SENTUL: Seorang lelaki yang asyik bersembang menggunakan telefon bimbitnya mati selepas terjatuh dari tingkat empat Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini, malam kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, mangsa berusia 18 tahun dipercayai terlalu asyik berbual menggunakan telefon bimbitnya sebelum tergelincir lalu terjatuh.
“Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di blok lain pangsapuri berkenaan dikatakan berbual bersama rakannya dalam telefon dan duduk di beranda tingkat empat.
“Sedang seronok berbual, mangsa dipercayai gagal mengimbang badan dan terjatuh,” katanya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian memanggil ibu bapa mangsa yang kemudian mengenal pasti mangsa sebelum polis tiba.
“Mangsa mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala serta anggota badan yang lain.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut seorang saksi enggan dikenali, kejadian ini adalah kali kedua selepas seorang lelaki turut terjatuh dari tingkat enam pangsapuri sama kira-kira dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - myMetro
No comments:
Post a Comment