aDs

aluan

Followers

Thursday, August 4, 2011

Pemuda parah ditetak kerana langgar wanita


PARAH...Sateesh dirawat di HKL.
PARAH...Sateesh dirawat di HKL.
KUALA LUMPUR: Gara-gara perselisihan faham dalam sebuah pusat hiburan, seorang lelaki retak tempurung kepala selain ditetak puluhan kali di seluruh badan ketika makan di kawasan berdekatan dengan pusat hiburan di Jalan Sungai Besi itu di sini, awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, S Sateesh, 22, pergi ke pusat hiburan itu bersama tiga lagi rakannya. Mereka menari sebelum seorang daripada rakannya terlanggar seorang wanita hingga terjatuh.

Bapa mangsa, R Segaran, 50, berkata akibat kejadian itu, berlaku perselisihan faham antara rakan anaknya itu dengan pengawal kelab malam berkenaan sebelum berlaku pergelutan.

“Seorang lagi lelaki yang sedang berhibur mengusir anak saya dan rakan-rakannya keluar. Mereka kemudian makan di sebuah restoran di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika makan, tiba-tiba datang empat lelaki dipercayai pengawal keselamatan kelab malam berkenaan menyerang anaknya dan tiga rakan.

“Anak saya terjatuh sebelum kumpulan terbabit menetak kepala dan badan menggunakan parang manakala tiga rakan anak saya melarikan diri,” katanya.

Katanya, anaknya ditetak lebih tiga kali di kepala yang menyebabkan tempurung kepalanya retak, telinga kirinya putus separuh selain kesan tetakan di beberapa bahagian badan termasuk leher dan tangan yang menyebabkan beberapa uratnya putus.

Segaran berkata, akibat kecederaan serius itu, anaknya koma hingga Selasa lalu dan sehingga kini separuh sedar.

Susulan itu, Segaran membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini.

Difahamkan, polis sudah menahan tiga suspek dan berusaha untuk meminta mangsa mengecam gambar suspek untuk tindakan lanjut. - myMetro

Hilang ikut lelaki beristeri dua

AZLAN Maidin (kiri) bersama wakil Pembela BN, Amir Hamzah Tapa menunjukkan gambar anaknya, Nabilah Ashazra Azlan pada sidang media di Pejabat Pembela BN, Ayer Keroh, Melaka, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL


MELAKA 3 Ogos – Seorang bapa hari ini mendakwa anak keempatnya yang juga atlet pelapis penembak wanita kebangsaan, yang akan beraksi di Sukan SEA Palembang, November ini, dilarikan seorang lelaki yang sudah mempunyai dua isteri.

Azlan Maidin, 53, mendakwa, anaknya, Nabilah Ashazra Azlan, 20, yang mewakili Melaka dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka tahun lalu ditahan di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Kor, Lorong Kubur Kota Bharu, Kelantan.

Nabilah, 20, menyumbang dua pingat perak dalam acara ‘air-pistol’ individu dan berpasukan dalam temasya sukan itu.

“Saya mendapat tahu anak saya dilarikan lelaki itu setelah dia tidak pulang ke rumah di Batu Berendam dan tidak masuk ke asrama di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SBJ) pada 25 Julai lalu.

“Saya bimbang mengenai masa depan anak saya dalam sukan menembak kerana dia telah terpilih mewakili skuad kebangsaan di Sukan SEA Palembang, November ini tetapi hingga sekarang tidak pulang ke asrama,” katanya kepada pemberita di pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Menurut Azlan, dia mendapat tahu anaknya berada di Kota Bahru, Kelantan selepas dihubungi oleh isteri pertama lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zah, 42.

“Dia bagi tahu, anak saya telah bernikah dengan suaminya (Mohd. Sophee Yaacob, 44) dan saya terkejut mendapat berita itu lalu menyuruh dua anak lelaki saya pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menyelamatkan Nabilah,” ujarnya.

Azlan berkata, pada 29 Julai lalu, dua anak lelakinya berjaya ke rumah bapa lelaki tersebut di Kampung Kor hasil pertolongan isteri pertama lelaki itu.

“Bagaimanapun, Nabilah gagal ditemui sebaliknya anak lelaki saya berjaya menemui beg baju, sijil nikah Nabilah di Patani dan beberapa barang hiasan milik anak saya,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 26 Julai lalu dan satu lagi laporan turut dibuat di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 29 Julai lalu.

“Setelah dua laporan dibuat, anak saya masih gagal dikesan dan belum balik ke SBJ untuk meneruskan latihan serta persekolahannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia merayu kepada mana-mana pihak untuk membantu mengesan anak keempatnya daripada tujuh beradik itu. - UTUSAN

Pelajar tahfiz kena liwat ketika suai kenal

CEDERA...bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.
CEDERA...bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.
Foto: Harian Metro
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar tahfiz berusia 9 tahun terlantar di hospital sejak empat hari lalu, dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh tiga pelajar senior berusia 12 tahun sebuah sekolah agama tahfiz swasta di Kupang Baling di sini, ketika mengikuti minggu suai kenal selama 40 hari, bermula Jun lalu.

Bapa pelajar terbabit yang enggan dikenali berkata, anaknya yang hanya dibenarkan ditemui selepas minggu suai kenal yang dikenali sebagai tempoh berpantang itu tamat 30 Julai lalu mengadu dia diliwat setiap malam dan akan dibelasah jika menangis oleh pelajar senior itu.

Selain anaknya, beliau mendakwa dua lagi pasangan kembar berusia lapan tahun turut di dera teruk hingga trauma tetapi mereka tidak mengadu diliwat.

Sepanjang tempoh suai kenal itu, semua pelajar dilarang menghubungi keluarga atau waris mereka.

Beliau berkata, anaknya hanya merasai suasana selesa sebagai seorang pelajar selama seminggu sebelum kejadian itu.

Beliau berkata, niatnya menghantar anaknya ke sekolah agama terbabit untuk menjadi pelajar cerdik al-Quran hancur apabila anaknya diperlakukan seperti haiwan dan lebih malang tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak sekolah.

“Saya sedih dengan kejadian yang menimpa anak kerana tindakan murid yang hanya berusia 12 tahun mendera kanak-kanak 9 tahun dengan pelbagai cara, langsung tidak masuk akal.

“Pada mulanya kami sekeluarga memang tidak menyangka anak saya dipukul kerana pihak sekolah memberitahu ia adalah kesan alahan.

“Bagaimanapun, hati saya tersentak apabila doktor memberitahu, anak saya kena dera dan diliwat.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu saya membuat laporan polis pada 30 Julai lalu iaitu pada petang hari saya dibenarkan berjumpa anak saya.

“Anak saya juga mengadu tidak tahan dengan sikap guru di sekolah berkenaan yang tidak menyiasat sesuatu kejadian menyebabkan dia sering mengalah kepada pelajar senior berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 30 Julai lalu dan siasatan sedang dijalankan.  - BHarian

Monday, August 1, 2011

Peniup serunai tomoi kena tikam

ALOR SETAR: Seorang peniup serunai kejohanan tomoi mati ditikam dipercayai oleh anak tirinya selepas mereka bergelut akibat perselisihan faham berkaitan masalah keluarga di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa Ismail Ahmad dikatakan menyerang anak tirinya berusia 32 tahun menggunakan kayu ketika dia yang juga seorang mekanik sedang membaiki kereta di rumah rakannya di kampung berkenaan.

Dalam pergelutan itu, kepala mangsa terhantuk pada pembetung perigi hingga berdarah, namun beliau bangun semula menyebabkan suspek menikamnya beberapa kali menggunakan pisau lipat yang terkena pada dada serta kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata akibat tikaman itu mangsa rebah dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh seorang jiran bersama anak tirinya yang lain dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.15 malam. Katanya, selepas kejadian itu, suspek melarikan diri ke rumah rakannya tetapi menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah pada jam 10.10 malam.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca dari perselisihan faham dan masalah dalaman keluarga menyebabkan mangsa yang terlalu marah menyerang anak tirinya.

“Malah, laporan bedah siasat juga mengesahkan mangsa mati akibat tikaman yang mengenai dada kirinya,” katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - BHarian

Elfira Loy Bimbang Pelajaran Merosot Kerana Lakonan


Elfira Loy
KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 17, (Elfira) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November depan berkata kesibukannya memenuhi pelbagai komitmen lakonan telah menjejaskan tumpuan dan prestasi akademiknya kebelakangan ini.
Elfira yang mengakui bimbang dengan keadaan itu bagaimanapun terpaksa berkorban dan membahagikan masanya dengan bijak bagi mengimbangi kekurangan tersebut.
"Saya akui tumpuan dan prestasi pelajaran di sekolah agak merosot kebelakangan ini kerana terlalu sibuk dengan komitmen lakonan saban hari.
"Kebiasaannya, setiap kali habis sesi persekolahan saya akan berkejar-kejar ke lokasi penggambaran dan menyebabkan saya menjadi penat untuk menelaah pelajaran," katanya.
Menyedari kepentingan akademik dan masa yang semakin suntuk menjelang peperiksaan penting itu, Elfira bagaimanapun segera menyusun strategi untuk memperbaiki keaadan.
Dia kini sedang giat menumpukan perhatian dengan menghadiri kelas tusyen sebelum terbang ke Itali selama dua minggu pada Ogos depan untuk penggambaran drama bersama Astro.
"Peperiksaan SPM hanya tinggal beberapa bulan saja lagi dan saya semakin risau sebenarnya.
"Insya-Allah selepas drama itu selesai, saya mahu duduk di rumah saja dan mengulangkaji pelajaran yang tertinggal,” kata penuntut tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsan Bandar Tun Hussein Onn 2 ini. - mStarOnline

Ibu anggap tiada jodoh




KOTA BHARU: Ibu penjaga gol sensasi kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 22, menyifatkan keputusan anaknya memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22, sebagai takdir.

Bidah Ibrahim, 53, berkata jodoh anaknya dengan Elia tidak kesampaian kerana mereka tiada jodoh.

“Tidak ada apa yang perlu diperbesarkan (mengenai hal putus tunang itu).

“Jika pertunangan mereka hanya setakat ini saja, saya anggap mereka tiada jodoh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang, di sini, semalam.

Bidah mengulas keputusan Khairul Fahmi atau popular dengan panggilan Apek memutuskan pertunangannya dengan Elia selepas bertunang pada 17 Mei lalu.

Semalam, Metro Ahad melaporkan di sebalik kecemerlangan menjaga gawang gol, Khairul Fahmi memendam rasa sehingga memutuskan pertunangan dengan Elia.

Khairul Fahmi turut menafikan kemelut itu berlaku angkara orang ketiga iaitu seorang gadis dikenali dengan nama Dahlia.

Menurut Bidah, sehingga kini, dia belum berhubung dengan keluarga Elia dan menyerahkan kepada Khairul Fahmi untuk menyelesaikan masalah itu.

“Tidak banyak boleh saya perkatakan kerana semuanya saya serahkan kepada Khairul Fahmi.

“Saya memang tahu anak saya dan Elia ada sedikit masalah, tetapi tidak mahu mencampuri hal mereka dan yakin Khairul Fahmi bijak menyelesaikan masalah dan mampu membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Bidah berkata, dia tidak tahu mengenai dakwaan kemunculan orang ketiga yang menggugat hubungan anaknya dengan Elia, malah tidak mengenali siapa Dahlia seperti dilaporkan akhbar.

“Saya pun dapat tahu cerita mengenai dakwaan (kemunculan) orang ketiga dan (kemunculan) nama Dahlia itu menerusi akhbar.

“Apapun, saya tidak dapat menjelaskan situasi sebenar kerana segala persoalan, Khairul Fahmi saja yang boleh jawab, lagipun buat masa sekarang dia tidak bersama keluarga kerana sibuk dengan kerjayanya,” katanya. - myMetro

Lelaki kena mercun buta

PARAH...Jazimin yang  disahkan buta mata kanan ditemani ibunya di PPUM, semalam.
PARAH...Jazimin yang disahkan buta mata kanan ditemani ibunya di PPUM, semalam.
PETALING JAYA: Seorang peniaga yang bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton.

Mangsa, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang mengusahakan perniagaan mencetak kad kahwin di Bangi, pecah bola mata kanannya dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, sejak malam Khamis lalu.

Lebih menyedihkan, akibat kejadian itu, mangsa juga tidak dapat menemani isterinya, Nur Hardyawati Ismail, 28, yang dimasukkan ke wad bersalin hospital sama, pagi semalam, untuk menimang cahaya mata pertama mereka.

Ahmad Jazimin berkata, kejadian berlaku jam 8.40 malam, sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan apabila beliau yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

“Saya kemudian merasakan sesuatu keluar dari kelopak mata kanan dan apabila dipegang, saya melihat darah pada tangan selain lendir berwarna putih sebelum dipapah keluar stadium oleh dua rakan.

“Dalam keadaan kesakitan, dua rakan memapah saya keluar dari stadium di celah-celah orang ramai sebelum ternampak sebuah ambulans di pekarangan stadium dan saya dibawa ke PPUM untuk rawatan,” katanya yang ditemani ibu, Surakiah Mamat, 63, ketika ditemui di PPUM, semalam.

Ahmad Jazimin yang juga ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menjalani pembedahan hampir lima jam mulai jam 4 pagi, Jumaat lalu, namun doktor mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan.

Difahamkan, beliau masih diberikan rawatan rapi bagi mengelak jangkitan kuman yang boleh menyebabkan saraf matanya rosak.

Bagaimanapun, Ahmad Jazimin tetap bersemangat dan tidak serik ke stadium untuk menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan selepas ini, tetapi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan stadium mengambil langkah pencegahan lebih ketat bagi mengelak kejadian menimpanya berulang.

"Saya sedih memikirkan nasib keluarga kerana punca pendapatan bergantung kepada perniagaan yang saya jalankan. Malah, saya terkilan kerana tidak dapat menemani isteri yang akan melahirkan cahaya mata pertama kami pada bila-bila masa," katanya.

Rakannya, Mohd Azhari Ariffin, 29, berkata beliau kesal kerana aspek keselamatan tidak dititikberatkan pada perlawanan itu memandangkan ketika masuk ke dalam stadium, anggota keselamatan yang mengawal pintu masuk tidak membuat pemeriksaan rapi, sebaliknya hanya bertanya sama ada beliau membawa pemetik api.

Beliau membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa Ahmad Jazimin di Balai Polis Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Ali Hanafiah Mohamed, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat guaman bagi membolehkan Ahmad Jazimin menyaman pihak berkaitan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - BHarian
Related Posts with Thumbnails

heratBeat