aDs

aluan

Followers

Thursday, May 19, 2011

Tak tidur cari anak


KUALA LUMPUR: Seorang bapa terpaksa bersengkang mata setiap hari dengan menaiki kenderaannya di sekitar Puchong dan ibu kota semata-mata mencari anak perempuannya berumur 14 tahun yang hilang sejak kelmarin.

Mohd Rashidi Jaafar, 40, berkata, anak sulungnya itu, Hana Munirah, tidak pulang ke rumah jam 7.30 malam kelmarin, selepas keluar bersama rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran Pangsapuri Semarak, dekat Puchong Perdana, di sini.

Menurutnya, Hana keluar kira-kira jam 4 petang selepas meminta izin dari isterinya mengatakan hendak keluar sebentar bersama rakannya bernama Sally Wong, 14, yang turut dikenali mereka.

“Kebiasaannya, Hana akan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar atau dari sekolah cuma sama ada cepat atau lambat saja,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Isterinya, Anizah Mohd Isa, 39, pula berkata, risau dengan keselamatan anaknya, mereka membuat laporan di Balai Polis Puchong pada jam 10.45 pagi hari yang sama.

Katanya, dia yang ke rumah keluarga Sally selepas itu menjadi lebih terkejut kerana Sally turut hilang bersama Hana.

“Sally sudah beberapa kali hilang sebelum ini kata ibunya. Justeru, akibat bimbang, kami tidak henti-henti ronda untuk mencari Hana termasuk kedai serbaneka kegemarannya, 7 Eleven.

“Namun, usaha kami menemui jalan buntu membuatkan kami jadi tak tentu arah dan tak lalu makan,” katanya.

Melalui perbualan dengan beberapa rakan sekelas anaknya pula, Hana dipercayai pernah menyuarakan hasrat ingin melarikan diri kerana mahu bebas, tetapi tidak menyangka ia benar-benar berlaku.

Mereka juga tidak mengetahui sama ada Hana sudah merancang perkara ini dengan Sally mahupun tidak.

“Saya rasa dia terpengaruh dengan Sally, seorang anak tunggal yang boleh buat sesuka hatinya kerana sebelum ini Hana pernah memberitahu saya bahawa dia rasa terkongkong kerana tidak boleh keluar sendirian,” katanya.

Menurutnya, Hana seorang yang rajin, boleh diharap dan sangat mengasihi adik-adiknya.

Anizah turut berasa risau kerana Hana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar dan khuatir dia ditipu individu tidak bertanggungjawab. Kali terakhir Hana keluar dari rumah dengan memakai kemeja-T berwarna putih, seluar sukan warna hitam dan berselipar.

Berikutan itu, sesiapa yang menemui Hana diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 012-3153636 dan 019-2924711. - myMetro

Mangsa serangan seks ketua IMF dibimbangi ada HIV


NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn (gambar), 62, yang dituduh menyerang dan cuba merogol seorang pekerja wanita Hotel Sofitel di sini berdepan kebimbangan baharu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kebimbangan itu adalah kerana pekerja wanita yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal di sebuah apartmen di Bronx yang dikhaskan untuk penghidap HIV atau AIDS.
Pekerja wanita itu yang merupakan pendatang dari Afrika dilaporkan tinggal di rumah tersebut bersama anak perempuannya yang berusia 15 tahun sejak Januari lalu. Sebelum ini, dia tinggal di sebuah lagi apartmen milik pertubuhan kebajikan Harlem Komuniti AIDS.
Akhbar itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada pekerja hotel itu menghidap AIDS atau sebaliknya. Namun, pihak kebajikan Harlem menegaskan sekurang-kurangnya seorang penyewa apartmen di bawah seliaannya mestilah individu yang disahkan menghidap penyakit berbahaya itu.
"Apartmen itu tidak disewa di bawah namanya," jelas seorang pengurus bangunan tersebut, Chaim Gross.
Wanita itu menuduh Strauss-Kahn yang juga disebut-sebut bakal bertanding pilihan raya Presiden Perancis memaksanya melakukan seks oral sebanyak dua kali selain cuba merogolnya ketika dia membersihkan sebuah bilik Hotel Sofitel di Times Square, New York pada Sabtu lalu.
Pusat Kawalan Penyakit Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menjelaskan wujud kemungkinan seorang pelaku seks dijangkiti HIV menerusi seks oral.
Strauss-Kahn kini ditahan di penjara Rikers Island dan berada di bawah kawalan rapi kerana dibimbangi mungkin akan membunuh diri.
Sebelum ini, hakim sebuah mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin. - Agensi

'S.Y.O.K' Tidak Tumpang Populariti Artis 'Raja Lawak'


Barisan pelakon dan krew penerbitan sitkom muzikal S.Y.O.K yang bakal bersiaran bermula 27 Mei ini di TV1. - Foto ART CHEN
KUALA LUMPUR: Sitkom muzikal terbaru S.Y.O.K yang bakal bersiaran di saluran TV1 pada 27 Mei ini tidak menumpang populariti pelawak-pelawak muda yang dicungkil daripada program Raja Lawak (RL) Astro.
Penerbitnya Nor Khuzaimah Abd. Aziz atau Oja berkata memandangkan S.Y.O.K lebih menyasarkan kepada kelompok penonton muda, maka pemilihan barisan pelawak muda adalah perlu bagi mengimbangi keperluan sitkom berkenaan.
"Kami hasilkan sitkom ini untuk menarik perhatian golongan muda supaya menonton program di RTM. Sebab itu, kami perlu seimbangkan barisan pelawak lama dan baru yang mewarnai sitkom ini.
"Kebetulan pula, majoriti pelawak muda yang aktif pada hari ini lahir daripada program RL. Mungkin sebab itu ada yang menganggap seolah-olah kami ingin menumpang populariti mereka," katanya selepas pratonton sitkom itu di Wisma TV, Angkasapuri, di sini, Rabu.
Penerbit Nor Khuzaimah Abdul Aziz (Oja)
Tambah Oja, pemilihan artis-artis yang popular menerusi rancangan Raja Lawak seperti Jepp Sepah, Nabil, Alex, Johan dalam sitkom tersebut bukan satu isu bagi pihak mereka.
"Kebetulan nama-nama ini sedang 'digilai' ramai dan penonton mahu menyaksikan aksi jenaka mereka. Bagi saya, ia bukan satu isu pun kami menumpang artis-artis Astro atau sebaliknya.
"Pemilihan mereka adalah berdasarkan kesesuaian masing-masing mengikut watak-watak dalam sitkom S.Y.O.K," terangnya.
Lebih menarik lagi, skrip sitkom tersebut dihasilkan mengikut barisan pelakon yang dipilih bagi menjayakan sesuatu watak itu.
"Yang menariknya, skrip sitkom ini dihasilkan mengikut pelakon yang dipilih. Contohnya, untuk watak Harun Salim Bachik, kami hasilkan skrip selepas dia mengesahkan untuk terlibat dalam sitkom ini.
"Kami mahu cari kelainan agar setiap watak dalam sitkom ini terhasil betul-betul mengikut kriteria dan karakter pelakon-pelakon yang dipilih itu," katanya.
Alex (Raja Lawak 4) adalah antara pelawak muda yang terlibat dalam sitkom S.Y.O.K
Sitkom yang tercetus ekoran sambutan hangat terhadap muzikal Syoknya Raya pada Hari Raya tahun lalu itu dirakamkan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan pada bulan Februari lalu.
Selain barisan pelawak muda, S.Y.O.K turut menampilkan pelakon komedi berpengalaman termasuk AC Mizal, Saiful Apek, A.R Badul, Kenchana Devi, Kartina Aziz, Abon dan Adibah Noor.
S.Y.O.K yang bermaksud Sempoi Yakin Optimis dan Kelakar itu akan mula bersiaran pada 27 Mei ini bermula pukul 9 malam. - mStarOnline

Wednesday, May 18, 2011

Isteri derita suami ketagih cerut


KUALA LUMPUR 17 Mei - Seorang isteri menderita selama 15 tahun gara-gara tabiat luar biasa suaminya yang ketagihan cerut sehingga mengabaikan nafkah beliau, keluarga dan anak-anak.

Mangsa berusia 40-an dan hanya mahu dikenali sebagai Normah mengadu suaminya sanggup 
membelanjakan lebih RM5,000 sebulan membeli cerut pelbagai jenama bernilai antara RM60 hingga RM250 sebatang.

Menurutnya, akibat tabiat buruk suaminya yang bekerja sebagai kontraktor itu rumah mereka kotor dan sentiasa berbau asap sehingga menjejaskan kesihatan lima orang anak mereka yang berusia antara tiga dan 13 tahun.

Jelas Normah, kini rumahtangga yang dibina seawal usianya 25 tahun itu berada di ambang kehancuran kerana beliau sudah tidak tahan lagi dengan sikap suaminya.

Kisah mangsa itu diceritakan sendiri olehnya kepada Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat pada program khidmat nasihat berkaitan undang-undang yang ditawarkan secara percuma di Restoran Ali Maju, Rawang, baru-baru ini.

Menurut Khairul Anwar, pada peringkat awal, SukaGuam mendapati rumahtangga mangsa masih boleh diselamatkan justeru mencadangkan supaya mangsa menangguhkan proses perceraian.

BAGI seorang penghisap curut tegar, peralatan ini antara yang wajib dimiliki dan harganya ada mencecah ribuan ringgit mengikut jenama.
Jelas beliau, SukaGuam menasihatkan mangsa supaya tidak bertindak terburu-buru sebaliknya berusaha menuntut nafkah perbelanjaan daripada suaminya yang dianggarkan kira-kira RM80,000 untuk tempoh 15 tahun perkahwinan mereka.

''SukaGuam akan menghantar surat kepada suami mangsa meminta beliau datang kepada kami bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.

''Seboleh-bolehnya kita tidak mahu berlaku perceraian. Rumahtangga mereka ini masih boleh diselamatkan kerana kita merasakan ia belum sampai ke tahap serius lagi,'' katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, berdasarkan laporan mangsa yang merupakan suri rumah, beliau kini terpaksa mencari sumber pendapatan sendiri dengan menjual nasi lemak bagi menyara kehidupannya dan anak-anak.

''Mangsa turut memberitahu, suaminya tidak pernah mengendahkan segala keperluan dirinya dan anak-anak, malah, pernah meminta beliau mencari duit sendiri dan dia (suami) mencari duit sendiri untuk keperluan dirinya,'' katanya. - utusan

Mayat pelajar wanita warga China ditemui berulat


SEREMBAN 17 Mei - Seorang wanita warga China yang belajar di sebuah kolej swasta dekat sini ditemui mati dalam keadaan berulat di sebuah bilik apartmen di Mantin, hari ini.

Mayat mangsa berusia 21 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang memecah masuk bilik berkenaan selepas beberapa pelajar mengadu tidak tahan dengan bau busuk.

Menurut jurucakap polis, mayat mangsa dijumpai terbaring di bilik tidurnya dalam keadaan lengkap berpakaian.

"Ketika ditemui, keadaan mayat sudah berulat dan mangsa disyaki sudah meninggal dunia sejak seminggu yang lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat bagi mengesan punca kematian," katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik berkenaan dan beberapa rakannya memberitahu bahawa dia tidak keluar dari bilik sejak seminggu lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.

Katanya, buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian. - utusan

Hati Jamal Tersentuh Nyanyi 'Kasihnya Ibu'


Jamal
KUALA LUMPUR: Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah mengakui tersentuh apabila menyanyikan lagu Kasihnya Ibu kerana lagu tersebut merupakan lagu kegemaran arwah ibunya.
Katanya, dia sering membawakan lagu tersebut pada mana-mana persembahannya.
"Lagu Kasihnya Ibu sangat bermakna bagi saya kerana itu lagu kegemaran arwah ibu saya. Saya sering menyanyikan lagu tersebut ketika ibu sedang memasak di dapur dan dia sangat suka.
"Sebab itulah saya sering membawakan lagu tersebut pada banyak persembahan saya," katanya pada sidang media selepas Majlis Kasihnya Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa.
Tambahnya, dia mahu peminat-peminatnya menghargai ibu mereka yang masih hidup sebelum kehilangan mereka.
Dee yang menjadi pengacara majlis turut mengusik tetamu.
Sementara itu, dari segi pemilihan lagu, Jamal memilih lagu yang bersesuaian dengan Hari Ibu iaitu lagu yang mampu meruntun jiwa.
"Saya sengaja pilih lagu yang agak balada dan sedih kerana mahu penonton menangis. Saya mahu mereka tersentuh kerana kebanyakan mereka datang dengan keluarga dan ibu mereka," katanya.
Dalam acara tersebut, Jamal menyanyikan 12 buah lagu termasuk dua lagu berduet dengan penonton.
Antara lagu yang didendangkan adalah Takdir Penentu Segala, Kau Lupa Janji, Kasihnya Ibu, Padamu Kekasih, Azura dan lagu baru Penawar Kasih.
Majlis sempena hari ibu yang dianjurkan oleh PWTC ini dihadiri lebih 600 tetamu.
Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan alunan merdu tiupan saksofon daripada pemain saksofon muda, Alif Nasir.
Manakala pengacara majlis yang menggamatkan keadaan pada petang itu ialah Syed Muradzi Syed Shamsul atau dikenali sebagai Dee. - mStarOnline

Tuesday, May 17, 2011

Syahrini mengadu kepada polis

Gambar Syahrini dan Glenn Fredly

JAKARTA: Ketika gambar aksi terlampaunya semakin meluas beredar di Internet, Syahrini enggan memberi sebarang komen, sebaliknya dia memilih untuk menangani isu itu mengikut saluran perundangan.
Gambar panas yang tersebar di internet

Peguam Syahrini, Warsito, berkata antara langkah awal diambil pihaknya adalah melaporkan kes itu kepada polis.

“Selepas meneliti gambar dimaksudkan kelmarin, saya memutuskan untuk meminta polis menyiasat siapa dalang di sebalik penyebaran imej berkenaan,” katanya kepada media, semalam.

Pada masa sama, kata Warsito, kes itu juga memberi pengajaran kepada Syahrini.

“Walaupun Indonesia mengamalkan demokrasi, sepatutnya hak asasi dan privasi manusia sentiasa dihormati,” katanya.

Peguam itu berkata, gambar Syahrini dan adik merangkap pengurusnya, Aisyahrini, dalam keadaan tidak sopan itu bukan untuk tatapan umum, sebaliknya koleksi peribadi mereka.

Justeru, katanya, isu itu tidak sepatutnya timbul atau dihebohkan.

“Ia adalah tindakan pembunuhan karakter ke atas Syahrini dan Aisyahrini,” katanya. Selain membuat aduan kepada polis, Warsito berkata, pihaknya juga memohon mendapatkan perlindungan undang-undang.

“Apa pengajaran di sebalik penyebaran gambar ini? Kita diberitahu bahawa sesiapa saja terdedah dengan kemungkinan diaibkan jika aspek itu yang dicari,” katanya.

Pada masa sama, Warsito menegaskan, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana kelihatan sengaja dilakukan dan bersistematik.

“Hanya aspek negatif dipaparkan dan yang positif tidak didedahkan,” katanya. - KP

Related Posts with Thumbnails

heratBeat