aDs

aluan

Followers

Thursday, August 18, 2011

Ambulans terbalik: Pesakit parah meninggal dunia


MELAKA 17 Ogos - Seorang pesakit wanita yang berada dalam ambulans ketika dirempuh sebuah teksi di Ayer Keroh kelmarin, meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.

Maryam Baba, 73, meninggal dunia kira-kira pukul 9.10 pagi selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Dia dimasukkan ke Hospital Melaka sejak kelmarin kerana mengalami pendarahan di kepala selepas rumahnya di Bukit Ramai dipecah masuk sekumpulan penjenayah.

"Saya reda dengan apa yang telah berlaku tetapi terkilan kerana menyangkakan emak akan selamat sebaik sahaja dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

"Tak sangka pula, ambulans dinaiki emak terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke hospital," kata anak bongsu mangsa, Zaidi Senan, 43, ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang kelmarin, seorang doktor lelaki berusia 25 tahun, seorang jururawat, Yuhanis Yasin, 30, dan Maryam cedera parah apabila ambulans yang mereka naiki dirempuh sebuah teksi.

Doktor lelaki tersebut terpaksa dikejarkan ke HKL kerana kecederaan yang dialami manakala Yuhanis kini dirawat di Hospital Melaka.

Bagaimanapun, pemandu ambulans, Mambang Rudy Hartono, 41, dan seorang pembantu perubatan berumur 56 tahun yang menaiki ambulans itu serta pemandu teksi dikenali Ali Muhammad Don hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, doktor lelaki tersebut telah dibenarkan keluar dari HKL hari ini kerana cuma mengalami luka dan tidak melibatkan kecederaan dalaman.

"Bagaimanapun, jururawat terbabit masih berada di Hospital Melaka dan keadaannya hari ini dilaporkan semakin tenat," katanya. - UTUSAN

Pelajar lahir anak dalam tandas


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kajang dekat sini, tidak menyangka bunyi tangisan yang didengarnya awal pagi ini, datang daripada bayi yang baru dilahirkan oleh seorang pelajar di asrama sekolah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, bunyi yang didengar pukul 5 pagi itu, mengejutkan pengawal yang bertugas tersebut lalu dia pergi memeriksa di asrama terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bunyi itu datang dari sebuah tandas di asrama tersebut yang berkunci.

"Terdapat seorang pelajar tingkatan lima di dalamnya namun remaja itu enggan membuka pintu sehingga memaksa pengawal terbabit menghubungi guru.

"Guru itu akhirnya berjaya memujuk pelajar berusia 17 tahun itu yang melahirkan seorang bayi perempuan. Pelajar itu kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kajang untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, pelajar perempuan itu mendakwa dia dirogol dua lelaki tidak dikenali di Taman Kajang Utama, di sini pada November lalu.

"Tetapi tiada laporan yang dibuat terhadap kes rogol itu," jelasnya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan. - UTUSAN

Sunday, August 14, 2011

Ibu terkejut anak 14 tahun hamil


KENINGAU: Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin.

Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya. Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam. Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.

Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu. Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.

Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.

“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.

“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - myMetro

Saturday, August 13, 2011

‘Saya tak tahu ini salah’

DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.
DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.


KUALA LUMPUR: “Saya tak tahu langsung pekerjaan yang saya buat ini sebenarnya salah. Kalau saya tahu, saya tak akan ambil risiko untuk melakukan kerja ini,” kata ‘orang emas’ yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu operasi di Bukit Bintang, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Dia yang mahu dikenali sebagai Elvis, 42, berkata menjadi ‘orang emas’ atau ‘Gold Man’ adalah sumber rezekinya dan pendapatan diperoleh agak memuaskan serta mampu menampung isteri dan dua anak berusia dua bulan dan tiga tahun yang tinggal di Ipoh, Perak.

“Saya diberi jaminan oleh rakan bahawa pekerjaan ini tidak salah dan pihak berkuasa tidak akan mengganggu serta dijanjikan pulangan pendapatan dengan sekelip mata.

“Tanpa berfikir panjang, saya membeli tiket ke Kuala Lumpur seminggu lalu. Ini hari keempat saya bekerja sebagai Gold Man. Tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Elvis berkata, kini dia risau memikirkan nasib isteri dan anaknya jika kesalahan yang dilakukan akan menyebabkannya didakwa serta ditahan dalam tempoh yang agak lama.

“Saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak yang masih kecil, bagaimana isteri akan mencari wang untuk menampung kehidupan mereka kerana selama ini dia tidak pernah bekerja,” katanya.

Katanya, sepanjang empat hari melakukan pekerjaan itu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM100 dan RM200 dalam sehari.

Apa yang dilakukannya hanyalah berdiri dengan meletakkan satu tin kosong dan mengharap simpati orang ramai memasukkan duit bagi membolehkannya membuat pelbagai gaya sambil orang ramai merakam gambar bersamanya.

Elvis berkata, selepas mengetahui apa dilakukannya menyalahi undang-undang dia menyesal dan akan lebih berhati-hati memilih pekerjaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berkata, kegiatan Elvis yang meraih simpati agar diberikan sumbangan kewangan dianggap sebagai mengemis.

“Dia akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Orang Papa 1977 dan boleh ditahan untuk tempoh sebulan,” katanya. - myMetro

Wednesday, August 10, 2011

Ryzal Tidak Malu Menumpang Kerana Tiada Lesen Memandu


Ryzal
KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd. Shahrizal Jaafar atau Ryzal,29, tidak malu mengakui selama ini dia banyak menumpang kenderaan orang untuk ke mana-mana termasuklah ketika melakukan sesi fotografi dan juga penggambaran drama.
Ryzal berkata, sejak enam tahun terlibat dalam dunia seni, hatinya belum terbuka untuk membeli kenderaan sendiri selain tidak memiliki lesen memandu.
“Saya lebih selesa menumpang orang. Kalau hendak ke mana-mana sahaja saya akan minta kawan-kawan menemaninya. Cara itu lebih senang.
“Saya pun tidak dapat jawapan kenapa saya tidak mahu membeli kereta dan memiliki lesen memandu. Mungkin saya senang dengan cara ini,” katanya kepada mStar Onlineketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Coronade Hotel bersama anak-anak yatim Nur Hamiah, Bangi, di sini.
Ryzal yang popular menerusi drama Jelatang berkata, jika pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah, dia lebih senang menaiki kepal terbang kerana rumahnya terletak berdekatan dengan lapangan terbang di bandar itu.
Ujarnya, ketika di kampung juga dia akan meminta ahli keluarga menghantar ke mana-mana sahaja dengan kenderaan mereka.
“Saya bukan tidak mampu untuk memiliki kenderaan sendiri tetapi hati saya tidak terbuka untuk itu. Mungkin saya agak fobia dengan peristiwa kemalangan yang kerap berlaku,” katanya.
Mengenai populariti dia yang tidak begitu menonjol Ryzal berkata, kisah mengenainya mungkin kurang dipaparkan menerusi akhbar dan majalah tempatan.
Katanya, kebanyakan drama lakonannya adalah untuk siaran di RTM seperti 24 Hari Sebelum Ku Jatuh Cinta, Buaian Kasih serta Maahad Al-Amin untuk siaran TV AlHijrah.
Menyedari aktiviti seni tidak menjamin pendapatan tetap, kata Ryzal dia telah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuklah menjual kek lapis Sarawak sepanjang bulan Ramadan ini.
Dalam masa yang sama juga Ryzal turut mempunyai “homestay” di Kampung Bohor, Alor Setar yang telah diusahakan bersama keluarga.
“Selain berlakon, dua bidang ini turut saya beri tumpuan kerana saya tidak mahu bergantung sepenuhnya dalam dunia seni untuk mencari rezeki walaupun ketika ini tawaran untuk saya tidak putus-putus,” katanya.
Sesiapa yang berminat untuk menempah “homestay” milik keluarga Ryzal yang dikenali "Kekabu Homestay" itu bolehlah menghubungi Shahrul di talian 019-4574500. - mStarOnline

Dipukul perusuh


SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.
SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.
ASYRAF...patah rahang
ASYRAF...patah rahang
KUALA LUMPUR: “Anak saya bukan saja dipukul hingga patah gigi dan rahang, tetapi dia disamun sekumpulan lelaki sebaik melalui satu kawasan rusuhan di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia di Universiti Kaplan, London, Asyraf Haziq, 20.

Rossli berkata, dia dihubungi Mara dari bahagian pelajar luar negara pagi semalam, memberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh, anaknya serta seorang kawan Mohd Fariz ketika itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah pelajar senior mereka.

Rossli yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif Bangunan berkata, dia terkejut dengan berita itu kerana beberapa jam sebelum kejadian, Asyraf ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu serta keluarga lain.

“Rasa macam tak percaya kerana dia baru saja telefon kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin), tiba-tiba pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi, kami dikejutkan dengan berita yang menimpa Asyraf.

“Saya ada juga menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui mengenai keadaan rusuhan di sana, namun dimaklumkan tiada rakyat atau pelajar Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, video bagaimana Asyraf dipukul dan disamun tersebar dalam YouTube di Internet. Namun, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kini dirawat di hospital.

“Kami juga difahamkan, Asyraf akan dibedah esok (hari ini) untuk merawat rahangnya yang patah. Saya sekeluarga begitu bimbang dan bersedih dengan apa yang menimpa anak, tambahan dia baru saja sebulan di sana melanjutkan pelajaran.

“Jika ada peluang saya dan isteri akan ke London untuk melihat keadaannya, tapi ia bergantung pada perkembangan rusuhan di sana. Tak sangka perkara ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini, Asyraf tidak dapat pulang kerana baru saja di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, jika perlu dia meminta Mara membawa pulang anaknya kerana dalam keadaan sekarang, Asyraf mungkin terpaksa menangguhkan pelajaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Asyraf tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar itu tidak terbabit dalam rusuhan, tetapi dia diserang sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarahi rakannya untuk berbuka puasa di utara London,” katanya pada majlis berbuka puasa di Institut Kemajuan Desa (Infra). - myMetro

Thursday, August 4, 2011

Tiket bas, kereta api ke Pantai Timur habis dijual



KUALA LUMPUR: Tiket bas ke semua destinasi di Pantai Timur habis dijual dua minggu sebelum Ramadan bermula, manakala tiket ke destinasi utara dan selatan negara sedang rancak mendapat tempahan penumpang. 

Pegawai Pusat Panggilan Tempahan Tiket, Nadi Corp Holdings, Nor Aini Zuki, berkata tiket laluan Pantai Timur pada 27, 28 dan 29 Ogos habis dijual berikutan penumpang merancang awal untuk pulang menyambut Aidilfitri.

“Bas Transnasional, Plusliner dan Nice Executive tidak menjalankan operasi pada Hari Raya pertama dan sehingga semalam (kelmarin), jualan tiket bagi Kedah dan Pulau Pinang masih dibuka.

“Pihak pengurusan belum lagi membuat keputusan bagi mengadakan perkhidmatan bas tambahan, kerana ia ditentukan seminggu sebelum Hari Raya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini harga tiket masih sama dan pihaknya menjangka akan meningkatkan harga jika ada penambahan bagi waktu perkhidmatan bas.

Bagi perkhidmatan bas Sani Ekspres, kebanyakan penumpang juga mengambil inisiatif membeli tiket awal bagi melancarkan perjalanan balik ke kampung mereka.

Sehingga semalam, tiket bagi Kuala Terengganu habis dijual bagi tarikh 26, 27, 28 dan 29 Ogos tetapi perjalanan ke utara masih dibuka.

Sementara itu, KTM Berhad melalui Perkhidmatan KTM Intercity mengesahkan tiket ke Pantai Timur pada 26 hingga 29 Ogos habis dijual.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat, Mohd Fazil Ismail, berkata penambahan koc untuk laluan berkenaan akan dipertimbangkan dan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada pertengahan bulan ini.

“Tiket untuk ke utara, selatan dan tengah masih boleh dibeli dan semua tiket mula dijual sejak 27 Julai lalu,” katanya.

KTM Berhad menyediakan 124,608 tiket pelbagai kelas ke semua kawasan untuk tarikh 20 Ogos hingga 10 September, dengan baki 34,314 boleh dibeli di kaunter seluruh rangkaian disediakan. - BHarian
Related Posts with Thumbnails

heratBeat