aDs

aluan

Followers

Tuesday, May 3, 2011

Padah Lari ke Lombok, Wanita Akhirnya Pulang Ke Pangkuan Keluarga


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita Terengganu yang ditinggalkan oleh suaminya di Lombok, Indonesia, semasa mengandung dua bulan akhirnya pulang ke kampungnya di sini, Ahad.
Harlizan Ibrahim, 36, yang mengikut pemuda Indonesia ke Lombok lebih dua tahun lalu, tiba bersama anak bongsunya Zulfaqar Abdullah Asbi, 13 bulan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi. "Saya sungguh bersyukur kerana dapat pulang setelah dua tahun empat bulan meninggalkan kampung halaman. Setelah tiga bulan saya ke sana, ayah meninggal dunia... ini menguatkan lagi keinginan saya untuk pulang menemui ibu saya," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Turut menemani Harlizan ialah kakaknya Hartini, 40 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki.
Harlizan berkata pemergiannya ke Lombok bermula setelah mengikut pemuda Indonesia itu yang berjanji akan mengahwininya di sana.
Sebelum itu, beliau telah berumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak lelaki berumur antara enam dan 17 tahun namun telah bercerai dengan suaminya. Semua anaknya tinggal bersama bekas suami itu. "Tanpa memberitahu keluarga, saya ke sana dan setelah tiba di sana, saya memaklumkan kepada keluarga yang saya akan kahwin dengan pemuda itu. Bagaimanapun keluarga anggap itu hanyalah gurauan," katanya.
Katanya, setelah empat bulan berkahwin, suaminya meninggalkannya dan kembali ke Malaysia untuk bekerja ketika beliau baru dua bulan mengandung.
Harlizan berkata, beliau selalu juga berhubung untuk meminta duit belanja harian daripada suaminya namun dari hari ke minggu, suaminya sepi tanpa berita sehinggalah beliau melahirkan Zulfaqar.
Katanya setelah tidak tahan lagi tinggal bersama keluarga suami dan tidak mempunyai wang, beliau mula meminta bantuan pihak berkuasa dengan tinggal di Pati Sosial Budirini iaitu pusat perlindungan ibu dan anak di sana.
Harlizan berkata, beliau cuba untuk membawa pulang anaknya tetapi dihalang oleh pihak berkuasa Indonesia kerana anak itu dilahirkan di sana dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Katanya, beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya dan hanya menunggu masa sehinggalah diberitahu melalui telefon oleh kakaknya, ada pihak yang akan membantu membawa beliau pulang ke Malaysia.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu kerana membantu membawa beliau dan anaknya pulang ke negara ini.

D'Lloyd nyanyikan lagu P. Ramlee


Bartje Van Houten

KUMPULAN pop D'Lloyd boleh dikategorikan sebagai kumpulan legenda dari Indonesia berdasarkan penubuhan mereka sejak lebih 30 tahun lalu selain mempunyai seleksi lagu-lagu bertaraf malar segar yang diminati hingga kini.

Biarpun bertaraf legenda, tetapi kumpulan yang popular dengan lagu Mengapa Harus Jumpa itu tidak berasa besar kepala, sebaliknya tetap menggagumi lagu-lagu penyanyi lain dari negara ini termasuklah seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Justeru, tidak hairanlah D'Lloyd bercadang membawakan lagu-lagu nyanyian P. Ramlee pada konsert sulung mereka, Semalam Di Malaysia di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 Mei ini.

Penyanyi utama kumpulan yang ditubuhkan pada awal tahun 1970-an itu, Syamsuar Hasyim atau Sam berkata, dia bukan sahaja meminati lagu-lagu P. Ramlee tetapi turut bercadang menyanyikan lagu seniman legenda pada konsert sulungnya di panggung tersebut.

"Kami bercadang menyanyikan sebuah lagu nyanyian Allahyarham yang bertajuk Engkau Laksana Bulan. Saya memang menyukai lagu itu sejak dari dulu lagi. Ia sebagai suatu kelainan untuk konsert pertama kami di IB itu nanti. Lagu itu memang sedap didengar.

"Apatah lagi, itu adalah konsert terbesar kami di Malaysia selepas yang pertama dan terbesar pernah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1977," katanya kepada Hits sewaktu berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada kunjungan itu, Sam ditemani ketua kumpulan D'Lloyd, Bartje Van Houten yang hadir pada majlis menandatangani perjanjian mengadakan konsert yang dibawakan oleh Massa Frequency dengan kerjasama IB dan juga Life Records.

Selain itu katanya, D'Lloyd sudah semestinya akan mendendangkan seleksi lagu-lagu terbaik dan lagu-lagu malar segar mereka pada konsert yang dijangka akan dijayakan dengan durasi selama hampir dua jam itu.

"Antara lagu wajib yang akan kami persembahkan pada konsert itu berjudul Mengapa Harus Jumpa dan Keagungan Tuhan. Ia akan diiringi oleh tiupan seruling yang akan dimainkan oleh Yuhanny Fatmarida Susilo," ujarnya dalam nada ceria.

Pada konsert dengan tiket berharga RM68, RM98, RM128, RM168, RM208, RM258, RM308 dan RM458 itu, Sam optimis bukan setakat peminat lama , malah pendengar baru juga mudah menghayati lagu-lagu mereka.

Jelas penyanyi berusia 65 tahun ini lagi, dia juga berasa cukup teruja mengadakan konsert di IB selepas diberitahu panggung itu merupakan antara pentas persembahan yang berprestij di negara ini yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.

"Kami berasa bangga kerana turut diberitahu bahawa kami adalah kumpulan dari Indonesia yang pertama dijemput mengadakan konsert di IB. Ini suatu penghargaan buat D'Lloyd selepas lebih 30 tahun ditubuhkan.

"Setakat ini, sambutan paling hebat kami terima ialah sewaktu pertama kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 1977 di mana kami diberi layanan kelas pertama dengan menginap di Hotel Hilton yang bertaraf lima bintang.

"Itu adalah hotel yang terhebat di Kuala Lumpur pada masa itu dan hanya artis-artis ternama sahaja yang diberi layanan sebegitu. Selain D'Llyod artis dari Barat iaitu Blood Sweat & Tears yang mendapat peluang itu," katanya.

Sementara itu, gitaris D'Llyod, Bartje pula menjelaskan, dia dan anggota-anggota kumpulannya membuat persiapan termasuklah sesi latihan lebih sebulan sebelum menjayakan konsert tersebut.

Malah, bagi memantapkan lagi persembahan D'Lloyd katanya telah mengadakan perbincangan dengan komposer terkenal tanah air, S. Atan yang mungkin akan bertindak selaku Pengarah Muzik Konsert Semalam Di Malaysia itu.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan S. Atan termasuklah dalam mencari lagu-lagu terbaik yang akan dipersembahkan kelak. Kami yakin dengan kredibiliti S. Atan bagi menjayakan konsert ini," jelasnya.

Selain Sam dan Bartje, D'Lloyd yang turut dianggotai Chairul Daud selaku (drum), Yuyun (seruling), Candra Chasmala (keyboard) dan Adiel (bass) menjadikan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi konsert tersebut.

D'Lloyd yang menampilkan lagu-lagu pop Melayu turut popular menerusi lagu seperti Cinta Hampa, Semalam di Malaysia, Mengapa Harus Jumpa, Oh Tak Mungkin, Khayal dan Penyairdi mana ia terus diminati ramai sehingga kini.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket sila berhubung di kaunter Box-office di IB atau layari laman sesawang www.ticket2u.com atau hubungi talian 03-41478600 atau 019-3391445dan 019-2757192

Monday, May 2, 2011

Kekasih merajuk mati terjun kondo


KUALA LUMPUR: Gara-gara merajuk dengan teman lelaki berusia lewat 30-an, seorang wanita maut selepas terjun dari tingkat lima sebuah kondominium di Sentul, di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa berusia 28 tahun itu merajuk dengan teman lelakinya kerana lewat pulang ke rumah hingga terlepas sambutan ulang tahun percintaan mereka yang dirancang sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Selayang (HS), di sini, untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, berkata ketika kejadian, teman lelaki mangsa berada kurang 30 meter dari balkoni tempat mangsa terjun.

“Teman lelaki mangsa mendakwa berada di kaki lima depan pintu utama rumah mereka, malah lelaki itu mendakwa cuba menghalang mangsa daripada terjun. Namun, disebabkan kejadian berlaku terlalu pantas, dia gagal menghalang mangsa daripada berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dilaporkan terjatuh atas bumbung sebuah Perodua Kancil milik penghuni lain di tempat letak kereta kondominium berkenaan.

“Tersentak dengan perbuatan itu, lelaki terbabit bergegas turun sebelum mendapati teman wanitanya itu masih bernyawa. Dia segera menghubungi hospital dan polis memaklumkan kejadian berkenaan.

“Ambulans tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian sebelum mangsa dikejarkan ke HS.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam,” katanya.

Katanya, setakat ini, kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - myMetro

Jamal Abdillah raikan Ibu


TERIMA... Jamal Abdillah dan Pengurus PWTC, Sukhidir Kemat bertukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Fadzilah Said.

BUAT kali kedua raja pop, Jamal Abdillah akan meraikan para ibu sempena sambutan Hari Ibu yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Mei ini.

Majlis yang diadakan khusus untuk menghargai jasa dan pengorbanan para ibu itu merupakan kolaborasi kedua di antara Jamal Abdillah dan PWTC.

Siapa sangka walaupun telah lebih tiga dekat mengharungi pahit manis kehidupan sebagai anak seni, aura dan kehebatan penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu masih lagi mampu mencairkan hati seorang ibu.

"Selepas penganjuran sambutan hari ibu tahun lalu, PWTC dihujani dengan permintaan para ibu yang inginkan Jamal sebagai hadiah untuk meraikan mereka.

"Jadi untuk tidak menghampakan para ibu yang sudah banyak berjasa dalam kehidupan kita, PWTC dengan berbesar hati menyediakan ruang khusus untuk para ibu mengabadikan detik indah bersama Jamal," kata Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Mohd. Said.

Namun, bagi memberikan kelainan pada majlis minum petang itu nanti, 10 orang ibu bertuah akan dipilih untuk menikmati makan malam eksklusif bersama Jamal Abdillah.

Tidak cukup dengan itu, para ibu yang hadir pada majlis berkenaan juga akan turut dihiburkan dengan alunan merdu tiupan saksofon daripada pemain saksofon tidak asing lagi Alif Nasir.

Selain itu, bagi menghidupkan suasana ceria pada majlis yang akan bermula pukul 2 petang itu, Syed Muradzi Syed Shamsul ataupun lebih dikenali sebagai Dee akan tampil sebagai pengacara majlis.

"Kami mahu para ibu yang hadir pada petang itu nanti akan melalui satu pengalaman yang menjadi kenang-kenangan sepanjang hidup mereka,"kata Fadzilah.

Sementara itu, Jamal berkata, dia amat gembira dengan peluang yang diberikan itu. Bagi Jamal undangan itu menunjukkan bahawa peminat masih lagi memerlukannya dalam industri.
Apa pun jelas Jamal, bagi memastikan persembahan kali ini menarik dia akan melakukan yang terbaik.

Walaupun pernah tampil menghiburkan para ibu sebelum ini, Jamal tetap merasa teruja untuk menghiburkan para ibu yang hadir pada majlis itu nanti.

"Jasa ibu terlalu besar dan saya rasa dengan tampil pada majlis begini ia dapat menunjukkan betapa saya terlalu menyayangi dan menyanjungi ibu," ujar Jamal yang bakal tampil dengan album terbarunya Raja Pop 2.

Bagi yang berminat mereka boleh menghubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702 untuk membuat tempahan meja pada majlis yang bertemakan Kasihnya Ibu.

Harga meja adalah RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 di mana sebuah meja boleh menempatkan 10 orang. - Utusan

Branjelina Habiskan RM30 juta Untuk Anak-Anak


Brad Pitt dan Angelina Jolie
PASANGAN Angelina Jolie dan Brad Pitt sanggup menghabiskan wang mereka lebih daripada RM30 juta setiap tahun demi anak-anak mereka iaitu Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox, dan Vivienne.
Difahamkan pasangan yang dipanggil nama Brangelina itu ingin menjaga kebajikan anak-anak mereka sebaik mungkin dengan memberikan segala benda yang diperlukan agar kesemua mereka dapat hidup dengan senang.
Menurut sumber kepada Splash News, untuk keperluan makanan sahaja, pasangan tersebut telah membelanjakan wang lebih kurang sebanyak RM100,000 setahun manakala bagi pembiayaan guru peribadi pula sebanyak RM3 juta.
Brad dan Angelina sering membawa sekali anak-anak mereka jika mempunyai penggambaran ke luar negara.
"Malah pasangan itu sanggup membayar seorang penjaga kanak-kanak dengan harga RM3 juta setahun.
"Kos tersebut tidak termasuk dengan pembiayaan penginapan Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox, dan Vivienne jika pasangan tersebut menjalani penggambaran di luar negara," kata sumber tersebut.
Walaupun perbelanjaan Angelina dan Brad dianggap boros, mereka turut dipuji kerana mengeluarkan jutaan dolar untuk kegiatan sosial yang dilakukan.- mStarOnline

Jodoh doktor kembar


JOHOR BAHRU: Impian dua doktor lelaki kembar untuk berkahwin dengan pasangan masing-masing yang juga dilahirkan sebagai kembar tetapi bukan adik-beradik, menjadi kenyataan apabila mereka diraikan sebagai raja sehari dan berkongsi detik bersejarah itu di Taman Sri Pulai Perdana di sini, semalam.

Lebih manis, majlis persandingan mereka menjadi tarikan ramai apabila menjadi medan pertemuan empat pasangan kembar termasuk adik-beradik pasangan pengantin perempuan, selain pasangan kembar yang menjadi pengapit pengantin lelaki.

Menceritakan detik perkahwinan itu, Dr Mohd Azreen Ezainy Mohmad Sallih, 25, berkata, dia dan adik lelaki kembarnya, Dr Mohd Azreen Ezairy, tidak menyangka bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing yang turut dilahirkan kembar.

Doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI) itu berkata, dia berkenalan dengan isterinya, Nurul Syzzeren Zulkifli, 25, menerusi sebuah laman web sosial sebelum tertarik dengan hati budi wanita yang berasal dari Bandar Baru Uda di sini.

“Secara kebetulan, saya dapat tahu isteri bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di hospital sama, sebelum berkongsi kisah kehidupan masing-masing.

“Umpama bermimpi, apabila isteri memberitahu dia juga dilahirkan sebagai kembar hingga perkara itu menambah kemesraan kami yang mula menjalin hubungan cinta sejak lebih setahun lalu.

“Seronok apabila mendapat isteri yang juga anak kembar kerana percaya, dia lebih mudah memahami perasaan saya kerana mempunyai kakak kembar,” katanya.

Dr Ezainy berkata, dia dan adiknya bercadang berbulan madu bersama pasangan masing-masing di Kaherah, akhir Mei ini iaitu tempat mereka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

“Kami memasang impian memperoleh cahaya mata kembar pada masa depan bagi membolehkan kami merasakan pengalaman menjadi ibu bapa pasangan kembar seiras, selain membesarkan mereka sebagai insan berjaya,” katanya yang menambah majlis itu dihadiri kakak iparnya (kembar Syzzeren), Nurulsyzzenie. 

Sementara itu, Dr Ezairy berkata, sempena perkahwinan itu, dia dan abangnya yang berkhidmat di hospital sama memilih konsep perkahwinan klasik moden dan taman kerana berkongsi warna kegemaran iaitu hijau.

Menurutnya, mereka juga menyambut baik cadangan sepupu mereka, iaitu Mohd Rahman Mustafa, 29, dan adik kembarnya, Mohd Rahim untuk menjadi pengapit di majlis perkahwinan itu yang berlangsung di kediamannya. - myMetro

Sunday, May 1, 2011

Lelaki pandu kereta bawah lori


KERETA Mazda MX-5 menyelinap di bawah treler.

MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Ini bukan adegan filem tetapi satu realiti. Seorang pemandu mengundang padah dengan memandu kereta sportnya di bawah sebuah treler yang sedang bergerak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kereta sport Mazda MX-5 yang dipandu lelaki tersebut menyelinap di bawah treler 18 tayar itu yang bergerak selaju 64 kilometer di sebatang jalan yang sibuk di negeri Florida.
Dia kemudian bergerak keluar dari bawah treler itu dan terus memandu pergi.
"Saya tidak percaya melihat aksinya. Dia mengundang bahaya kepada semua pemandu lain. Kadangkala kebodohan manusia tidak mengenal batasan," kata seorang saksi Ben Ellis yang merakam kejadian itu baru-baru ini. - Agensi

Related Posts with Thumbnails

heratBeat