di dalam minuman terbabit, sekali gus mengancam nyawa individu yang ketagih minuman itu.

Gejala menakutkan ini kian serius selepas tinjauan mendapati minuman terbabit mudah dibeli hampir di semua kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina. Tinjauan Harian Metro mendapati minuman terbabit dengan kandungan 150 mililiter itu dijual RM3.30 sebotol.

Hasil tinjauan di lebih 10 kedai runcit sekitar bandar raya ini, terdapat kira-kira lima jenama minuman keras yang dijual murah dengan kadar alkohol terendah 27 peratus.

Seorang penagih tegar minuman terbabit yang hanya mahu dikenali Man, 21,  berkata dia kini menderita penyakit hepatitis atau bengkak hati akibat ketagih minuman itu sejak lebih setahun lalu. Dia yang ditemui ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, berkata kini dia kerap muntah darah selain sakit pada hulu hati.

“Doktor memberitahu penyakit saya itu berpunca daripada kesan toksik pada alkohol minuman keras. Saya dinasihatkan berhenti meminumnya kerana doktor bimbang hati saya bertambah rosak. Malah, kini saya cepat pitam dan buang air besar bercampur darah,” katanya.

Man berkata, dia ketagih arak terbabit selepas bercampur kumpulan Mat Rempit dan bahan berbahaya itu dengan pelbagai jenama dijual tidak melebihi RM3. Menurutnya, minuman keras yang dijual di dalam botol itu dianggap lebih ‘power’ berbanding arak di dalam tin.

“Arak dalam tin hanya mendatangkan kesan mabuk jika diminum melebihi tiga tin, namun tonik gila ini boleh menyebabkan mabuk dengan hanya empat teguk.

“Selain minuman keras berlogo candi, terdapat juga beberapa minuman keras seangkatannya yang menggunakan simbol kapak dan nombor tertentu,” katanya. Menurutnya, arak itu menjadi pilihan remaja dan belia berikutan harganya murah dan kebanyakan individu yang meminumnya golongan berpendapatan rendah.

“Minuman keras biasa dijual antara RM7 hingga RM9 setin, namun samsu setan ini boleh dibeli semurah RM3. Ada juga remaja yang terjebak dalam gejala seks bebas percaya arak itu mampu menambah daya seksual, namun saya tidak pasti kebenarannya,” katanya.

Menurutnya, minuman terbabit membawa mudarat apabila menyebabkan individu yang meminumnya jatuh pengsan untuk tempoh masa lama. “Sebab itu ramai kaki botol yang minum samsu murah ini boleh hilang kawalan dan tidur tersadai di kaki lima.

“Rasa minuman keras ini tidak sesedap mana, namun kesannya amat pantas dan lebih ‘kaw’ jika diambil selalu,” katanya yang kini bergantung ubat hospital.

Sementara itu, tinjauan turut mendapati ramai penagih minuman terbabit seperti penagih dadah apabila terbaring mabuk atau tidak sedarkan diri di kaki lima bangunan. Ini dibuktikan apabila rata-rata kaki botol ditemui bersama terbaring bersama botol minuman terbabit di samping mereka. - myMetro

2 comments:

  1. rosak anak melayu 1M'sia ni....yg rugi siapa? Diri sendiri & negara....hmmmm...cepat benar tempah kubur....dah puas hidup gamaknya.

    ReplyDelete
  2. kesian bangsa ku.....gugur di kaki lima...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

heratBeat