aDs

aluan

Followers

Thursday, December 22, 2011

'Saya selamat dan masih beragama Islam’


Kontroversi....Ariff menerima cincin perkahwinan dari pasangan "gay"nya.

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD) Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang baru-baru ini, memberitahu, dia selamat dan kini menetap di Dublin.

Menurut Ariff Alfian, dia juga masih beragama Islam dan tidak hilang sebagaimana dilaporkan.

"Saya tidak menganut agama lain seperti yang dilaporkan. Saya dilahirkan sebagai Islam, saya masih seorang Islam dan akan kekal Islam sehingga saya meninggal dunia.

"Tiada apa yang mampu menggoncang keimanan saya," katanya yang dipetik dalam portal berita http://www.irishtimes.com semalam.

Pada 12 Disember lalu, bapanya, Rosli Haron telah melaporkan kehilangan Ariff Alfian kepada Utusan Malaysia selepas gagal menghubungi anaknya itu sejak tiga tahun lalu.

Bekas pelajar UCD itu memberitahu, dia telah bermastautin di Ireland ketika mula menyambung pengajian dalam bidang perubatan sejak lapan tahun lalu.

"Saya tak hilang. Pihak berkuasa Ireland tahu saya tinggal di negara ini secara sah.

"Kedutaan Malaysia juga tahu dan sedar yang saya tinggal secara sah di sini sejak beberapa tahun lalu," ujarnya.

Ariff Alfian mengakui dia sudah beberapa tahun tidak bercakap atau menghubungi bapanya di Malaysia, ekoran satu perselisihan faham antara mereka.

"Saya ada sedikit salah faham dengan ayah pada tahun 2009 dan sehinggalah saya dilaporkan hilang.

"Saya masih tidak berhubung dengannya, tetapi sering berhubung dengan ahli keluarga yang lain," katanya lagi.

Ariff Alfian menjelaskan, tindakannya itu secara tidak langsung telah menarik perhatian masyarakat.

Menurutnya, dia tidak berniat mencetus kontroversi, apatah lagi perkara tersebut melibatkan keluarganya. - Utusan

Tanduk badak sumbu dipotong diganti dengan kayu


RUPA kepala seekor badak sumbu yang diawet selepas tanduk haiwan itu dipotong di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland. - AFP

GENEVA - Pihak pengurusan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland mengambil langkah drastik apabila bertindak menggantikan tanduk enam ekor badak sumbu yang diawet dengan kayu bagi mengelak ia dicuri.
Langkah itu dibuat selepas beberapa kurator muzium itu mendengar tanduk badak sumbu dicuri di beberapa muzium di seluruh Eropah termasuk di Britain, Perancis dan Jerman.
Tanduk badak sumbu amat berharga di Asia kerana kebanyakan penduduk menganggap ia boleh digunakan untuk melawan penyakit dan menguatkan tenaga batin.
Menurut pihak muzium itu, sejak beberapa bulan lalu, tanduk itu berharga di antara 20,000 franc (RM68,177) dan 250,000 franc (RM852,261).
"Di pasaran gelap, tanduk badak sumbu lebih bernilai daripada emas," kata muzium tersebut dalam satu kenyataan. - AFP

Bangalore jadi pusat muzik rock


PENYANYI kumpulan band Solder, Siddarth Abraham berlatih menyanyi lagu rock di Bangalore pada 15 Disember lalu. - REUTERS

BANGALORE, India - Bandar perkilangan ini yang pernah digelar Lembah Silikon India kini mengalami transformasi sebagai sebuah hab muzik rock.
Perkembangan itu antara lain didorong golongan kelas pertengahan yang memiliki wang tambahan dan selera muzik kuat dan rancak.
"Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk mewujudkan muzik rock India yang setanding dengan muzik Rock Amerika dan rock Britain," kata vokalis sebuah kumpulan rock tempatan yang dikenali sebagai Siddarth Abraham.
Kumpulan rock tersebut, Solder, berlatih empat kali seminggu di sebuah bangsal di belakang rumah pemain dramnya di sini.
Perkembangan pesat irama rock di sini mendorong kewujudan genre rock tersendiri yang dikenali sebagai Bangalore Rock.
Menurut Saddarth, Bangalore Rock merupakan gabungan rock klasik, rock keras dan heavy metaldengan suntikan sedikit irama jazz dan blues.
Semua kumpulan rock di sini menyanyikan lagu mereka dalam bahasa Inggeris.
Pelbagai teori dibuat tentang fenomena muzik berkenaan dalam kalangan belia di sini.
Antara lain, terdapat teori yang menyatakan muzik Barat dipopularkan menerusi majlis-majlis tarian yang dianjurkan oleh tentera India yang berpangkalan di sini.
Satu lagi teori menyatakan muzik Barat termasuk rock pesat berkembang kerana bandar ini memiliki ramai penduduk keturunan Serani yang meminati irama rock n roll. - Reuters

Saturday, December 17, 2011

Pesakit tikam doktor


Suspek diikat oleh orang ramai selepas bertindak agresif menyerang doktor di sebuah klinik di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 16 Dis. – Seorang pesakit yang menikam doktor di sebuah klinik swasta di Jalan Magazine malam tadi dipercayai mengalami kemurungan selepas kematian isterinya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 67 tahun tidak memiliki rekod jenayah dan masalah mental.

“Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, suspek bertindak menyerang Doktor Lee Kok Seng, 50-an, sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kiri rusuk.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana tidak sempat menerima rawatan sewaktu berkunjung ke klinik berkenaan Rabu lalu disebabkan gilirannya lambat tiba.

Dia kemudiannya kembali ke klinik itu semalam tetapi enggan membuat pendaftaran semula dengan alasan sudah berbuat demikian pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, kekecohan berlaku apabila suspek bertindak menikam doktor yang sedang merawatnya.

Kong Meng memberitahu, polis merampas pisau pemotong buah yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Beliau menambah, pihaknya masih menyiasat motif sebenar serangan tersebut. - UMalaysia

Pemuda Melayu 'kahwin' lelaki?


GAMBAR yang diambil daripada sebuah laman web, perkahwinan pasangan gay melibatkan seorang pemuda Melayu dan lelaki Inggeris bergambar bersama jemputan di suatu lokasi dipercayai di luar negara.

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Seorang pemuda Melayu mencetuskan kontroversi apabila beberapa keping gambar perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing, tersebar di dalam sebuah laman web biggayweddingproject.com.

Apa yang mengejutkan, pada majlis perkahwinan sejenis yang dipercayai berlangsung dalam sebuah gereja di luar negara, pemuda berusia lingkungan 20-an itu memakai baju Melayu berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas.

Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan masyarakat Barat.

Laman web yang dipercayai menyokong perkahwinan homoseksual itu telah memuatkan sebanyak 15 keping gambar sepanjang majlis 'perkahwinan' itu berlangsung.

Antara yang disiarkan adalah pasangan itu bergambar di dalam kumpulan dan sedang diraikan setelah selesai menjalani proses bergelar 'suami-isteri'.

Terdapat dua keping gambar lelaki warga asing itu sedang bersiap sedia melangsungkan perkahwinan sambil dibantu rakan-rakannya.

Turut menarik perhatian ialah gambar yang menunjukkan lelaki Melayu itu disarungkan cincin oleh pasangannya.

Menurut keterangan yang dipaparkan bersama kepingan gambar yang dipercayai dimuatkan pada 20 September itu, pasangan terbabit merupakan klien pertama bagi projek penggambaran majlis perkahwinan golongan homoseksual dikendalikan laman web berkenaan. - UMalaysia

Friday, December 2, 2011

Firuz Akhtar juara Ustazah pilihan

  FIRUZ AKHTAR dinobatkan Juara program realiti Ustazah Pilihan Astro Oasis.
FIRUZ AKHTAR dinobatkan Juara program realiti Ustazah Pilihan Astro Oasis.
SHAH ALAM: Graduan Sarjana Pengajian Islam dan Asia Barat dari Universiti St Louis, Washington, Firuz Akhtar Mohamad Bokhari, 27 dipilih sebagai juara pertama program realiti Ustazah Pilihan menewaskan tiga finalis lain pada peringkat akhir yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam. 

Sebagai johan, Fairuz Akhtar dari Kuala Lumpur menerima sebuah kereta, wang tunai RM20,000 dan trofi. Tempat kedua dimenangi guru bahasa Arab dari Johor, Nurul Hidayah Kamaruddin yang menerima wang tunai RM15,000 dan trofi, manakala tempat ketiga, Siti Fatimah Mohd Sharif, 27 dari Kuala Lumpur untuk dengan hadiah wang tunai RM10,00 bersama trofi.

Tempat keempat pula adalah Masfira Hilman, 28 juga dari Johor menerima wang tunai RM5,000 dan trofi. - BHarian

Apek perlu tabah, sabar


KUALA LUMPUR: Tindakan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), 21, yang terfikir mahu bersara awal daripada arena bola sepak berikutan tidak tahan dengan kontroversi di luar padang mendapat perhatian banyak pihak yang menyifatkan jika benar keputusan itu dibuat, ia sesuatu merugikan kerana prestasi Apek sedang memuncak.

Pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, 24, berkata, sebagai pemain profesional, Apek perlu melalui semua kontroversi dengan sabar kerana dia adalah ‘selebriti bola sepak’ dan peminat pastinya mahu tahu perjalanan hidupnya termasuk membabitkan soal peribadi.

Katanya, perkara sama pernah dilaluinya dan tidak masuk akal jika Apek meninggalkan karier diraihnya dengan penat lelah hanya disebabkan kontroversi yang dianggap perkara biasa.

“Apek perlu menolak ke tepi semua kontroversi itu dan jangan peduli apa orang cakap. Yang penting Apek tahu apa dia buat, tidak halang perjalanan karier, profesional dan beraksi cemerlang di atas padang,” katanya.

Menurut Zaquan, jika Apek masih berniat meneruskan hasrat bersara, dia perlu berfikir panjang dan menyifatkan tindakan individu menyebarkan gambar mesra Apek sebagai usaha menjatuhkan kariernya, dengki dan tidak senang melihat kejayaan orang lain.

“Fikirlah sebaik-baiknya kerana peluang bermain bola hanya ada bila waktu sihat. Sebolehnya teruskan karier, pandai bawa diri dan jangan mudah percaya orang,” katanya.

Pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley Salleh, 31, berkata, tugas menjaga gawang lebih sukar daripada menepis kontroversi yang datang.

“Nasihat saya, anggaplah kontroversi itu sekadar ‘come and go’ (datang dan pergi). Sebagai Hero Malaya, peminat perlu menyokong perjalanan karier Apek, apa lagi tugas meneruskan misi negara lebih berat.

“Apa berlaku kepada Apek perkara biasa di mana-mana kelab bola sepak kerana peminat mahu tahu cerita mengenai bintang bola sepak mereka,” katanya.

Pelakon, Neelofa Mohd Noor, 22, berkata, sebagai ‘public figure’, artis mahu pun selebriti sukan pasti dihujani banyak cerita positif dan negatif yang dianggap publisiti, tetapi pelakunya perlu bijak menghadapi. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat