PETALING JAYA: Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membantah langkah Kementerian Pelajaran melakukan pindaan bahagian tertentu novel Interlok yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif GAPENA, Prof. Datuk Dr Zainal Kling berkata, Gapena tetap akan mempertahankan kebebasan penulis menulis novelnya sekali gus tidak membenarkan pindaan dilakukan.
"Novel itu menggunakan konsep yang mencerminkan realiti masyarakat di India. Novel itu tidak menggunakan perkataan untuk merujuk kepada masyarakat India di Malaysia," katanya kepada Mingguan MStar.
Hasil karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussin itu kini digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, dalam plot ceritanya, watak Maniam diceritakan meninggalkan negara asalnya iaitu India dan meninggalkan kastanya sebelum akhirnya tiba ke Tanah Melayu.
Jelasnya lagi, penulis tidak lagi menyentuh tentang kasta Maniam selepas itu.
"Jadi bermakna penulis telah membela kebajikan Maniam dan tidak lagi menyebut tentang kasta. Gapena dengan itu mempertahankan novel itu seperti sedia adanya," katanya.
Dalam pada itu beliau memberi amaran supaya jangan ada pihak yang menggunakan sebarang karya sastera untuk menyelesaikan masalah dalaman masyarakat mereka.
"Mereka ingin menolak sejarah, tetapi mereka mempunyai sejarah. Kita tidak boleh menafikan sejarah sebaliknya menerimanya. Kita mesti berhadapan dengan sejarah," katanya. - mStarOnline
No comments:
Post a Comment