aDs

aluan

Followers

Saturday, November 12, 2011

Mangsa dera ditemui 4 bulan selepas ditanam


ANGGOTA polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemui ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Kwang Tong, Seremban baru-baru ini. - foto:KOSMO

SEREMBAN 11 Nov. - Perbuatan kejam seorang lelaki mendera anak teman wanitanya berusia dua tahun sehingga mati sebelum menanam mayatnya di belakang rumah sewa mereka, empat bulan lalu, terbongkar apabila wanita itu melaporkannya kepada polis.

Dalam kejadian di Taman Kuang Tong di sini, Julai lalu, suspek bertindak demikian bertujuan menghapuskan bukti kekejaman yang dilakukan terhadap mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, rangka kanak-kanak malang itu ditemui pada Sabtu lalu iaitu kira-kira empat bulan selepas mayatnya ditanam.

Katanya, ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan teman lelakinya selepas diugut malah dia juga dikurung di dalam rumah berkenaan.

"Namun segalanya terbongkar selepas wanita itu berjaya melarikan diri dari rumah tersebut, Jumaat lalu, sebelum membuat laporan polis.

"Bertindak hasil laporan itu, polis menyerbu rumah terbabit sebelum menemui rangka kanak-kanak di dalam lubang sedalam dua kaki (0.6 meter) di belakang rumah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Osman memberitahu namun ketika serbuan, suspek Khalid Redza Shuaib, 30, yang beralamat terakhir di No. 98, Taman Kwang Tong Off Jalan Cambell, telah melarikan diri.

Menurutnya, pasangan berkenaan menyewa di rumah itu sejak beberapa bulan lalu dan wanita itu mendakwa anaknya sering didera lelaki terbabit.

"Pada 3 Julai lalu, wanita itu mendakwa anaknya tiba-tiba nazak selepas didera sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Panik dengan keadaan itu, suspek menanam mayat kanak-kanak tersebut di belakang rumah yang disewa mereka pada waktu tengah malam hari yang sama," jelasnya.

Difahamkan, wanita itu tidak dapat meminta bantuan kerana dikurung di dalam rumah malah telefon bimbitnya juga dirampas oleh lelaki terbabit.

"Rangka kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kita menunggu laporan bedah siasat berkenaan.

"Kita juga sedang mengesan teman lelaki wanita itu yang disyaki terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan dan mengesan di mana suspek berada diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan. - UMalaysia

Dikubur pasir


Dikubur pasir
SLIM RIVER: Usaha seorang bapa, Zaidi Muhammad, 43, menjejak anaknya yang ‘ghaib’ sejurus tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di sini, semalam, berakhir hiba apabila pelajar itu ditemui sudah meninggal dunia di bawah timbunan pasir setinggi dua meter kira-kira enam jam selepas nahas.

Maysarra Zaidi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, antara empat yang terkorban dalam kemalangan pada jam 4.45 pagi di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, di sini.

REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
Tiga lagi mangsa ialah rakan sekolah Maysarra, Khairul Anwar Azhan, 15, guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33, dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, yang cuba membantu kumpulan pelajar berkenaan selepas bas mereka terbalik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kasim, berkata Maysarra, Khairul Anwar dan Siti Hajar antara 60 pelajar dan tujuh guru yang menyertai rombongan ke ibu negara dengan menaiki dua bas, namun satu lagi bas tidak terbabit kemalangan itu.

“Basarah menaiki bas lain bersama rombongan Wanita Umno Kedah dalam perjalanan menghadiri satu program di Tanjung Karang, Selangor. 

“Bas itu berhenti di tempat kejadian atas permintaan Basarah yang mahu menghulurkan bantuan, namun dia yang juga ibu tunggal tiga anak menemui ajal apabila dirempuh treler terbabit,” katanya.

Sementara itu, kehilangan Maysarra bermula apabila ayah dan abangnya, Faiz Zaidi, 16, yang bergegas dari rumah mereka di Taman Angsana, Kulim, gagal mengesan pelajar itu di Hospital Slim River (HSR). 

Zaidi yang juga juruteknik di sebuah institut kemahiran di Kulim dan Faiz hampa serta kebingungan apabila mendapati nama Maysarra tiada dalam senarai mangsa cedera atau terkorban.

Berikutan itu, dua beranak berkenaan ke lokasi kejadian untuk mencari jawapan kehilangan anaknya. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, baru mereka dimaklumkan mayat Maysarra ditemui di bawah timbunan pasir pada jam 10.45 pagi semalam.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan)   melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan) melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
Difahamkan, sebelum itu anggota penyelamat tidak menyedari ada mangsa tertimbus di bawah timbunan pasir di situ serta menyangka semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditemui wartawan di HSR selepas itu, Zaidi yang ditemani isterinya, Mazylina Abdullah, 35, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya, sebaliknya hanya menitiskan air mata.

Namun, Faiz memberitahu adiknya harapan keluarga kerana memperoleh 8A dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. 

“Dia sangat rajin belajar, malah antara pelajar harapan di sekolahnya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR tahun ini,” katanya.

Faiz berkata, tiada perubahan ketara dilihat pada adiknya sebelum ini, malah arwah kelihatan tidak sabar untuk mengikuti rombongan berkenaan. 

“Ini rombongan kedua arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSR di sini, semalam.

Jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Teja, Alor Setar, Kedah. - myMetro

Friday, November 11, 2011

Maut bantu mangsa nahas


KUANTAN: Niat murni dua lelaki membantu satu keluarga yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, petang semalam, bertukar tragedi apabila mereka dirempuh lori tanah mengakibatkan seorang terbunuh selepas terperosok di bawah Perodua Myvi milik keluarga dibantu itu.

Pemandu Perodua Myvi terbabit, Norhayati Abu bakar, 44, yang berasal dari Lorong Peramu Baru 3, Taman Peramu di sini, patah kaki kanan manakala anaknya, Nurliyana Najihah Mamat, 10, Muhammad Nasrol Azit, 5, dan Muhammad Nazhan Aziq, 2, tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang terbunuh ialah pemilik kedai berhampiran tempat kejadian, Mustafa Deraman, 50. Dia yang patah tulang rusuk dan patah kaki kiri dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia jam 10,30 malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Mohd Roslan Wahab, 26, hanya cedera ringan biarpun turut terperosok di bawah kereta Perodua Myvi milik Norhayati.

Mohd Roslan berkata, dia hanya membayangkan kematian apabila melihat lori tanah itu meluncur laju ke arahnya dan hanya tersedar apabila mendengar suara orang ramai membantu mengeluarkannya dari bawah Perodua Myvi berkenaan.

“Rempuhan kuat lori itu menyebabkan saya terperosok di bawah Perodua Myvi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan saya juga gembira kerana sempat menyelamatkan keluarga dalam kereta itu.

“Memang saya hanya memikirkan soal mati ketika melihat lori berkenaan meluncur laju ke arah saya dan saya hanya tersedar selepas mendengar suara orang ramai cuba menarik saya keluar dari bawah kereta itu,” kata Mohd Roslan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Derhaka di sini.

“Saya antara saksi paling awal tiba di lokasi kemalangan itu yang membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah lori, mengakibatkan kereta itu tersadai di atas pembahagi jalan.

“Ketika saya dan beberapa orang awam berusaha mengeluarkan lima sekeluarga dari dalam Perodua Myvi itu, sebuah lori lain dari arah Tanjung Lumpur muncul dan merempuh kami.

“Saya sempat menjerit dan berlari sekuat hati untuk mengelak daripada dilanggar tetapi tetap dirempuh dan hanya sedar apabila mendengar suara orang ramai berusaha menyelamatkan saya pula,” katanya.

Isteri Mustafa, Norihan Rani, 49, yang ditemui di HTAA berkata selain suaminya, anak mereka, Mohd Aiman, 17, turut bergegas untuk memberi bantuan kepada keluarga Norhayati.

“Suami saya dirempuh lori tanah itu di depan mata Mohd Aiman dan dia anak saya kini trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, pemandu lori yang merempuh Perodua Myvi itu sudah membuat laporan berhubung kejadian, namun lori pertama yang terbabit dalam kemalangan itu masih dikesan.

“Siasatan awal mendapati lori pertama merempuh satu tiang lampu dan tiga pokok sebelum melanggar Perodua Myvi. Kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Peramu.

“Ketika tiba di tempat kemalangan, sebuah treler mahu membelok menyebabkan pemandu kereta Perodua Myvi memperlahankan kenderaannya tetapi sebuah lori yang berada di belakang cuba memotong di sebelah kiri.

“Pemandu lori itu melihat ada kenderaan di tepi jalan menyebabkan pemandunya masuk semula ke lorong kanan sebelum menghimpit Perodua Myvi itu.

“Lori kedua pula tidak sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat orang ramai berada berhampiran kereta,” katanya. - myMetro

Ninja rompak emas di teksi


MIRI: Empat perompak, tiga daripadanya bertopeng ala ninja mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan tiga beg berisi barang kemas bernilai RM2 juta daripada tiga penumpang teksi dalam rompakan berhampiran lampu isyarat ke Lapangan Terbang Miri, semalam.

Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa lelaki berusia antara 39 hingga 59 tahun dari Kuala Lumpur, meninggalkan hotel penginapan dan menaiki teksi ke lapangan terbang sambil membawa contoh barang kemas ditempah dan dijual kepada peniaga di sekitar bandar raya ini, jam 3 petang.

Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua kilometer dari lapangan terbang berkenaan, teksi dinaiki mangsa dipintas perompak bersenjatakan kayu dan pisau yang memecahkan cermin kenderaan itu.

Menurutnya, seorang daripada penjenayah terbabit nekad merampas kunci teksi itu, membuka but kereta dan mengambil beg berisi barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan Proton Wira berwarna perak.

“Difahamkan, ketiga-tiga mangsa sering berulang- alik dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini bagi menjalankan urusan menjual barang kemas kepada peniaga di sini,” katanya.

Pemandu teksi yang mahu dikenali Kong Tsung, 40-an, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat mengecam kenderaan digunakan perompak terbabit.

Menurutnya, dia tidak menyedari perompak terbabit mengekori teksinya ketika mengambil tiga penumpang berkenaan di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Saya terkejut apabila teksi saya tiba-tiba dipintas berhampiran lampu isyarat oleh tiga lelaki bersenjata pisau. Seorang daripada mereka kemudian mengugut mencederakan saya jika tidak mahu menyerahkan kunci kenderaan.

“Saya melihat seorang daripada lelaki berada di dalam kenderaan, manakala tiga lagi rakan mereka yang memakai topeng ala ninja nekad memecahkan cermin teksi saya sebelum mengambil beg dipercayai milik tiga penumpang terbabit di dalam but,” katanya.

Kong Tsung berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya sepanjang lebih 10 tahun menyara keluarga dengan memandu teksi di sekitar bandar raya itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. - myMetro


Thursday, November 3, 2011

Bob (Kuman) Ditahan Wad Selepas Maharaja Lawak Mega


Bob (Kuman) ketika beraksi dengan Sobri pada minggu pertama Maharaja Lawak Mega di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Husni Rawi, 39, atau nama gelarannya, Bob (Kuman) kini ditahan di Pusat Perubatan Tropicana sejak Jumaat malam lalu akibat kepenatan.
Menurutnya, kesihatannya terjejas akibat terlalu penat sejak minggu lalu semasa membuat persiapan untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro.
Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri untuk menyertai program tersebut pada Jumaat malam lalu sebelum membuat pemeriksaan doktor selepas program itu berakhir.
“Doktor menyarankan saya supaya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan yang dilakukan.
“Pada mulanya saya ingat penat biasa dan tidak sangka sehingga perlu ditahan di hospital sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Disebabkan itu, Bob dan pasangannya dalam MLM, Sobri yang menubuhkan kumpulan BP- Bawal Power terpaksa menjalani latihan untuk persembahan MLM minggu kedua di hospital.
“Saya kasihan dengan Sobri kerana terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari dan kadangkala perlu bermalam di sini untuk menghasilkan persembahan terbaik pada minggu ini.
“Kami agak tertekan sedikit untuk melakukan persembahan yang lebih bagus pada minggu ini kerana persembahan kami mendapat pujian daripada ramai penonton pada minggu lalu,” ujar Bob yang mengakui menghadapi masalah untuk tidur.
Walaupun masih berada di bawah rawatan dan pemerhatian pihak hospital, Bob dibenarkan membuat persembahan MLM di Royal Theater Selangor, Shah Alam pada Jumaat ini, pukul 10 malam, yang disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).
“Nasib baik doktor benarkan saya membuat persembahan pada Jumaat ini tetapi saya perlu membawa jururawat yang bertugas bersama-sama,” ujarnya.
Sebelum ini, Bob mempunyai masalah berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang. - mStarOnline

Lelaki dirayu pulang walikan perkahwinan anak


KUALA TERENGGANU: “Ayah...Izah akan berkahwin Rabu ini (9 November) dan berharap ayah pulang untuk mewalikan Izah,” rintih Norhafizah Mohd Rahim, 18, mengharapkan bapanya Mohd Rahim Deraman, 39, yang menghilangkan diri hampir setahun pulang ke pangkuan keluarga.

Norhafizah berkata, sejak keluar dari rumah pada awal Disember 2010, bapanya yang bekerja sebagai jurukimpal dengan sebuah syarikat kontraktor, tidak pulang atau menghubungi keluarga sehingga kini.

“Kami adik beradik rindukan ayah dan sejak meninggalkan rumah, kami tidak menerima sebarang berita mengenai ayah dan tidak putus berdoa semoga Allah melindungi ayah walau di mana dia berada,” katanya.

Menurutnya, selepas sebulan bapanya menghilangkan diri, dia berusaha menghubungi lelaki itu namun hampa apabila telefon bimbit bapanya tidak berfungsi.

Sementara itu, ibunya, Zohyah @ Zalina Chik, 40, berkata berikutan kejadian itu, dia yang hilang tempat bergantung terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara enam anak dengan empat daripadanya masih bersekolah.

Zohyah @ Zalina yang tinggal di Kampung Tok Jiring, di sini, berkata dia mengharapkan suaminya pulang bagi mewalikan pernikahan anak mereka yang dijadualkan 9 November ini.

“Anak-anak terlalu merindui ayahnya dan demi kebahagiaan mereka, lupakan persengketaan lalu dan pulanglah bagi membolehkan majlis perkahwinan anak berjalan lancar,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, dia tidak tahu kenapa suaminya terbabit yang berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang meninggalkan keluarga kerana sebelum kejadian hubungan mereka baik sejak berkahwin pada 1991. - myMetro

Pensyarah hati syaitan


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin.

Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.

Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya di Sentul. 

“Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.

“Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.

“Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.

Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.

Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.

Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.

Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan.

Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat