aDs

aluan

Followers

Monday, February 14, 2011

Belasah anak hingga cacat


KUALA KUBU BARU: Berang perancangannya untuk menambah isteri keempat gagal, seorang lelaki melepaskan kemarahannya dengan membelasah isteri pertama dan empat anaknya sehingga seorang daripada mereka mengalami kecacatan kekal.

Lelaki terbabit yang berusia lewat 30-an menjadikan lima tanggungannya itu sebagai mangsa selepas tahu isteri pertamanya membocorkan rahsia kepada calon isteri keempat mengenai statusnya yang memiliki tiga isteri.

Isteri pertama lelaki itu yang hanya mahu dikenal sebagai Ayu, 34, berkata kejadian itu berlaku berulang kali sejak 2006 sehingga mereka tidak sanggup menanggung penderitaan.

“Saya berkahwin dengannya pada 1996 dan pada 2000 saya dimadukan sebelum madu saya bertambah seorang lagi pada 2004. Dua tahun kemudian, saya dapat tahu suami saya nak tambah seorang lagi isteri.

“Saya dapat berhubungan dengan calon madu keempat saya itu. Jadi, saya maklumkan kepadanya suami sudah ada tiga isteri. Gadis itu terkejut dan batalkan hasrat untuk berkahwin dengan suami saya,” katanya. Ayu berkata, kejadian itu menyebabkan suaminya marah dan mula bertindak ganas terhadapnya serta empat anak mereka, hanya anak bongsunya yang terselamat daripada menjadi mangsa.

“Saya sering ditumbuk, ditendang dan dipijak. Lebih teruk, pada hujung tahun lalu saya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas pengsan akibat dipukul suami. Di kalangan anak-anak pula, anak sulung saya (lelaki) paling teruk kena belasah. Pada 2006, ketika usianya lapan tahun kepalanya mengalami gegaran selepas dihentak dengan topi keledar. Akibatnya, dia menjadi kanak-kanak lembam dan keadaan itu kekal sampai sekarang,” katanya.

Menurut Ayu, anak perempuan kedua dan anak perempuan keempat pula yang masing-masing kini berusia 10 dan tujuh tahun selalu berbirat seluruh badan akibat disebat dengan tali pinggang dengan kejadian terbaru berlaku di rumah mereka di Subang Jaya, kira-hujung tahun lalu.

“Hanya anak perempuan bongsu berusia tiga tahun saja terselamat daripada kekejaman suami walaupun ada cubaan untuk menderanya,” katanya. Ayu berkata, dia beberapa kali lari daripada suaminya dengan kali pertama pada 2006 dan berikutnya pada 2008, namun kembali semula akibat terpedaya pujukan serta helah licik suaminya.

“Ketika kali pertama saya meninggalkan dia bersama anak-anak pada 2006, suami menipu saya dengan mengatakan anak sulung kami sudah meninggal dunia kerana terlalu rindukan saya.  Malah, dia juga membawa saya ke kubur kononnya anak kami dikebumikan. Selepas saya kembali ke pangkuannya, baru saya tahu dia hantar anak saya ke rumah anak yatim selepas membelasahnya dengan teruk,” kata Ayu.

Ayu berkata, suaminya yang tidak bekerja berkahwin tiga dan sebelum ini dia merelakan perbuatan lelaki terbabit kerana yakin suaminya berlaku adil. “Bukan saya dan anak-anak saja selalu dibelasah, tapi isteri kedua dan ketiga berusia 20-an turut menjadi mangsa. Setahu saya isteri keduanya juga sudah meninggalkannya,” katanya yang kini membawa kelima-lima anaknya tinggal berasingan kerana sudah tidak tahan dengan kekejaman suaminya.

Selain itu, Ayu membuat laporan polis untuk memastikan suaminya tidak mengganggu dia anak-anaknya. “Biarpun saya dan anak-anak kini berlindung dengan ahli keluarga, suami masih datang memaksa kami pulang ke rumah. Kami sudah memaafkannya, namun cukup penderitaan yang kami tanggung selama ini.  Saya berharap dia bagi peluang saya dan anak-anak memulakan hidup baru,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan Ayu. Sementara itu, aktivis Persatuan Pelindung Pengguna Islam Selangor, Abdul Aziz Ismail, berkata pihaknya bersedia memberi khidmat nasihat kepada Ayu berhubung krisis dihadapinya dan berharap ia diselesaikan secepat mungkin. “Lebih penting ialah mereka sekeluarga terutama anak-anaknya dapat menikmati hidup seperti orang lain. Mungkin juga anaknya yang pernah melihat ibu mereka dipukul perlu menjalani sesi kaunseling bagi menghilangkan trauma yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu,” katanya. - myMetro

Saturday, February 12, 2011

Jaja gambar bogel


KAJANG: Mengaibkan apabila seorang gadis yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak hanya berminat menjalankan aktiviti menggoda suami orang, malah tidak segan silu merakamkan gambar bogelnya sebagai modal untuk memikat.

Pelajar berusia awal 20-an itu dikesan menggunakan laman web sosial di Internet untuk menjalankan kegiatannya dengan tujuan memperoleh wang mudah selain berniat mahu memporak-perandakan rumah tangga lelaki yang digoda.

Perkara terbabit didedahkan seorang ahli perniagaan wanita yang mengesan hubungan sulit suaminya dengan pelajar IPTA terlampau itu selepas menemui rakaman video gadis terbabit di dalam telefon bimbit suaminya.

Menurut wanita itu yang mahu dikenali sebagai Siti, 35, dia tidak menyangka pelajar terbabit menjual maruah diri dengan menghantar beberapa rakaman gambar bogel sendiri selain beberapa klip video yang menunjukkan aksi lucah. “Saya melihat kiriman MMS bogel pelajar itu secara tidak sengaja ketika menyemak kandungan telefon bimbit suami. Tidak mahu perkara itu berlarutan, saya menghubungi pelajar itu untuk berbincang.

“Selepas didesak berulang kali, dia mengaku ia gambar bogel MMS dirinya, namun menafikan ada melakukan hubungan seks dengan suami saya,” kata dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro. Menurut Siti, pada mulanya pelajar terbabit memohon maaf dan menyangka suaminya bujang, namun itu semua hanya lakonan kerana selepas itu dia masih menghantar klip video aksi lucah dan SMS kepada suaminya.

“Saya menghubunginya sekali lagi meminta dia menghentikan semua perbuatan buruknya supaya tidak mengganggu hubungan rumah tangga kami. Saya marah dia kerana tanpa segan silu menunjukkan aksi lucah dan gambar bogel kepada lelaki yang hanya dikenali melalui laman sembang sedangkan mereka belum mempunyai ikatan sah,” katanya.  Siti berkata, dia turut menakut-nakutkan gadis itu untuk menyebar gambar bogelnya di Internet.

“Selepas saya cakap macam itu baru dia merayu saya tidak berbuat demikian, selain berjanji akan memutuskan perhubungan dengan suami,” katanya. Menurut Siti, suaminya mendakwa kini gadis itu sudah tidak ada apa-apa hubungan dengannya kerana dia mempunyai lelaki lain sebagai pengganti. Katanya, gadis terbabit dikatakan masih mengulangi tabiat sama dengan menghantar gambar bogelnya kepada teman lelaki barunya dengan tujuan untuk menggoda.

“Saya tak sangka pelajar berpendidikan tinggi dan berpenampilan baik dengan memakai tudung tergamak berkelakuan jijik seperti itu dengan sengaja mahu menghancurkan rumah tangga orang lain. Lebih saya kesal, dia pernah mengugut mahu membuat laporan polis dengan dakwaan saya mengganggunya dan cuba menyebarkan gambar bogelnya,” kata Siti.

Ibu dua cahaya mata itu berkata, suaminya sudah meminta maaf dan berjanji tidak mengulangi kesilapan berkenaan. “Ini satu pengajaran dan keburukan laman sembang sosial di Internet yang disalah gunakan bagi tujuan tidak bermoral apatah lagi membabitkan golongan remaja,” katanya. -myMetro

Friday, February 11, 2011

Adik pelakon komedi kena cekup


kanabis/ganja

AMPANG: Adik pelakon komedi terkenal yang pernah memenangi beberapa anugerah ditahan bersama 12 orang ketika serbuan dijalankan dalam satu operasi dadah oleh Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang di Lorong Bukit B2, Cheras Baru, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 malam itu, lelaki berusia 27 tahun dipercayai adik pelakon dan pelawak terkenal itu ditahan bersama rakan-rakannya yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah.
Difahamkan, polis yang melihat wajah lelaki terbabit mirip pelakon komedi itu kemudian didesak sebelum mengaku dia adalah adik kepada pelawak terbabit.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, adik pelawak terbabit kini ditahan polis selepas hasil pemeriksaan mendapati dia positif dadah jenis ganja. Bagaimanapun, polis tidak menjumpai sebarang dadah bersamanya. - myMetroonline

Serah tubuh kepada ketua


KUALA LUMPUR: “Dia banyak melakukan maksiat. Bukan saja menari dengan pengikut wanita penuh keseronokan tapi pernah mencabul serta merogol anak seorang pengikut kanannya.

“Setahu saya, mangsa nafsu serakahnya itu sanggup menyerahkan tubuh mereka dalam upacara dipanggil acara penyerahan.” Demikian kata wanita dikenali sebagai Liza ketika mendedahkan salah laku dan penyelewengan ketua satu kumpulan ajaran sesat yang diikutinya hampir empat tahun lalu dan masih aktif di beberapa lokasi terutama di Selangor dan Perak.

Wanita berusia 30-an itu berkata, dia meninggalkan kumpulan ajaran sesat berkenaan selepas mendapati terlalu banyak penyelewengan dan amalan bertentangan ajaran Islam diajarkan ketuanya.

Kata Liza, lelaki berusia 50-an itu berselindung di sebalik sifat warak dan mencampuradukkan amalan songsang dalam majlis zikir yang diajar kepada pengikutnya.

“Pada setiap malam Selasa dan Jumaat dikenali sebagai malam tawajjuh (berdepan), kami berzikir dalam gelap dengan mata dipejam rapat. Muka ahli perempuan ditutup dengan kain telekung manakala ahli lelaki menutup muka dengan serban sambil berniat kepada syeikh (ketua) ajaran itu,” katanya.

Menurutnya, upacara aneh itu diadakan di markas di pinggir ibu kota secara beramai-ramai dalam keadaan taksub dan separa sedar, disusuli dengan amalan tawajjuh iaitu berdepan dengan syeikh oleh seorang ahli yang ditugaskan dengan cara meletakkan tangannya di kepala ahli lain.

“Amalan itu memang pelik, tetapi pada peringkat awal saya tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah semakin lama saya menyertainya bermacam-macam lagi yang saya tahu, termasuk tidak melakukan solat Jumaat di kalangan lelaki. Mereka beri alasan di kawasan markas itu tidak mencukupi 40 orang (jemaah), tidak wajib kepada mereka mengerjakan solat Jumaat. Jadi, ketika umat Islam mengerjakan ibadat mingguan itu, mereka tidur. Jika berada di khalayak umum, mereka berlakon mengikuti solat Jumaat, namun sebaik selesai, mereka mendirikan solat lain kerana beranggapan solat Jumaat itu tidak sah,” katanya.

Liza yang juga seorang kakitangan awam berkata, dia tertarik menyertai kumpulan itu bersama suami sebelum ini kerana melihat kepada aspek luaran ahli dan ketua ajaran berkenaan. “Memang dari luar mereka kelihatan alim, membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan suami untuk menyertai kumpulan mereka. Saya masih ingat lagi, pada hari pertama ke markas itu iaitu selepas Asar pada pertengahan 2006 saya dikehendaki mandi sunat taubat dan mengerjakan solat sunat taubat. Saya pelik, kenapa ada solat sunat selepas Asar kerana setahu saya tiada solat sunat selepas waktu itu." 

"Pada malamnya pula solat Isyak dilewatkan kepada jam 9.30 malam, kemudian saya dibaiah (ikrar) oleh ketua. Saya dikehendaki mengikuti lafaznya supaya sumpah setia kepada ajaran berkenaan. Selepas itu semua lampu dipadamkan, mata dipejam dan muka ditutup untuk melafazkan zikir beberapa ratus kali, kemudian datanglah seorang ahli meletakkan tangannya di kepala setiap ahli melakukan tawajjuh."

“Dalam majlis itu dianggarkan 50 ahli, lelaki dan perempuan terdiri pelbagai lapisan usia. Ada antara mereka datang dari jauh,” katanya. Menurutnya, ahli kumpulan ajaran itu juga diberi minum sejenis air supaya mereka terus taat dan taksub kepada tuan guru.

“Selepas tahu banyak perkara yang tidak betul, saya nekad meninggalkan kumpulan itu, tetapi saya takut kerana ada antara pengikutnya memburu saya supaya kembali kepada mereka,” katanya. Mengenai salah laku seks ketua ajaran sesat itu dan amalannya menari dengan wanita, Liza berkata dia mendapat maklumat itu daripada orang kanan kumpulan berkenaan, malah mempunyai bukti mengenainya.

“Setahu saya, wanita termasuk anak gadis menjadi mangsa nafsu serakahnya apabila mereka ingin melakukan upacara penyerahan, kerana ada antara mereka menyerah maruah diri, selain barangan yang berharga. Ketika inilah ketua mengambil kesempatan. Kemudian, barulah seseorang itu boleh menyempurnakan amalan suluk (menyepikan diri) di bilik kecil yang tersedia di markas itu."

“Saya sudah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai semua aktiviti dan amalan dalam kumpulan itu serta menyerahkan bukti yang saya ada, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil,” katanya. - myMetro

Thursday, February 10, 2011

Cagar anak pada along


JOHOR BAHRU: Seorang bapa durjana bukan saja mencagarkan anak gadisnya untuk melunaskan hutang dengan ceti haram atau along, malah menganjurkan pakej pelancongan maksiat dengan membenarkan mereka membawa zuriatnya itu bercuti di luar negara.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata perkara itu berlaku gara-gara kegagalan lelaki 50-an terbabit melangsaikan hutang kira-kira RM150,000 kepada sindiket berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, kecantikan dimiliki anaknya berusia 20-an termasuk bentuk tubuh menggiurkan selain wajah persis model dijadikan umpan oleh lelaki itu untuk terus berhutang dengan along di bandar raya ini.

Menurutnya, seorang ahli keluarga mendakwa lelaki terbabit ketagih berjudi di kasino di Singapura sehingga berhutang dengan along. “Perbuatan lelaki itu bukan saja menghancurkan masa depan anak gadisnya, malah mengakibatkan dia terbabit pelbagai masalah sosial. Difahamkan pada awalnya gadis berkenaan membantah perjanjian bapanya dengan along itu kerana bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Namun, dia terdesak dan terpaksa akur kehendak bapanya hingga menjadi pemuas nafsu beberapa along termasuk lelaki mata keranjang yang seusia bapanya,” katanya.

Tay berkata, bagi mengelakkan sindiket along menuntut hutang, bapa gadis berkenaan menganjurkan pakej pelancongan maksiat bersama anak perempuannya bertujuan menghiburkan lintah darat itu. Menurutnya, along juga bebas bercuti dengan gadis itu mengikut tempoh diingini. “Malangnya, kini anak perempuan lelaki terbabit semakin selesa dengan gaya hidup barunya kerana turut dilimpahi kemewahan. Ketika kami menghubunginya dan menasihatkannya, dia enggan mengubah gaya hidupnya, sebaliknya mahu terus bergelumang dalam maksiat itu,” katanya.

Tay berkata, kes membabitkan pasangan anak beranak itu antara 500 laporan ancaman along terhadap peminjam diterima Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru sejak tiga tahun lalu. “Pendedahan ini diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai terutama penduduk di bandar raya ini supaya tidak berhutang dengan along selain membuang tabiat berjudi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tay menunjukkan Bintang Khidmat Terpuji yang diperoleh di Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, baru-baru ini. - myMetro

Wednesday, February 9, 2011

Ibu merajuk campak anak


SERDANG: Merajuk dengan suaminya, seorang wanita tergamak mencampak anak tunggal perempuan mereka berusia lima tahun dari tingkat enam sebuah pangsapuri sebelum dia sendiri nekad terjun dari tingkat 10 blok berasingan di pangsapuri Seri Alam, di sini, semalam.

Akibat kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, dua beranak terbabit mati dalam keadaan mengerikan selepas cedera teruk di kepala dan badan. Sebelum kejadian, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Tan Meng Leng, 35, marah dan merajuk apabila suaminya yang mahu keluar membaiki kereta di sebuah bengkel berhampiran enggan membawa bersama anak perempuan mereka. Suaminya, Teoh Hock Hwa, 45, berkata kira-kira 10 minit selepas keluar dari rumahnya, dia mendapat panggilan daripada jiran memaklumkan isteri dan anaknya maut terjatuh dari bangunan.

Katanya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi, dia mengambil anaknya itu dari tadika dan menghantarnya ke rumah bersama makanan segera yang dibelinya. “Ketika itu, isteri saya berada di rumah dan sebaik saya tiba, kami makan bersama dan dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda pelik. Sebaik saya ingin keluar untuk ke bengkel bagi membaiki kereta, anak perempuan saya mahu mengikut, namun saya enggan membawanya kerana saya akan terus ke tempat kerja selepas membaiki kereta,” katanya.

Menurutnya, isterinya turut mendesak dia membawa anak mereka, namun tidak dihiraukannya. “Ketika menyambut Tahun Baru Cina minggu lalu, isteri saya ada bertanya bagaimana mayatnya akan diuruskan selepas dia mati, sama ada dibakar atau ditanam. Saya tidak menjawab pertanyaannya itu dan kini baru saya tahu apa dikatakannya itu ada kaitan dengan kejadian hari ini (semalam). Sepanjang cuti hujung minggu lalu juga, isteri saya kelihatan agak sugul,” katanya.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Katanya, kedua-dua mangsa tinggal di tingkat dua bangunan pangsapuri berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian. “Siasatan awal mendapati, selepas anaknya jatuh dari tingkat enam, ibunya terus naik ke tingkat 10 blok berasingan dan berdiri di atas sebuah kerusi sebelum terjun. Anak mangsa maut dengan kepalanya hampir berkecai manakala ibunya parah di seluruh badan dan kepala,” kata ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - myMetro

Tuesday, February 8, 2011

Apabila Anwar Ibrahim Menyanyi


Anwar Ibrahim ketika majlis pelancaran album Teratak
PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali menyumbangkan suara dalam sebuah lagu berjudul Teratak yang merupakan sebuah projek amal Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan kumpulannya, d*Crew.
Menurut Anwar, walaupun hanya memainkan peranan kecil dalam projek itu, beliau amat gembira kerana ia merupakan inisiatif untuk menarik minat golongan muda.
“Saya melakukannya sebab Gwo-Burne desak. Saya sangat tidak selesa tetapi cuba berlatih di kamar mandi. Memang saya gemarkan muzik seperti Elvis Presley dan sebagainya, tetapi ini serius.
“Apabila Gwo-Burne bawa saya ke studio, saya mendapati bahagian saya paling susah! Tetapi saya enjoy dan cuba menjiwai lirik sebaik mungkin. Ada sedikit perubahan dibuat agar lebih sesuai dengan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran album Teratak di Subang Jaya, Selasa lalu.
Album Teratak merupakan sebuah projek amal bagi mengumpulkan dana membantu meningkatkan prasarana di kawasan penempatan pengundi berpendapatan rendah.
Sementara itu, Gwo-Burne berkata, apabila pertama kali mendengar suara Anwar, dia hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan nyanyian beliau yang bernada sayu.
Peminat cilik Datuk seri Anwar Ibrahim
Katanya, menulis lirik untuk Ketua Pembangkang itu adalah satu cabaran baginya terutama apabila Anwar mengakui lebih gemarkan lagu berentak rancak.
“Idea selalunya datang apabila saya berada dalam keadaan murung, suatu masa dahulu saya meluahkan emosi menerusi lagu. Sekarang, saya menggunakan ‘kelebihan’ itu untuk mendekati masyarakat dengan cara baru,” kata Gwo-Burne yang menyasarkan kutipan RM200,000 hingga RM300,000 untuk jualan amal Teratak.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu projek Teratak ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Pakatan Rakyat.
“Semua orang mengadakan majlis makan malam atau majlis amal dengan menjual meja untuk mengumpulkan dana. Ini dipanggil ‘politik baru’ tetapi sejak dahulu lagi sudah ramai orang buat, akhirnya saya jual meja pada dia, dia jual meja pada saya.
“Disebabkan saya masih baru (dalam politik) saya mahu cuba sesuatu yang lain untuk menjana lebih dana sumbangan kepada golongan miskin dalam kawasan Parlimen kami,” jelasnya yang menulis gubahan solo istimewa untuk Anwar.
Album mini tersebut merupakan cetusan idea beliau yang terbabit dalam hampir keseluruhan projek termasuk perancangan dan fotografi istimewa sebagai penghias album Teratak.
Manankala, adiknya, Gwo-Tynde Loh pula bertanggung jawab ke atas arahan seni termasuk rekaan penghias album, laman web dan bahan-bahan lain.
Empat lagu dimuatkan dalam album mini tersebut antaranya Teratak yang menampilkan The Wayfarers dengan lagu istimewa dari Anwar dan Elizabeth menerusi Feeling Funselain Jia (Teratak dalam versi Mandarin) dan We Are All The Same.
Kesemua lagu diterbitkan oleh DJ Hope dengan lagu ditulis oleh Danny Tan, lirik oleh Faisal Mustafa, Ivone Tjuatja Dharma (Teratak) dan Gwo-Burne (Teratak dan Feeling Fun) serta disusun oleh James & Co.
Cakera padat edisi terhad Teratak tidak dijual, sebaliknya merupakan ‘cenderahati’ percuma apabila anda menyumbang minimum RM25 kepada dana kebajikan anjuran pejabat Ahli Parlimen Kelana Jaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai cakera padat terhad Teratak, layari www.kelanajayamp.com atau www.uni-tee.org untuk memuat turun trek pilihan anda. -  mStarOnline

Related Posts with Thumbnails

heratBeat