KUALA LUMPUR: “Kalau ada orang yang terasa dengan lawak kami malam itu, kami minta maaf kerana tidak pernah terlintas mahu mempersendakan sesiapa,” kata seorang daripada ahli kumpulan Sepah, Jep berhubung rasa tidak selesa beberapa individu terhadap persembahan mereka pada final Maharaja Lawak yang dilihat mengajuk penceramah terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood.
Jep atau nama sebenar Mohd Nadzri Zainal Abidin, 24, berkata, idea meniru gaya penceramah itu tercetus ketika dia dan ahli kumpulan berbincang mengenai persiapan final Maharaja Lawak.
“Memang kami mahu menggunakan gaya personaliti program bual bicara, tetapi bersetuju tidak menggunakan nama sesiapa.
“Kami cuba sampaikan mesej baik menerusi lawak itu, tetapi memang tidak dapat mengelak jika ada orang pandang negatif,” katanya yang dihubungi semalam.
Menurutnya, mereka memang tidak berniat mahu memperlekehkan sesiapa sebaliknya mahu mengangkat mesej positif dalam persembahan malam itu.Sepah yang turut dianggotai Mohd Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Muhamad (Shuib) muncul juara pada final Maharaja Lawak minggu lalu.
Sementara itu, Siti Nor Bahyah berkata, beliau tidak terasa hati Sepah meniru gayanya ketika persembahan akhir Maharaja Lawak sebaliknya gembira dengan tindakan kumpulan itu.
“Saya berfikiran positif pada kumpulan Sepah, sekurang-kurangnya ajukan mereka memberikan peringatan yang baik sebagaimana saya menyampaikan dakwah kepada orang lain walaupun ia hanya di atas pentas,” katanya yang dihubungi semalam.
Menurutnya, tidak menjadi kesalahan meniru gaya pendakwah asalkan ia mengandungi mesej membina yang boleh mengajak manusia ke arah kebaikan.
“Perkara paling saya suka apabila Jep menyebut perkataan Cakar Harimau yang pernah disebut saya sekitar 2004. Walaupun ia sudah lama, ia masih diingati dan saya berpendapat artis turut mengikuti perkembangan pendakwah,” katanya. - myMetro
No comments:
Post a Comment