aDs

aluan

Followers

Monday, December 27, 2010

Peluang bangkit tipis – Riedl

Pemain-pemain skuad kebangsaan meraikan kemenangan mereka menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Bukan kerana pancaran laser tetapi kerana gol pertama, itulah alasan yang diberikan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Malaysia dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jurulatih berasal dari Austria itu mengakui pemainnya tersentak dengan gol sulung Malaysia pada minit ke-62 dan segalanya berubah dengan serta-merta sehingga mereka bolos buat kali kedua dan ketiga dalam tempoh empat minit.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia. Ia sebenarnya adalah perlawanan yang biasa tetapi akibat gol pertama pasukan lawan semuanya serba tidak menjadi buat kami, Malaysia bertambah yakin pemain saya pula semakin keliru,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tamat.

Jelasnya, ia memang saat yang sukar sebaik sahaja pasukan lawan mula menjaringkan gol, walaupun perlawanan bermula dengan biasa tetapi dalam bola sepak ia boleh menjadi sukar buat sesetengah pasukan.

“Memang pancaran laser mengganggu pemain kami, tetapi itu sebelum gol Malaysia dijaringkan, selepas ia dihentikan dan disambung semula kami terus melepaskan gol, sejak dari itu semuanya menjadi teruk.

“Masalah laser ini sesuatu yang buruk dalam arena bola sepak, tetapi ia menjadi lebih buruk apabila pasukan anda mula melepaskan gol, saya akui agak sukar untuk kami bangkit semula di Jakarta,” katanya.

Riedl berkata, peluang pasukan mereka sangat tipis, mereka perlu mengambil risiko untuk melakukan apa sahaja yang boleh agar dapat mengimbangi semula jaringan ini.

“Saya juga akan duduk berbincang dengan pemain, bertanyakan kepada mereka apa masalah yang melanda mereka, adakah mereka terkejut dengan jaringan pertama atau ada masalah lain,” ujarnya.

Ditanya sama ada bermain buat pertama kali di luar Indonesia dalam kejohanan ini menjadi punca kepada kekalahan mereka, Riedl menjawab itu bukan alasan utama mereka tewas, sebaliknya semuanya sama sahaja.

“Ini adalah perlawanan seimbang, 50-50, siapa sahaja boleh mencatatkan kemenangan, tetapi kami akan melakukan apa sahaja walaupun peluang untuk bangkit agak tipis,” katanya.

Riedl juga sempat meluahkan rasa kekecewaannya kepada media Indonesia kerana terlalu mengganggu pemainnya.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails

heratBeat