SHAH ALAM: Baru berusia 16 tahun tetapi sudah bergelar penjenayah ganas apabila terbabit dengan jenayah samun bersenjata di stesen minyak sekitar Lembah Klang.
Bukan sekadar berani menyamun, tetapi ‘berhati kering’ apabila sanggup menyerang polis menggunakan parang.
Semalam, remaja itu bersama dua lagi rakannya berusia lingkungan 20-an mati ditembak polis di Jalan Kerjaya, Glenmarie, di sini, kira-kira jam 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak.
Semua suspek yang juga ahli kumpulan ‘Geng Minyak’ ditembak mati oleh sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas menyamun sebuah stesen minyak di U1/1, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Suspek yang ditembak mati dikenalpasti sebagai Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20 dan Muhamad Hanafi Omar, 22.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu terserempak dengan kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum diminta berhenti.
Menurutnya, kumpulan penjenayah itu yang memandu kereta jenis Waja enggan berhenti lalu dikejar sehingga mereka terlanggar kenderaan polis sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dan cuba menyerang polis, menyebabkan anggota polis tiada pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan.
“Semua anggota polis yang terbabit dalam kejadian ini selamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin dan Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah.
Semua suspek terbabit dipercayai berasal dari Cheras, Selangor dan dalam tempoh sebulan lalu, kumpulan itu disyaki terbabit dalam kejadian samun stesen minyak di Monteres dan Bukit Subang, di sini, dan terbaru di Glenmarie.
Pemeriksaan polis mendapati kenderaan digunakan penjenayah terbabit dilaporkan dicuri di Jinjang, Kuala Lumpur enam bulan lalu.
Polis turut menemui dua mesin tunai dipercayai milik stesen minyak yang baru disamun, tiga bilah parang dan beberapa barangan lain hasil samun.
Thaiveegan berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah menjadikan stesen minyak terpencil sebagai sasaran.
“Kita percaya suspek terbabit bergiat aktif dalam kejadian samun di sekitar Lembah Klang dan kita akan bekerjasama dengan polis Kuala Lumpur berhubung kejadian ini.
“Anggaran kerugian membabitkan kumpulan ini belum diketahui, manakala jumlah kerugian di stesen minyak yang baru disamun itu masih dalam siasatan,” katanya.
SIASAT...anggota polis forensik memeriksa mayat tiga lelaki yang ditembak mati pagi semalam. |
Semua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. - myMetro
YG INI SALAH SAPO?.... NAK DISALAHKAN POLIS JUGAK KO..... EKAU PIKIR LA SENDIRI.....
No comments:
Post a Comment