aDs

aluan

Followers

Wednesday, January 18, 2012

Bapa serbu anak di hotel


KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ayah selepas mendapat tahu anak gadisnya berusia 15 tahun yang lewat pulang ke rumah sebenarnya menginap di hotel bajet di Taman Desa bersama dua lelaki.

Malah, remaja bawah umur itu turut mengakui mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki itu, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pekerja kilang berusia 39 tahun itu bersama rakan baik anaknya pergi ke hotel berkenaan sebaik mendapat tahu anaknya berada di hotel itu.

Menurut sumber, dia pada mulanya menyangka anak gadisnya itu lewat pulang dari sekolah kerana mengulang kaji pelajaran sebelum menghubungi rakan baik anaknya untuk mengetahui ke mana anaknya itu pergi.

“Lelaki berkenaan terkejut selepas dimaklumkan anaknya berada di bilik hotel di kawasan berhampiran sebelum mengajak rakan anaknya pergi ke hotel itu.

“Namun sebaik pintu bilik hotel dibuka, dia terkejut mendapati anaknya berada bersama dua lelaki.

“Tergamam melihat keadaan itu, lelaki terbabit terus bertindak menahan kedua-dua rakan anaknya itu, namun seorang daripada mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian membawa anaknya dan rakan lelakinya itu untuk membuat laporan di Balai Polis Petaling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit. - myMetro

Cium kaki minta maaf


SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai pendakwa mencium kaki anak tirinya selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berikutan mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 11 tahun itu di rumahnya di Seksyen 17, di sini.

Tertuduh berusia 59 tahun itu berbuat demikian bagi memohon maaf terhadap mangsa yang dirogolnya sejak berusia enam tahun. 

Sambil menangis teresak-esak di atas lantai, lelaki itu melahirkan perasaan kesal terhadap perbuatannya sambil disaksikan isterinya yang juga ibu mangsa.

Berdasarkan fakta kes, hubungan terlarang itu pernah disaksikan isterinya, tetapi tidak diendahkan.

Bagaimanapun, ‘drama’ tidak berakhir di situ apabila ibu mangsa memeluk erat anaknya tidak rela berpisah dengan mangsa yang diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lelaki itu yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Seksyen 17, di sini, pada waktu pagi, antara 2005 dan 30 April tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 8 Mei tahun lalu. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon hukuman berat kerana tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya sebaliknya merogol mangsa. Malah, mangsa pernah mengadu kepada ibunya, tetapi dimarahi.

Katanya, kejadian menyebabkan mangsa trauma dan memberi tanggapan negatif terhadap anaknya.

Dengan itu, katanya, hukuman berat perlu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Hidir memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya tua dan menghidap penyakit jantung, kencing manis serta buah pinggang.

Katanya, pengakuan salah lelaki itu juga sudah menjimatkan masa dan kos mahkamah. 

“Tiada alasan atas apa yang berlaku, cuma tertuduh amat kesal. Dia bertanggungjawab (atas kesalahan itu),” katanya. 

Berdasarkan fakta kes, tembelang tertuduh pecah apabila mangsa menceritakan kepada ustazahnya bahawa dia ‘berzina’ dengan bapanya selepas mempelajari perkara yang membatalkan puasa ketika pendidikan agama.

Ustazah itu merujuk kepada guru kelas sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah. Malah, ibu mangsa mengetahui kejadian itu tetapi mendiamkan diri dan berpura-pura ia tidak berlaku, malah memarahi anaknya.

Mangsa menyatakan tertuduh mengugut menghentak kepalanya ke dinding jika tidak memenuhi permintaan mengadakan hubungan seks, selain mengemukakan kondom diberikan tertuduh kepadanya. - myMetro

Drebar ‘syok’ ragut 2 nyawa


REMUK...keadaan kenderaan selepas  kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.
REMUK...keadaan kenderaan selepas kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video (VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal lain parah.
Foto
NGERI...keadaan mayat mangsa yang terkorban dalam kemalangan.
Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27, dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32 tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Lori pasir yang dipandu lelaki itu mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54, berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.

“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,” katanya. - myMetro

Friday, December 23, 2011

8A padam rekod disiplin


IPOH: Dia pernah digantung sekolah kerana mengganggu pelajar perempuan dan bergaduh, namun dia kembali bersemangat dan tekad untuk belajar selepas dicabar gurunya yang berjanji mahu memadamkan rekod disiplinnya jika mencapai keputusan cemerlang.

Hariz Syafiq Sallehuddin, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini berjaya membuktikan dia sebaris dengan 68 pelajar cemerlang lain di sekolahnya yang memperolehi keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.

“Saya mempunyai lima rekod disiplin di sekolah, malah pernah dihukum termasuk digantung sekolah selain dicop oleh guru sekolah sebagai pelajar nakal. 

“Bagaimanapun, saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menyahut cabaran itu kerana tidak mahu sijil berhenti sekolah saya ‘cacat’ disebabkan rekod disiplin itu,” katanya yang juga anak yatim selepas kematian ibunya, Siti Hasni Mohd Yassin, 31, akibat barah beberapa tahun lalu.

Sementara itu, rakan sekolahnya, Muhammad Amir Izzat Razali, 15, yang turut memperolehi keputusan 8A menyifatkan kejayaan diperolehinya itu berbaloi.

“Saya bertekad belajar bersungguh-sungguh kerana menyedari kesusahan kedua ibu bapa mencari rezeki,” katanya. - myMetro

Pemanas air maut


TYE...maut
TYE...maut

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca dari alat pemanas air ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Changkat, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemilik kedai alat telekomunikasi Tye Chuan Sin, 40, ditemui terbaring kaku dalam keadaan bogel oleh isterinya selepas terkena renjatan elektrik dari peralatan berkenaan dipercayai mengalami litar pintas.

Mayat mangsa ditemui dengan kesan melecur di leher serta badan akibat renjatan elektrik terhasil daripada paip alat pemanas air itu.

Menurut sumber polis, mangsa sepatutnya menjemput anak perempuannya pulang dari kelas tambahan, namun anaknya musykil apabila panggilan telefon dibuat kepada bapanya itu langsung tidak dijawab.

“Anak mangsa menghubungi ibunya dan meminta menjemput dia pulang dari kelas tambahan sebelum memberitahu panggilan telefon dibuat kepada bapanya langsung tidak dijawab.

“Isteri mangsa ketika itu berada di tempat kerja mula risaukan suaminya sebelum cuba menghubungi lelaki itu, namun panggilannya juga tidak dijawab,” katanya.

Menurutnya, sejurus sampai di rumah, dua beranak terbabit terhidu bau hangit dan terkejut apabila mendapati mangsa terbaring tidak bernyawa dalam bilik air rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan menerima laporan mengenainya.

“Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan HPP enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian itu. - myMetro

Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel


PETALING JAYA: Akhirnya, konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS, membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang baru dibelinya awal tahun depan selepas 10 tahun menetap di sebuah hotel.
Ramli berkata, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan masa depan dengan memiliki sebuah rumah yang selesa agar dapat tinggal bersama ibunya yang masih lagi menetap di Singapura.
"Antara sebab saya tinggal di hotel selama ini kerana kemudahan yang disediakan memudahkan saya yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya seni dan tidak perlu nak fikir tentang masalah rumah bersepah, keselamatan dan sebagainya.
"Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang masa depan. Insya-Allah saya akan membawa ibu bersama-sama untuk berpindah sekitar bulan Januari atau Februari akan datang," katanya ketika ditemui di hotel penginapan di sini.
Tambah Ramli, dia juga akan mengubahsuai salah satu bilik di rumah itu untuk dijadikan sebuah studio mini bagi memudahkan dirinya untuk menghabiskan kerja-kerja seninya itu.
Dalam pada itu, Ramli menafikan sekeras-kerasnya bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana bakal menamatkan zaman dudanya dalam masa terdekat ini.
"Sikap saya lain, banyak perkara yang perlu diuruskan dulu seperti anak-anak, kerjaya dan urusan pembelian rumah baru. Jadi saya tak terfikir pun untuk berkahwin dalam buat masa ini.
"Tapi semestinya saya mahu kahwin satu hari nanti," selorohnya.
Bercerita mengenai cara hidupnya sepanjang 10 tahun menetap di hotel, tiada memori yang indah untuk diingati dek kerana terlalu fokus dengan kerjayanya, tetapi gembira, pekerja hotel berkenaan melayannya dengan baik.
"Memandangkan sudah lama saya tinggal di sini, mereka telah memberi kebebasan untuk saya.
"Bayangkan, mereka turut membenarkan saya memasak di dapur hotel. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik. Mungkin selepas berpindah nanti saya akan rasa perbezaannya.
"Lebih-lebih lagi dari segi penjagaan dan sekuriti rumah. Harap-harap saya dapat menguruskannya dengan baik," kata Ramli. - mStarOnline

Jamal Abdillah Tenang Selepas Keluar Rumah Pengasih


Jamal Abdillah
PETALING JAYA: Penyanyi popular Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Jamal Abdillah mengaku lebih tenang menjalani kehidupan seorang diri selepas meninggalkan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), awal November lalu.
Katanya, dia kini menjalani kehidupannya seperti biasa dan sibuk dengan beberapa perniagaan yang dijalankan.
"Saya berasa lebih tenang menjalani kehidupan seharian saya berbanding ketika berada “di dalam” (rumah Pengasih). Lagi pula saya tidak mahu menumpang terlalu lama di rumah orang,
"Insya-Allah selepas rumah saya siap awal tahun depan saya akan memulakan hidup baru di sana," katanya ketika ditemui di majlis minum petang bersama Jamal Abdillah, di sini, Khamis.
Jamal diminta mengulas tentang tindakannya keluar dari rumah Pengasih yang telah diduduki lebih lima tahun.
Bagaimanapun, dia enggan menjawab tentang tuduhan pengerusi Pengasih yang kecewa terhadap sikapnya sepanjang berada di rumah perlindungan tersebut.
"Saya mempunyai bukti yang kukuh terhadap sumbangan saya kepada Pengasih jika dia mendakwa saya tidak mempunyai apa-apa sumbangan.
"Namun ini bukan masa yang sesuai, mungkin nanti saya akan adakan satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar," katanya.
Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan pihak pengasih sedikit sebanyak memberi tekanan dan menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.
"Perkara ini memberi tekanan pada saya dan mengganggu kehidupan saya terutamanya berhadapan dengan tanggapan masyarakat luar dan peminat," ujarnya. - mStarOnline

Related Posts with Thumbnails

heratBeat