HANGUS...seorang lelaki di kawasan kenderaan yang musnah terbakar di Tobruk, Libya |
BENGHAZI (Libya): Satu unit tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam membedil menara sebuah masjid dengan peluru antipesawat dan senjata automatik selepas penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan di barat Tripoli itu.
Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang berkampung di luar dan dalam masjid itu terbunuh dalam serangan di Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli. Dia bagaimanapun tidak dapat memberi jumlah tepat.
Tentera pro-Gaddafi bertindak ganas ketika pengaruh pemimpin Libya itu semakin terhakis. Zawiya dan beberapa bandar besar Libya yang lain serta bandar berhampiran Tripoli sudah dikuasai pemberontak. Di timur yang dikuasai sepenuhnya kumpulan penentang, pembangkang berikrar ‘membebaskan’ Tripoli, tempat pemimpin Libya itu berkubu dengan sekumpulan tenteranya meronda jalan raya dan kereta kebal melindungi kawasan pinggir.
Saksi berkenaan yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang terhadap tindak balas berkata, serangan jam 9 pagi (waktu tempatan) dilakukan sehari selepas pembantu Gaddafi yang dikenali sebagai Abdullah Megrahi muncul di bandar berkenaan dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya ‘pulang atau mereka akan menyaksikan satu pembunuhan beramai-ramai.
“Kami memberitahunya kami tidak akan pulang, sama ada kami mati atau kami mencapai kemenangan,” katanya. Saksi itu terkejut dengan tindakan tentera yang menyerang orang awam. Beberapa unit tentera dilapor berpaling tadah dengan menyokong penunjuk perasaan sejak pemberontakan bermula 15 Februari lalu.
Ada laporan menyatakan kira-kira 1,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan itu di seluruh negara sementara kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch menganggarkan lebih 300 terkorban. “Apa yang berlaku amat teruk. Mereka yang menyerang kami bukan tentera upahan, tetapi anak negara ini sendiri. Mereka membedil menara masjid,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar penunjuk perasaan remaja yang bersenjatakan senapang memburu. Dia juga memberitahu, penunjuk perasaan dari Zawiya tidak berhasrat untuk menyahut gesaan pembangkang supaya menyertai perarakan seluruh negara ke Tripoli hari ini.
“Kami tidak merancang untuk berarak ke Triopoli. Kami sudah berbincang dan bersetuju untuk kekal di sini,” katanya. Penunjuk perasaan tidur di dalam masjid dan di kawasan lapang di luarnya sejak beberapa hari lalu dan enggan meninggalkan premis berkenaan.
“Kumpulan remaja itu tidak mempunyai apa-apa untuk melindungi diri mereka kecuali senapang memburu dan semangat, manakala tentera memiliki peluru berpandu antipesawat dan senjata automatik,” katanya.
Dia juga berkata, polis tidak kelihatan di bandar itu yang terletak berhampiran sebuah pelabuhan dan kilang penapisan minyak utama di Mediterranean. “Penduduk terpaksa membentuk jawatankuasa bagi melindungi rumah masing-masing serta bangunan lain,” katanya.
Dia juga berkata, penyokong Gaddafi turut menyerang warga China dan Mesir yang bekerja dengan syarikat pembinaan di bandar raya itu. — Agensi
Gila kuasa....lebih zalim dari Mubarak.
ReplyDelete