aDs

aluan

Followers

Showing posts with label berita am. Show all posts
Showing posts with label berita am. Show all posts

Friday, December 23, 2011

Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel


PETALING JAYA: Akhirnya, konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS, membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang baru dibelinya awal tahun depan selepas 10 tahun menetap di sebuah hotel.
Ramli berkata, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan masa depan dengan memiliki sebuah rumah yang selesa agar dapat tinggal bersama ibunya yang masih lagi menetap di Singapura.
"Antara sebab saya tinggal di hotel selama ini kerana kemudahan yang disediakan memudahkan saya yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya seni dan tidak perlu nak fikir tentang masalah rumah bersepah, keselamatan dan sebagainya.
"Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang masa depan. Insya-Allah saya akan membawa ibu bersama-sama untuk berpindah sekitar bulan Januari atau Februari akan datang," katanya ketika ditemui di hotel penginapan di sini.
Tambah Ramli, dia juga akan mengubahsuai salah satu bilik di rumah itu untuk dijadikan sebuah studio mini bagi memudahkan dirinya untuk menghabiskan kerja-kerja seninya itu.
Dalam pada itu, Ramli menafikan sekeras-kerasnya bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana bakal menamatkan zaman dudanya dalam masa terdekat ini.
"Sikap saya lain, banyak perkara yang perlu diuruskan dulu seperti anak-anak, kerjaya dan urusan pembelian rumah baru. Jadi saya tak terfikir pun untuk berkahwin dalam buat masa ini.
"Tapi semestinya saya mahu kahwin satu hari nanti," selorohnya.
Bercerita mengenai cara hidupnya sepanjang 10 tahun menetap di hotel, tiada memori yang indah untuk diingati dek kerana terlalu fokus dengan kerjayanya, tetapi gembira, pekerja hotel berkenaan melayannya dengan baik.
"Memandangkan sudah lama saya tinggal di sini, mereka telah memberi kebebasan untuk saya.
"Bayangkan, mereka turut membenarkan saya memasak di dapur hotel. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik. Mungkin selepas berpindah nanti saya akan rasa perbezaannya.
"Lebih-lebih lagi dari segi penjagaan dan sekuriti rumah. Harap-harap saya dapat menguruskannya dengan baik," kata Ramli. - mStarOnline

Jamal Abdillah Tenang Selepas Keluar Rumah Pengasih


Jamal Abdillah
PETALING JAYA: Penyanyi popular Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Jamal Abdillah mengaku lebih tenang menjalani kehidupan seorang diri selepas meninggalkan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), awal November lalu.
Katanya, dia kini menjalani kehidupannya seperti biasa dan sibuk dengan beberapa perniagaan yang dijalankan.
"Saya berasa lebih tenang menjalani kehidupan seharian saya berbanding ketika berada “di dalam” (rumah Pengasih). Lagi pula saya tidak mahu menumpang terlalu lama di rumah orang,
"Insya-Allah selepas rumah saya siap awal tahun depan saya akan memulakan hidup baru di sana," katanya ketika ditemui di majlis minum petang bersama Jamal Abdillah, di sini, Khamis.
Jamal diminta mengulas tentang tindakannya keluar dari rumah Pengasih yang telah diduduki lebih lima tahun.
Bagaimanapun, dia enggan menjawab tentang tuduhan pengerusi Pengasih yang kecewa terhadap sikapnya sepanjang berada di rumah perlindungan tersebut.
"Saya mempunyai bukti yang kukuh terhadap sumbangan saya kepada Pengasih jika dia mendakwa saya tidak mempunyai apa-apa sumbangan.
"Namun ini bukan masa yang sesuai, mungkin nanti saya akan adakan satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar," katanya.
Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan pihak pengasih sedikit sebanyak memberi tekanan dan menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.
"Perkara ini memberi tekanan pada saya dan mengganggu kehidupan saya terutamanya berhadapan dengan tanggapan masyarakat luar dan peminat," ujarnya. - mStarOnline

Thursday, December 22, 2011

'Saya selamat dan masih beragama Islam’


Kontroversi....Ariff menerima cincin perkahwinan dari pasangan "gay"nya.

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD) Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang baru-baru ini, memberitahu, dia selamat dan kini menetap di Dublin.

Menurut Ariff Alfian, dia juga masih beragama Islam dan tidak hilang sebagaimana dilaporkan.

"Saya tidak menganut agama lain seperti yang dilaporkan. Saya dilahirkan sebagai Islam, saya masih seorang Islam dan akan kekal Islam sehingga saya meninggal dunia.

"Tiada apa yang mampu menggoncang keimanan saya," katanya yang dipetik dalam portal berita http://www.irishtimes.com semalam.

Pada 12 Disember lalu, bapanya, Rosli Haron telah melaporkan kehilangan Ariff Alfian kepada Utusan Malaysia selepas gagal menghubungi anaknya itu sejak tiga tahun lalu.

Bekas pelajar UCD itu memberitahu, dia telah bermastautin di Ireland ketika mula menyambung pengajian dalam bidang perubatan sejak lapan tahun lalu.

"Saya tak hilang. Pihak berkuasa Ireland tahu saya tinggal di negara ini secara sah.

"Kedutaan Malaysia juga tahu dan sedar yang saya tinggal secara sah di sini sejak beberapa tahun lalu," ujarnya.

Ariff Alfian mengakui dia sudah beberapa tahun tidak bercakap atau menghubungi bapanya di Malaysia, ekoran satu perselisihan faham antara mereka.

"Saya ada sedikit salah faham dengan ayah pada tahun 2009 dan sehinggalah saya dilaporkan hilang.

"Saya masih tidak berhubung dengannya, tetapi sering berhubung dengan ahli keluarga yang lain," katanya lagi.

Ariff Alfian menjelaskan, tindakannya itu secara tidak langsung telah menarik perhatian masyarakat.

Menurutnya, dia tidak berniat mencetus kontroversi, apatah lagi perkara tersebut melibatkan keluarganya. - Utusan

Tanduk badak sumbu dipotong diganti dengan kayu


RUPA kepala seekor badak sumbu yang diawet selepas tanduk haiwan itu dipotong di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland. - AFP

GENEVA - Pihak pengurusan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland mengambil langkah drastik apabila bertindak menggantikan tanduk enam ekor badak sumbu yang diawet dengan kayu bagi mengelak ia dicuri.
Langkah itu dibuat selepas beberapa kurator muzium itu mendengar tanduk badak sumbu dicuri di beberapa muzium di seluruh Eropah termasuk di Britain, Perancis dan Jerman.
Tanduk badak sumbu amat berharga di Asia kerana kebanyakan penduduk menganggap ia boleh digunakan untuk melawan penyakit dan menguatkan tenaga batin.
Menurut pihak muzium itu, sejak beberapa bulan lalu, tanduk itu berharga di antara 20,000 franc (RM68,177) dan 250,000 franc (RM852,261).
"Di pasaran gelap, tanduk badak sumbu lebih bernilai daripada emas," kata muzium tersebut dalam satu kenyataan. - AFP

Bangalore jadi pusat muzik rock


PENYANYI kumpulan band Solder, Siddarth Abraham berlatih menyanyi lagu rock di Bangalore pada 15 Disember lalu. - REUTERS

BANGALORE, India - Bandar perkilangan ini yang pernah digelar Lembah Silikon India kini mengalami transformasi sebagai sebuah hab muzik rock.
Perkembangan itu antara lain didorong golongan kelas pertengahan yang memiliki wang tambahan dan selera muzik kuat dan rancak.
"Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk mewujudkan muzik rock India yang setanding dengan muzik Rock Amerika dan rock Britain," kata vokalis sebuah kumpulan rock tempatan yang dikenali sebagai Siddarth Abraham.
Kumpulan rock tersebut, Solder, berlatih empat kali seminggu di sebuah bangsal di belakang rumah pemain dramnya di sini.
Perkembangan pesat irama rock di sini mendorong kewujudan genre rock tersendiri yang dikenali sebagai Bangalore Rock.
Menurut Saddarth, Bangalore Rock merupakan gabungan rock klasik, rock keras dan heavy metaldengan suntikan sedikit irama jazz dan blues.
Semua kumpulan rock di sini menyanyikan lagu mereka dalam bahasa Inggeris.
Pelbagai teori dibuat tentang fenomena muzik berkenaan dalam kalangan belia di sini.
Antara lain, terdapat teori yang menyatakan muzik Barat dipopularkan menerusi majlis-majlis tarian yang dianjurkan oleh tentera India yang berpangkalan di sini.
Satu lagi teori menyatakan muzik Barat termasuk rock pesat berkembang kerana bandar ini memiliki ramai penduduk keturunan Serani yang meminati irama rock n roll. - Reuters

Saturday, December 17, 2011

Pemuda Melayu 'kahwin' lelaki?


GAMBAR yang diambil daripada sebuah laman web, perkahwinan pasangan gay melibatkan seorang pemuda Melayu dan lelaki Inggeris bergambar bersama jemputan di suatu lokasi dipercayai di luar negara.

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Seorang pemuda Melayu mencetuskan kontroversi apabila beberapa keping gambar perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing, tersebar di dalam sebuah laman web biggayweddingproject.com.

Apa yang mengejutkan, pada majlis perkahwinan sejenis yang dipercayai berlangsung dalam sebuah gereja di luar negara, pemuda berusia lingkungan 20-an itu memakai baju Melayu berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas.

Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan masyarakat Barat.

Laman web yang dipercayai menyokong perkahwinan homoseksual itu telah memuatkan sebanyak 15 keping gambar sepanjang majlis 'perkahwinan' itu berlangsung.

Antara yang disiarkan adalah pasangan itu bergambar di dalam kumpulan dan sedang diraikan setelah selesai menjalani proses bergelar 'suami-isteri'.

Terdapat dua keping gambar lelaki warga asing itu sedang bersiap sedia melangsungkan perkahwinan sambil dibantu rakan-rakannya.

Turut menarik perhatian ialah gambar yang menunjukkan lelaki Melayu itu disarungkan cincin oleh pasangannya.

Menurut keterangan yang dipaparkan bersama kepingan gambar yang dipercayai dimuatkan pada 20 September itu, pasangan terbabit merupakan klien pertama bagi projek penggambaran majlis perkahwinan golongan homoseksual dikendalikan laman web berkenaan. - UMalaysia

Friday, December 2, 2011

Firuz Akhtar juara Ustazah pilihan

  FIRUZ AKHTAR dinobatkan Juara program realiti Ustazah Pilihan Astro Oasis.
FIRUZ AKHTAR dinobatkan Juara program realiti Ustazah Pilihan Astro Oasis.
SHAH ALAM: Graduan Sarjana Pengajian Islam dan Asia Barat dari Universiti St Louis, Washington, Firuz Akhtar Mohamad Bokhari, 27 dipilih sebagai juara pertama program realiti Ustazah Pilihan menewaskan tiga finalis lain pada peringkat akhir yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam. 

Sebagai johan, Fairuz Akhtar dari Kuala Lumpur menerima sebuah kereta, wang tunai RM20,000 dan trofi. Tempat kedua dimenangi guru bahasa Arab dari Johor, Nurul Hidayah Kamaruddin yang menerima wang tunai RM15,000 dan trofi, manakala tempat ketiga, Siti Fatimah Mohd Sharif, 27 dari Kuala Lumpur untuk dengan hadiah wang tunai RM10,00 bersama trofi.

Tempat keempat pula adalah Masfira Hilman, 28 juga dari Johor menerima wang tunai RM5,000 dan trofi. - BHarian

Friday, November 18, 2011

Aura Erra Fazira & Aaron Aziz Tarikan "Badai Semalam"


KUALA LUMPUR: Naskah novel popular Badai semalam nukilan Khadijah Hashim yang pernah dizahirkan dalam bentuk drama dan kini diangkat ke pentas teater ternyata punya kekuatan tersendiri.
Berlatar belakang sekitar era 1970-an, pentas dibuka dengan suasana sayu di sebuah stesen kereta api yang turut menjadi lokasi pada babak terakhir teater tersebut.
Hujan dan kilat sambar-menyambar pengarah Khairunazwan Rodzy berjaya mengambarkan gelora perasaan Mazni lakonan Erra Fazira yang menempuhi suka duka kehidupan demi mengejar cita-cita.
Erra Fazira ternyata berjaya mengamit perasaan penonton apabila dapat memberi nyawa pada watak gadis Melayu yang tegas dengan keputusan diri.
Erra mampu bermain dengan emosi Mazni yang tersepit antara cita-cita, cinta dan janjinya terhadap ibu.
Apa yang cuba disampaikan penulis, watak Mazni dan ibunya lakonan Ziela Jalil cuba menentang fikiran masyarakat zaman tersebut yang berpendapat wanita tidak perlu belajar tinggi.
Selain Erra, Aaron turut berjaya membawa watak Karim seorang anak tuan rumah yang ego dan suka berfoya-foya. Karim mengambarkan sudut lelaki era tersebut yang bongkak dengan kekayaan dan akhirnya menyesali segala perbuatannya terhadap Mazni.
Karim dianggap jahat apabila membawa warna-warna kehitaman terhadap kehidupan Mazni sehinggalah ke klimaks penceritaannya.
Sementara itu, karakter Fizz Fairoz mungkin tidak banyak perbezaan kerana memainkan watak lelaki baik yang sanggup menunggu cinta Mazni.
Dalam pada itu, terdapat beberapa karakter yang menyerlah seperti watak Cik Mahani (Emelda Rosmila) sebagai batu api kepada Cik Rohana (Umie Aida). Cik Mahani menggambarkan sikap segelintir manusia yang sememangnya ada dalam sesebuah masyarakat.
Pengarah patut diberi pujian kerana berjaya menterjemahkan setiap perwatakan dengan baik termasuk watak Dora lakonan Jasmin Hamid sebagai penari kelab malam.
Kejayaan tetaer ini turut dibantu dengan latar belakang props besar yang digunakan menepati era pada zaman tersebut.
Sinopsis Badai Semalam
Mazni anak seorang pembantu rumah membesar di bawah naungan ibunya yang tua dan uzur menumpang berteduh di sebuah banglo milik Encik Haris dan Puan Rohana.
Mazni membesar di dalam rumah tersebut dengan penuh kesederhanaan kerana menyedari diri dan ibunya hanya menumpang berteduh di situ.
Walaupun majikan ibunya amat berbesar hati membenarkan mereka tinggal disitu, tetapi pandangan jiran tetangga amat buruk dan negatif terhadap mereka.
Jiran-jiran di situ berasa irihati dan cemburu dengan kecantikan dan kebijaksanaan Mazni apatah lagi bila Karim, anak Encik Haris dan Puan Rohana mula jatuh hati kepada gadis tersebut. Mula-mula Mazni hanya menganggap karim sebagai abangnya.
Teater Badai Semalam adaptasi novel Khatijah Hashim ini dipentaskan bermula 11 November lalu hingga 20 November 2011. - mStarOnline

Bercerai lepas kahwin pada 11.11.2011


SHAWKAT ALI KHAN duduk di sebelah isterinya, Farzana Yasmin dalam majlis perkahwinan di Borguna, Bangladesh pada 11.11.2011.

DHAKA - Seorang lelaki Bangladesh yang berkahwin pada 11.11.2011 pada pukul 11.11 pagi akhirnya bercerai dengan isterinya beberapa minit selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung.
Lelaki Bangladesh itu, Shawkat Ali Khan berkata, dia tidak mengetahui kenapa isterinya itu bertindak keluar dari majlis perkahwinan mereka.
Namun, pasangannya itu, Farzana Yasmin berkata, dia berasa marah ekoran permintaan keluarga Shawkat yang mahu hantaran perkahwinan termasuk sebuah peti sejuk dan sebuah televisyen.
Amalan hantaran perkahwinan oleh pengantin wanita telah dilarang di Bangladesh.
"Untuk menjadikan majlis tersebut istimewa, saya mengeluarkan kad mahal, mengundang rakan dan saudara-mara untuk menyertai majlis perkahwinan," kata Shawkat yang berusia 32 tahun.
Menurutnya, majlis itu diadakan pada pukul 11.11 pagi pada 11.11.2011.
"Majlis itu berlangsung di sebuah masjid tepat pada waktu itu," katanya yang merupakan seorang guru besar.
Dia percaya 11 merupakan nombor yang bertuah.
"Kami telah merancang parti selepas perkahwinan dua hari kemudian.
"Saya menunggu majlis yang mempunyai nombor tersebut selama bertahun-tahun lamanya.
"Saya tidak mengetahui bahawa ia akan berakhir," tambahnya.
Farzana yang berusia 27 tahun dipuji oleh ramai penduduk Bangladesh kerana pendiriannya berhubung hantaran perkahwinan itu.
Amalan hantaran dalam perkahwinan itu dikritik kerana keluarga pengantin perempuan perlu memberikan hadiah yang mewah kepada si suami.
Ketua polis tempatan, Babul Akhter menyokong dakwaan Farzana dengan menyatakan perkahwinan tersebut berkecai berhubung ekoran tuntutan hantaran yang dibuat oleh ibu saudara Shawkat semasa majlis perkahwinan berlangsung.
Namun, Shawkat menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan dia berkemampuan untuk tidak menerima hantaran itu. - Agensi

Harith Iskander Bakal Timang Anak Lelaki


Harith dan isteri, Jezamine sewaktu majlis pernikahan mereka pada Julai tahun lalu.
PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon Harith Iskander mengakui bakal menimang anak lelaki memandangkan isterinya Jezamine Lim sedang hamil 6 bulan.
Bagaimanapun, Harith yang sudah mempunyai beberapa senarai nama anak masih belum membuat pemilihan nama yang sesuai sehingga anaknya lahir pada Mac 2012.
“Kadangkala saya akan mengubah sesuatu perkara itu mengikut keadaan. Jadi sebab itu saya tidak mahu lagi menetapkan nama anak saya walaupun sudah mempunyai beberapa nama dalam senarai,” katanya kepada mStar Online.
Seperti pasangan lain, Harith juga sudah membuat persediaan untuk bergelar bapa dan sentiasa menjaga isteri tersayang dengan baik.
“Setiap tiga hingga empat minggu, saya akan membawa isteri membuat pemeriksaan kandungannya dan kami sudah mula membeli barangan bayi sedikit demi sedikit.
“Saya juga sentiasa menjaga isteri sewaktu dia alahan teruk semasa tiga bulan kehamilannya tetapi sekarang dia sudah tidak alahan lagi,” ujarnya tentang isteri yang sedang menyambung pengajian ijazah doktor falsafah atau PhD di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Pasangan ini diijabkabulkan pada Julai 2010.
Dalam pada itu, Harith turut memaklumkan tentang Restoran Samsaraa di Sri Hartamas miliknya dan isteri yang telah ditutup dan dijual pada empat bulan lalu.
“Kini saya sudah tidak melakukan apa-apa perniagaan dan menumpukan kepada projek filem kedua yang akan diarahkan oleh saya selepas filem Hanya Kawan.
“Selain itu, saya juga akan terlibat dalam pementasan teater Muzikal Cuci 3 dan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal 2,” ujarnya lagi.
Harith juga akan menjayakan acara stand up comedy terbesar di Asia yang dinamakan'Kings & Queen of Comedy Asia 2' di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 dan 19 November ini. - mStarOnline

Wednesday, November 16, 2011

Ubi kayu paling laris musim tengkujuh

pix_gal0


CHUKAI: Menjelang musim tengkujuh, selera terhadap makanan penduduk juga berubah dan kini ubi kayu mula mendapat permintaan tinggi lantaran keenakannya untuk dijadikan pelbagai juadah seperti ubi rebus cicah ikan masin, pengat manis dan digoreng malah dibuat masak lemak.

Tinjauan Berita Harian mendapati, perubahan selera itu menyebabkan kalangan penjual ubi kayu di sekitar daerah ini mencatat jualan tinggi mencecah hingga 500 kilogram sehari, kerana hidangan yang pernah menjadi makanan ruji rakyat ketika penjajahan Jepun, adalah makanan ringan terbaik untuk hidangan sarapan pagi dan petang.

Penjual ubi kayu di kampung Pondok Limau di sini, Habshah Osman, 45, berkata beliau mula membuka gerai jualan ubi kayu di tepi jalan sejak akhir bulan lalu, sebaik saja hujan lebat menandakan permulaan musim tengkujuh mula melanda daerah itu, bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Memang jualan ubi kayu laris ketika musim tengkujuh. Sebab itu menjelang minggu ketiga Oktober saya sudah bersiap sedia membuka gerai menjual ubi kayu. 

"Saya mampu menjual lebih 100 kilogram sehari, malah ada hari sehingga mencecah 500 kilogram sehari. Permintaan tinggi juga disebabkan harganya masih murah kira-kira RM2 saja sekilogram," katanya.

Seorang lagi penjual ubi kayu yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 50, mengakui jualan ubi kayu pada musim hujan sangat laris dan pada hari-hari tertentu, bekalan ubi kayu di gerainya habis dijual sebelum jam 2 petang.

Kakitangan swasta yang juga penggemar ubi kayu, Roslan Sanip, 49, berkata beliau gemar bersarapan pagi ubi kayu yang dimasak isterinya kerana makanan itu mempunyai khasiat sama seperti nasi. 

"Bagi sarapan pagi, ubi kayu rebus boleh dimakan dengan ikan masin atau boleh juga dimakan bersama perencah kelapa parut yang digaul dengan garam atau gula manakala pada sebelah petang, pengat ubi kayu sungguh menyelerakan dan kadang-kadang diselang dengan ubi kayu goreng," katanya. 

Kakitangan kerajaan, Wan Razali Wan Hassan, 52, berkata ubi kayu bukan saja sama khasiatnya seperti nasi, malah ia boleh dibuat pelbagai kuih, seperti belebab ubi kayu dan rasanya enak jauh lebih enam berbanding kuih yang dibuat daripada beras dan gandum.

"Bila makan ubi kayu, ada orang kata kita berbalik ke belakang kerana ia makanan ketika penjajahan Jepun. Ia tanggapan salah kerana ubi kayu memang enak dan tiada sebarang kekurangan padanya malah saya yakin ia mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan," katanya.  - BHarian

Remaja 15 tahun terlanjur 20 kali


PETALING JAYA: Tindakan seorang kakak merampas telefon bimbit adik perempuannya membongkar rahsia perbuatan keji gadis terbabit yang terlanjur lebih 20 kali bersama teman lelakinya sejak beberapa bulan lalu.

Kejadian itu terbongkar jam 11.30 malam Sabtu lalu, selepas kakak berkenaan menemui SMS berbaur lucah dihantar teman lelaki adiknya berusia 19 tahun menyebabkan kakak berusia 20-an itu mendesak adiknya menceritakan perkara sebenar.

Menurut sumber, remaja perempuan berusia 15 tahun yang ketakutan selepas hubungan cinta terlarang itu terbongkar hanya berdiam diri dan menangis teresak-esak.

“Ibu bapa mereka yang mengetahui anak gadisnya itu yang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terlanjur hanya terdiam.

“Bagaimanapun, abang iparnya mendesak gadis terbabit menghubungi teman lelakinya sebelum mereka menangkap lelaki itu dan membawanya ke Balai Polis Kota Damansara,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, perbuatan keji adiknya terbongkar apabila kakaknya yang menegur sikap gadis itu yang sering tidur lewat kerana bermain komputer terlihat SMS lucah dalam telefon bimbitnya.

Sumber berkata, kakaknya mendesak adiknya menceritakan perkara sebenar sebelum dimaklumkan mereka berkenalan melalui laman sembang sosial.

“Perkenalan itu bertukar percintaan sebelum kedua-dua mereka berjumpa secara sembunyi bagi bermadu kasih.

“Sebaik mendengar pengakuan itu, abang iparnya meminta gadis terbabit menghubungi teman lelakinya untuk berjumpa di padang sekolah berhampiran rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, sebaik mereka bertemu teman lelaki adiknya, abang iparnya meminta penjelasan sebelum lelaki terbabit mengaku terlanjur lebih 20 kali bersama gadis itu.Katanya, geram dengan pengakuan itu, lelaki terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. - myMetro

\

Kesal sekolah tidak maklum kehilangan anak


PULANGLAH...Norhayati menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Rizky yang hilang sejak 9 November lalu.
PULANGLAH...Norhayati menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Rizky yang hilang sejak 9 November lalu.

KUALA LUMPUR: “Saya tidak dimaklumkan pihak sekolah mengenai kehilangan anak kami sehingga saya menghubungi pihak sekolah untuk bertanyakan mengenai yuran sekolah sama ada sudah dibayar Rizky atau belum,” kata Rizal Minhad, 39, bapa Muhammad Rizky, 13, yang dilaporkan hilang sejak 9 November lalu.

Mangsa anak sulung yang bersekolah di Maahad Tahfiz Al-Tijarah, Selayang, hilang selepas tiga hari tidak hadir ke kelas.

Rizal berkata, pihak sekolah tidak memaklumkan kejadian berkenaan dan dia mengetahui kejadian itu selepas menghubungi pihak sekolah.

Menurutnya, anaknya itu pernah menyatakan mahu berulang-alik dari rumah ke sekolah kerana tidak mahu duduk di asrama, tetapi ibunya memintanya untuk bersabar sehingga akhir tahun ini.

“Selepas itu Rizky tidak menunjukkan perubahan sebelum menghilangkan diri”, katanya yang datang ke Balai Berita, di sini semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Norhayati Amsar, 41, berkata Muhammad Rizky anak yang baik, bertanggungjawab dan boleh diharap menjaga adik ketika mereka bekerja.

“Dia satu-satunya anak lelaki kami daripada empat adik-beradik dan berharap dia pulang ke pangkuan keluarga,” katanya yang juga jurujual di sebuah pusat beli-belah.

Berikutan kehilangan Muhammad Rizky, Rizal membuat laporan di Balai Polis Selayang Sabtu lalu selepas pelbagai usaha mencari anaknya itu dilakukan dan tidak menemui sebarang petunjuk.

Rizal berkata, dia amat berharap anaknya pulang semula ke pangkuan keluarga dengan segera. Sebarang maklumat mengenai anaknya boleh menghubungi Rizal di talian 012-6649159. - myMetro

Faizal Hussein Diburu Wartawan E! News & Discovery


Faizal bakal berlakon dalam filem Khon Malay dengan anak-anak dan isterinya.
KUALA LUMPUR: Selepas filem Bunohan ditayangkan di Amerika Utara dan bakal menembusi pasaran antarabangsa, nama Faizal Hussein, 44, menjadi sebutan para media tempatan dan luar negara.
Filem yang turut dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Pekin Ibrahim, Nam Ron dan Bront Palarae itu ditayangkan di Amerika Utara dalam sebuah tayangan perdana sempena 'Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011'.
Menurut Faizal, melalui filem itu juga dia mendapat pendedahan dan pengalaman baru termasuk akan ditemubual oleh media dari luar negara iaitu program hiburan E! News di saluran E! dan saluran Discovery.
“Saya juga digelar sebagai ‘Jack Palance Malaysia’ dalam sebuah ulasan tentang Bunohan dari portal variety.com.
“Impak yang diberikan oleh filem Bunohan arahan Dain Said memberikan komen yang bagus dan saya melihat fenomena di mana pembikin filem tempatan semakin meningkat naik.
“Paling penting adalah kandungan filem itu sendiri,” katanya dalam satu sidang media pelancaran filem Khon Malay, Taiko dan 1945 di Restoran Platinum Terrasse, Jalan Genting Klang, di sini, Isnin.
Bercerita lanjut tentang reaksinya apabila bakal berlakon dalam ketiga-tiga filem tersebut, Faizal akui bersyukur apabila peminatnya masih dahagakan lakonan antagonisnya.
“Saya sudah lama bersahabat dengan pengarah filem Imran Ismail yang akan mengarahkan filem Khon Malay dan 1945. Jadi, kami selalu berbincang idea dan saya tidak menunggu tawaran ini sebaliknya dipilih kerana ia merupakan hasil kolaborasi saya dengan Imran.
“Dia pernah membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan hasilnya peminat Faizal Hussein menyukai saya melakonkan watak jahat.
“Saya juga tidak menyangka masih ada peminat yang ingin menonton pelakon tua seperti saya sebagai hero. Rezeki ini juga hasil kepercayaan yang diberikan oleh pengarah filem,” katanya lagi yang turut berlakon dalam telefilem Anak untuk Astro terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang dimiliki oleh sepupunya, pelakon Rosyam Nor.
Faizal akui pernah berehat daripada industri perfileman pada tahun 1995 dan menumpukan kepada lakonan drama selama 5 tahun. Kemudian dia kembali ke layar perak pada tahun 2000.
“Apabila saya berlakon filem semula, saya selesa memilih watak antagonis seperti dalam filem KL Menjerit, Leftenan Adnan dan Janji Diana untuk memberikan kelainan memandangkan koleksi filem saya sebelum itu tidak sehebat mana.
“Jadi, untuk filem terbaru ini, saya mahu lihat seramai mana peminat Faizal Hussein yang akan datang menonton filem saya dengan watak yang bagaimana,” katanya yang akan turut berlakon di samping isterinya, pelakon Suhaila dan dua anaknya, Fazryn, 6, dan Fazrick, 3, menerusi filem Khon Malay.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Faizal berjudul Abu Ya sedang ditayangkan di pawagam tempatan dan filem Bunohan akan berada di pawagam pada Mac 2012. - mStarOnline

Saturday, November 12, 2011

Shafeiq Shazwan Dapat Keistimewaan di Sekolah


Mohd Shafeiq Shazwan
KUALA LUMPUR: Pelakon cilik, Mohd Shafeiq Shazwan, 14 mengakui mendapat keistimewaan ketika berada di sekolah selepas bergelar selebriti.
Dia yang kini berada di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Klang Utama itu memberitahu sering mendapat sokongan daripada pengetua dan guru sekolahnya.
"Alhamdulillah, pengetua dan guru-guru sekolah banyak memberi sokongan kepada saya dan jika saya tidak dapat hadir, mereka akan beri info pelajaran yang tertinggal.
"Selain itu, saya juga diberi keutamaan untuk menyertai aktiviti sekolah seperti nyanyian atau sukan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Elly & Epit, di sini, Khamis.
Kata Shafieq lagi, dia mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan kerjaya dalam bidang seni ini.
"Buat masa ini saya seronok dengan kerjaya ini, tapi tidak dapat dinafikan memang agak penat kerana terpaksa membahagikan masa dengan sekolah dan pelajaran.
"Tahun depan mungkin saya akan kurangkan sedikit aktiviti seni kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.
Bercerita tentang pengalaman menjadi selebriti, Shafeiq berkata dia mempunyai sebuah almari khas hadiah pemberian peminat-peminatnya.
"Saya dapat embuh buah telefon bimbit termasuk iPhone 4 dan Blackberry pemberian dari peminat, selain itu banyak lagi koleksi yang saya simpan dalam sebuah almari.
"Manakala duit hasil titik peluh pertama saya dalam bidang seni saya dapat membeli sebuah konsol permainan video, Xbox," katanya.
Shafeiq yang memeggang watak sebagai Epit dalam drama tersebut merupakan seorang yang baik hati, suka berkawan tetapi sangat pemalu.
Epit yang membesar di kampung memulakan kehidupan baru di bandar dan terpaksa tinggal bersama keluarga Engku Sofia yang juga kakak tirinya.
Drama Elly & Epit bakal disiarkan pada 20 November ini, pukul 11 pagi. - mStarOnline

Thursday, November 3, 2011

Bob (Kuman) Ditahan Wad Selepas Maharaja Lawak Mega


Bob (Kuman) ketika beraksi dengan Sobri pada minggu pertama Maharaja Lawak Mega di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Husni Rawi, 39, atau nama gelarannya, Bob (Kuman) kini ditahan di Pusat Perubatan Tropicana sejak Jumaat malam lalu akibat kepenatan.
Menurutnya, kesihatannya terjejas akibat terlalu penat sejak minggu lalu semasa membuat persiapan untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro.
Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri untuk menyertai program tersebut pada Jumaat malam lalu sebelum membuat pemeriksaan doktor selepas program itu berakhir.
“Doktor menyarankan saya supaya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan yang dilakukan.
“Pada mulanya saya ingat penat biasa dan tidak sangka sehingga perlu ditahan di hospital sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Disebabkan itu, Bob dan pasangannya dalam MLM, Sobri yang menubuhkan kumpulan BP- Bawal Power terpaksa menjalani latihan untuk persembahan MLM minggu kedua di hospital.
“Saya kasihan dengan Sobri kerana terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari dan kadangkala perlu bermalam di sini untuk menghasilkan persembahan terbaik pada minggu ini.
“Kami agak tertekan sedikit untuk melakukan persembahan yang lebih bagus pada minggu ini kerana persembahan kami mendapat pujian daripada ramai penonton pada minggu lalu,” ujar Bob yang mengakui menghadapi masalah untuk tidur.
Walaupun masih berada di bawah rawatan dan pemerhatian pihak hospital, Bob dibenarkan membuat persembahan MLM di Royal Theater Selangor, Shah Alam pada Jumaat ini, pukul 10 malam, yang disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).
“Nasib baik doktor benarkan saya membuat persembahan pada Jumaat ini tetapi saya perlu membawa jururawat yang bertugas bersama-sama,” ujarnya.
Sebelum ini, Bob mempunyai masalah berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang. - mStarOnline

Lelaki dirayu pulang walikan perkahwinan anak


KUALA TERENGGANU: “Ayah...Izah akan berkahwin Rabu ini (9 November) dan berharap ayah pulang untuk mewalikan Izah,” rintih Norhafizah Mohd Rahim, 18, mengharapkan bapanya Mohd Rahim Deraman, 39, yang menghilangkan diri hampir setahun pulang ke pangkuan keluarga.

Norhafizah berkata, sejak keluar dari rumah pada awal Disember 2010, bapanya yang bekerja sebagai jurukimpal dengan sebuah syarikat kontraktor, tidak pulang atau menghubungi keluarga sehingga kini.

“Kami adik beradik rindukan ayah dan sejak meninggalkan rumah, kami tidak menerima sebarang berita mengenai ayah dan tidak putus berdoa semoga Allah melindungi ayah walau di mana dia berada,” katanya.

Menurutnya, selepas sebulan bapanya menghilangkan diri, dia berusaha menghubungi lelaki itu namun hampa apabila telefon bimbit bapanya tidak berfungsi.

Sementara itu, ibunya, Zohyah @ Zalina Chik, 40, berkata berikutan kejadian itu, dia yang hilang tempat bergantung terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara enam anak dengan empat daripadanya masih bersekolah.

Zohyah @ Zalina yang tinggal di Kampung Tok Jiring, di sini, berkata dia mengharapkan suaminya pulang bagi mewalikan pernikahan anak mereka yang dijadualkan 9 November ini.

“Anak-anak terlalu merindui ayahnya dan demi kebahagiaan mereka, lupakan persengketaan lalu dan pulanglah bagi membolehkan majlis perkahwinan anak berjalan lancar,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, dia tidak tahu kenapa suaminya terbabit yang berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang meninggalkan keluarga kerana sebelum kejadian hubungan mereka baik sejak berkahwin pada 1991. - myMetro

Monday, October 31, 2011

Anak gadis ghaib tak ambil periksa


MUHD. ZUKI menunjukkan laporan polis manakala Siti Hajar memegang gambar Nur Ainina yang dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah di Lunas baru-baru ini. - image: KOSMO

KULIM: “Kami kini bimbang kerana Nur Ainina tidak hadir ke sekolah pada 24 Oktober lalu, sekali gus gagal mengambil dua subjek terakhir pada peperiksaan akhir tahun sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.”

Begitu kata Mohd Zuki Jahaya, 47, dari Kampung Perenggang, Lunas, dekat sini, apabila anak perempuannya, Nur Ainina Adila, 14, pelajar Sekolah Menengah Lunas menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Mohd Zuki berkata, kali terakhir dia melihat anak perempuannya ketika mahu dihantar jirannya, Rosnah Ahmad, 46, ke Sekolah Menengah Lunas, di sini, dengan menunggang motosikal pada jam 11.30 pagi hari kejadian.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan ketika itu berperwatakan seperti biasa apabila hanya memakai baju-T sekolah biru dan ungu serta berseluar sukan berwarna hitam.

“Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti Deepavali, dia ke sekolah dengan memakai baju-T, sedangkan dia sepatutnya mengambil dua subjek untuk peperiksaan akhir tahun.

“Bagaimanapun, kehilangannya disedari jiran kami apabila mahu menjemput Nur Ainina pulang selepas dia tidak muncul di pintu masuk sekolah pada jam 6.45 petang.

“Berikutan itu, Rosnah menghubungi isteri saya, Siti Hajar Othman untuk mengetahui sama ada anak kami sudah pulang ke rumah dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, hasil maklumat daripada rakan-rakan anaknya, dia diberitahu anak perempuannya langsung tidak hadir ke sekolah dan gagal mengambil dua subjek bagi peperiksaan akhir tahun.

“Terkejut dengan berita itu, kami mencari sehingga malam di Bukit Mertajam dan rumah saudara-mara serta kenalannya di Lunas, tetapi gagal lalu membuat laporan di Balai Polis Lunas pada hari kehilangannya,” katanya. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenai Nur Ainina diharap menghubunginya di talian 019-5253307 atau isterinya, Siti Hajar Othman di talian 019-5033091 atau balai polis berhampiran. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat