aDs

aluan

Followers

Wednesday, September 14, 2011

Lelaki kena 6 bulan cabul warga emas

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang lelaki yang gagal menahan nafsu hingga mencabul kehormatan warga tua berusia 62 tahun pada Mac lalu.

Zulkefli Salleh, 46, dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang dibacakan di depan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Kampung Kubang Ikan pada jam 2 petang, 27 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi tertuduh yang masuk melalui pintu dapur yang terbuka dan turut membawa sebilah pisau lalu memegang tangan dan lutut serta mencium mangsa, selain mengajak mangsa berkahwin dengannya.

Difahamkan, tertuduh pernah menyuarakan hasrat berkahwin dan menyimpan perasaan terhadap mangsa. 

Mangsa yang ketakutan ketika itu mengikut apa saja dikatakan tertuduh demi menyelamatkan diri, malah tertuduh berada di kawasan rumah mangsa selain memaklumkan akan datang semula pada waktu malam.  - BHarian

Tuesday, September 13, 2011

Tiga maut jip terbang


KUANTAN: “Pada pertemuan raya pertama, arwah pernah memberitahu mahu berhenti kerja di Awana Kijal, Kemaman dan pulang ke Karak, Bentong untuk memulakan pekerjaan baru.

“Namun, semua impian itu berakhir apabila arwah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan itu,” kata Mohd Nasir Harun, 54, abang ipar kepada Mustapa Kamal Samah, 40, dari Kampung Karak Setia, Karak, dekat Bentong, yang terbunuh apabila kereta Proton Satria yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 214.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan susur keluar Tol Gambang, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut terbunuh pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Wong Hong Yen, 40, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, ketika menerima rawatan dan seorang lagi pemandu kereta Mercedes Benz, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih, di sini, yang maut di tempat kejadian.

Difahamkan, Yee yang juga ahli perniagaan, dijadual bakal menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada hujung bulan ini.

Pada masa sama, isteri Yee, Chew Moy, 64, yang berada di dalam kereta bersama suaminya dikatakan hanya cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Nasir berkata, dia mendapat panggilan berhubung kemalangan itu melalui orang awam yang menghubunginya dengan menggunakan telefon bimbit milik arwah sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah selepas terbabit dalam kemalangan ngeri itu dan kali terakhir bertemu dengan arwah pada hari raya pertama.

Katanya, dalam pertemuan itu, arwah pernah memberitahu hendak pulang bekerja di Karak selepas lebih 14 tahun bekerja di Awana Kijal, Kemaman selain merancang untuk mendirikan rumah tangga.

“Arwah balik ke kampung pada Sabtu lalu kerana bertemu dengan seorang pengusaha kek dan berhasrat mencari pengalaman sebelum merancang mahu membuka perniagaan sendiri.

“Jenazah arwah selamat dikebumi di Kampung Teroh, Karak pada jam 12.30 tengah hari, semalam,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata siasatan mendapati, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Wong dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kuantan terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta yang dipandu Yee dan Mustapa Kamal yang menghala ke Kuantan dari Kuala Lumpur. - myMetro

19 nyaris terbunuh dua kapal berlanggar

MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.
MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.
KUANTAN: Seramai 19 anak kapal warga Indonesia nyaris terbunuh selepas kapal tangki MT Cendanawati dinaiki, berlanggar dengan kapal tangki kira-kira lapan batu nautika dari perairan Pulau Tioman, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kapten kapal itu, Dadi Suyadi, 45, berkata beliau bersama 18 anak kapal dalam perjalanan ke Indonesia dari Thailand dengan membawa muatan 1,600 tan minyak pelincir.

Katanya, ketika kejadian, beliau sedang tidur dalam bilik sebelum terjaga apabila terdengar dentuman kuat, menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala.

“Kapal kami dipercayai berlanggar dengan kapal tangki, Cosmic 10 sebelum kapal itu beredar menuju ke Batam, Indonesia.

“Selepas pelanggaran berkenaan , air melimpah masuk dalam bilik dan terdengar teriakan anak kapal. Keadaan menjadi kelam kabut,” katanya di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, semalam. 

Dadi berkata, kapal MT Cendanawati mengalami kebocoran pada bahagian enjin dan hampir tenggelam sebelum diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan melalui perairan berkenaan.

“Saya dan semua anak kapal diselamatkan anggota APMM yang memberi bantuan dengan kapal KM Jarak sebelum dibawa ke jeti Tanjung Gelang, di sini.

“Kami sepatutnya tiba di Indonesia hari ini (semalam) selepas bertolak Khamis lalu dari Thailand. Kami berterima kasih kepada APMM kerana memberi bantuan dan menyelamatkan nyawa kami yang hampir terbunuh selepas terbabit dalam pelanggaran itu,” katanya yang cedera ringan di leher.

Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, berkata pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada 19 mangsa terbabit selepas mendapat maklumat kejadian itu.  - BHarian

Pemandu maut traktor putus tiga

 POLIS   memeriksa traktor yang dirempuh  kereta api  di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam. Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.
POLIS memeriksa traktor yang dirempuh kereta api di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam. Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.
KUALA KRAI: Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut selepas traktor muatan sawit dipandunya, dirempuh kereta api ketika cuba melintasi landasan berdekatan Ladang Meng-kebang di Sungai Durian, semalam. 

Mohd Rizwan Mohd Saiful, 26 (kanan), dari Lombok, Indonesia maut selepas tercampak dan parah di badannya, manakala traktor dipandunya terputus tiga.

Difahamkan, sebelum kejadian jam 9 pagi itu, mangsa baru selesai memunggah kelapa sawit dan ingin membawanya ke tempat menimbang dengan memandu traktor berseorangan.

Bagaimanapun, mangsa tidak menyedari kedatangan kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang dan meneruskan perjalanan tanpa menyedari jarak kereta api dengan kenderaannya terlalu hampir.

Sebaik melintas landasan, traktor itu dirempuh kereta api terbabit menyebabkan mangsa bersama kenderaannya terhumban. 

Mangsa tercampak tiga meter dari tempat kejadian, parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Aziah Mat Naim, 24, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan kerani ladang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Jaapar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa adalah pekerja di Ladang Mengkebang, Sungai Durian. 

Beliau berkata, Mohd Rizwan dipercayai maut selepas enjin traktor yang dipandunya dipercayai mati secara tiba-tiba berdekatan landasan.  - BHarian

Monday, September 12, 2011

Wanita dituduh rogol anak lelaki


COLOMBUS: Seorang wanita Ohio dituduh memperkosa anak lelakinya yang berusia 10 bulan dengan merakam aksi itu dan kemudian menghantarnya kepada teman lelakinya di Michigan.

Ashley N Jessup, 24, didakwa di Columbus, Khamis lalu atas dua tuduhan memperkosa, satu tuduhan membahayakan nyawa kanak-kanak dan satu tuduhan memuaskan nafsu seksual membabitkan golongan yang lemah.

Pendakwa raya daerah Franklin, Ron O'Brien berkata, Ashley menghantar rakaman video itu melalui e-mel kepada teman lelakinya di Battle Creek, Michigan dan ditemui bekas teman wanita lelaki itu yang kemudian menghubungi polis. - AP

Hentak rakan guna mangga


AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.

“Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang,” katanya.

Menurutnya, tanpa diduga bekas rakan serumah mangsa itu tiba-tiba menghentak mangsa dengan mangga di belakang badannya. Apabila mangsa cuba melawan, dia ditampar, ditumbuk dan ditendang beberapa kali.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.

Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran. - myMetro

Friday, September 9, 2011

Natasya janji ubah penampilan


Tabri Rashid Abu Hassan (Natasya Farisya)

KANGAR: “Natasya Farisya sudah dipanggil untuk diberi kaunseling dan dia memberi jaminan akan mengubah penampilan termasuk memotong pendek rambutnya,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin.Menurut Abdul Malik, beberapa pegawai Jaips sudah mengadakan pertemuan dengan Natasya, 28, lelaki berperwatakan wanita itu yang menjadi teman istimewa mangsa simbahan asid, Mohd Hafizuddin Johari, 20, apabila memanggilnya untuk diberi kaunseling, semalam.

Menurutnya, pertemuan terbabit diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis di sini, hampir satu jam dan pihaknya mengambil pendekatan dakwah dengan memberi khidmat kaunseling kepadanya supaya kembali ke pangkal jalan.

“Kami tidak mengambil tindakan terburu-buru menahannya kerana pendekatan itu memerlukan bukti ketika ditahan. Bagaimanapun, dalam pertemuan terbabit dia sudah berjanji untuk mengubah corak kehidupannya.

“Kami akan memantau penampilannya selepas ini dan usaha berdakwah ini akan dilakukan berterusan."

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, Natasya atau nama sebenarnya, Tabri Rashid Abu Hassan sebelum ini pernah dua kali ditahan anggota penguat kuasa Jaips iaitu pada 1997 dan 2010 lalu.

“Kami tidak boleh terburu-buru menahan kerana subjek (Natasya Farisya) kini dalam keadaan tertekan dan menyatakan hasrat untuk membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Natasya yang juga bekas model sambilan dari Taman Sri Bakau di sini, ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 kerana berpakaian seperti wanita pada 2007.

Selain ditahan, kediaman Natasya pernah diserbu Jaips pada 2010 lalu, namun tindakan undang-undang mengikut peruntukan enakmen terbabit tidak dapat diambil kerana sebab tertentu.

Beliau berkata, selepas ditahan pada 2007 lalu, Natasya yang diberikan kaunseling dan nasihat oleh kaunselor Jaips memang berada dalam pemerhatian kerana dia sebelum ini pernah berjanji untuk berubah.

Katanya, pihaknya memandang serius penularan aktiviti pondan terutama membabitkan lelaki yang berperwatakan wanita di Perlis, namun tindakan mengikut Seksyen 7 enakmen sama bukan mudah untuk diambil.

Seksyen 7 memperuntukkan mana-mana lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mahu Jaips bertindak segera menahan Natasya sekali gus menghukumnya mengikut peruntukan undang-undang sewajarnya.

Abdul Malik berkata, walaupun Seksyen 7 tidak dapat diaplikasikan, namun pihaknya masih ambil tindakan terutama kaunseling dan pemantauan termasuk mahu memberinya peluang untuk berubah ke pangkal jalan.

Menurutnya, jika kesalahan itu dilakukannya di khalayak ramai atau ditahan ketika sedang menggoda lelaki atau bersekedudukan yang boleh menimbulkan syak, maka tindakan juga boleh diambil selepas mempunyai bukti.

Sementara itu, Harian Metro cuba menghubungi Natasya bagi mendapatkan maklum balas, namun panggilan tidak berjawab. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat