Wednesday, September 29, 2010
Rahmat Berkat
Hari ini aku ingin berkongsi dan menghayati tazkirah mengenai rahmat berkat yang aku perolehi dari artikel Ustaz Mohd Zawawi Yusoh dalam myMetro. Semuga ia dapat membantu aku mencari keredhaan Illahi dalam mengaharungi kehidupan ini.
MANUSIA berusaha siang malam mencari rezeki termasuk ada yang menggadai nyawa, tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan?
Mengapa rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Isteri cantik, suami tampan, tetapi rumah tangga masih bertaburan!
Begitu juga, ilmu yang luas melaut mengapa tidak mampu mengangkat darjat, malah menghina diri?
Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang diperoleh ialah masalah demi masalah. Apa sebabnya?
Antara sebabnya ialah apa yang mereka miliki itu tidak berkat. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat.
Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat.
Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.
Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat.
Berkat maknanya ialah subur dengan kebaikan, permohonannya diterima dan dilimpahi kebahagiaan. Jadi, keberkatan membawa ke syurga, sebaliknya, tanpa berkat kita dibawa ke neraka.
Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.”
Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka. Apa lagi kalau harta bertimbun, apa lagi ilmu melaut. Begitu juga dengan deretan gelaran.
Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu.
Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu.
Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.”
Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara. Ia tidak layak untuk urusan peribadi.”
Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi.
Kunci kebahagiaan ialah sederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.
Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat. Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram.
Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah.
Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh.
Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi nur dan petunjuk.
Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.
Aku harap ini akan dapat memberi panduan kepada anak2ku dalam mengharungi dunia pelajar. Hayati dan fahamilah agar ilmu yang dikau cari sentiasa mendapat keberkatan.
Labels:
tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment