aDs

aluan

Followers

Saturday, October 30, 2010

Tragedi balik bercuti

MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands

GOMBAK: Tujuh maut manakala 38 cedera, 20 daripadanya parah selepas sebuah bas rombongan dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah terbabas sebelum terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.

Katanya, sebaik tiba berhampiran terowong itu, bas berkenaan tiba-tiba gagal dikawal lalu melanggar penghadang tengah jalan sebelum terbaring merintangi jalan.

“Tujuh mangsa yang maut akibat tersepit dan mayat mereka dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong dengan ambulans. Dua pemandu bas berkenaan juga terselamat,” katanya.

Enam mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Yussof Akhit, 16; Muhammad Khairi Muhammad Marzuki, 14; Muhammad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husin, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Muhamad Amirul Mohamad Isa, 13, dan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28.

Seorang lagi mangsa terbunuh dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan identitinya belum dikenal pasti.

Che Husin berkata, enam jentera bomba turut dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Setiausaha Umno Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, rombongan itu ke Genting Highlands bercuti. Mereka bertolak dari Baling malam kelmarin dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang.

Katanya, mereka dipilih di kalangan penduduk berusia 20-an untuk bercuti.

“Kami terkejut kejadian itu dan kini menguruskan jenazah untuk dibawa ke Baling bagi dikebumikan,” katanya.-myMetro

MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.

Kemalangan lagi........ Kalau di negara lain spt Indonesia, kebanyakan kematian disebabkan kejadian alam semulajadi (gempabumi, gunung berapi dll) tapi di M'sia.....kematian disebabkan kemalangan terutama bas...... ini yg buat aku fobia nak naik bas.....

Thursday, October 28, 2010

Empat 'otai' NS janji gegar aksi final

Pasukan bola sepak Negeri Sembilan menjalani latihan di Seremban, semalam sebagai persiapan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN - Empat pemain 'otai' skuad Negeri Sembilan menyatakan tekad untuk mengganyang Kelantan biarpun diasak bertubi-tubi, lebih-lebih lagi dipikul tugas berat mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang disandang pada tahun 2009.


Kata mereka, misi 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini lebih besar cabarannya, bukan setakat menjulang kembali Piala Malaysia ini, tetapi berhadapan 'musuh' yang sama-sama ditemui pada babak akhir 2009 lalu.

'Otai' Hoben Jang Hoben, Rezal Zambry Yahya, Idris Abdul Karim, Muhammad Shukor Adan dan Ching Hong Aik adalah sandaran skuad ini dalam menghadapi Kelantan, Sabtu ini dan mereka mempunyai cerita untuk dikhabarkan kepada pemain dan penyokong Kelantan.

''Kita akan lenyapkan impian Red Warriors untuk membalas dendam kekalahan mereka musim lalu. Kita akan pertahankan Piala Malaysia untuk kali keduanya," kata ketua pasukan, Rezal, 32, ketika ditemui di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, semalam.

Katanya, strategi dan gerak permainan yang diaturkan oleh jurulatih Wan Jamak Wan Hasan pasti menyengat lawan pada babak akhir Sabtu ini.

''Saya akui beban memang di bahu kami. Tetapi kami bukan pasukan pilihan, jika dibandingkan dengan Kelantan. Kami adalah pasukan bertahan yang akan melakukan apa sahaja untuk memastikan piala itu bertakhta di negeri ini," katanya.

Tambah Rezal, sebagai pemain senior dalam pasukan ini, dia optimis untuk terus meletakkan keyakinan kepada rakan sepasukan bahawa mereka boleh menggegar Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kejutan yang mungkin tidak dapat dirasakan oleh pemain Kelantan.

''Pemain muda dan barisan sedia ada telah buktikan komitmen mereka ketika kami berjaya menjulang Piala Malaysia musim lalu termasuk Piala FA," katanya.

Rezal yang masih bergelut dengan kecederaan pada lututnya tetap meletakan azam untuk beraksi pada babak akhir ini.
''Tunggu sahaja Jumaat ini, kalau semua baik, saya akan turun beraksi dengan persetujuan jurulatih," tegasnya.

Sementara itu, Muhammad Shukor, 32, mempunyai tugas besar memastikan benteng pertahanan terus kukuh tanpa boleh dilepasi barisan serangan Kelantan.

''Bukan semua pemain bertuah kerana dapat beraksi pada babak akhir ini dan tentulah bagi pemain 'otai' seperti kami semua, akan menjadi penyuntik semangat kepada pemain muda untuk beraksi dengan lebih baik.

''Sudah tentulah sebagai 'otai' dalam pasukan, kami akan sentiasa memberi perangsang dan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan dan tidak terlalu alpa dengan taktik yang dibawa lawan di tengah padang," katanya.

Dalam pada itu, Idris, 34, berkata, dia sudah tiga kali bermain di babak akhir Piala Malaysia dan percaya kehadiran ramai pemain muda di dalam skuad Negeri Sembilan akan memberikan kelebihan kepada pasukan ini.

''Walaupun mereka ini muda, tetapi mempunyai bakat yang sudah digilap oleh Wan Jamak. Kami akan terus membimbing mereka di tengah padang.

''Saya akan bermain sebaik mungkin dan memastikan Piala Malaysia ini tidak keluar diusung pemain Kelantan ke Kota Bahru. Saya mahu piala ini diusung dan dibawa kembali ke Seremban," katanya.

Sementara itu, bek kiri Negeri Sembilan yang juga merupakan pemain paling senior, Hong Aik, 35, beranggapan tugas Negeri Sembilan mempertahankan gelaran juara sebenarnya lebih sukar berbanding Kelantan yang ingin bergelar juara.

''Saya tahu ia akan memberikan sedikit tekanan kepada kami, namun ia bukan alasan untuk tidak melangkah ke stadium itu dengan kejayaan.

''Kami sudah bersedia untuk berhadapan Kelantan, penyokong juga diharap turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan. Kami akan bermain dengan cara yang terbaik. Memang pasti dicari, tetapi bola itu bulat, macam-macam boleh berlaku," katanya.-Utusan Malaysia Online

Tuesday, October 26, 2010

Tak rela menyerah

SEREMBAN - "Akanku genggam Piala Malaysia sampai 'hancur', menyerahkannya tidak sekali-kali. Selagi wisel belum ditiup pengadil, Negeri Sembilan akan mempertahankan piala keramat ini daripada rasukan Kelantan."


AIDIL (kanan) akan pastikan benteng pertahanan Negeri Sembilan tidak dibolosi pada final Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini
Itu ikrar bintang skuad Hoben Jang Hoben, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengenai pertemuan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukil Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Kata Aidil, jangan harap piala yang menjadi kemegahan dan dinantikan Negeri Sembilan 61 tahun yang lalu itu boleh diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.

"Kita akan mempertahankan piala keramat dari melepasi Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita akan pastikan piala itu terus bertakhta di negeri ini untuk kali kedua dan menjadi kebanggaan seluruh peminat dan rakyat negeri ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Aidil, yang bermain di posisi pertahanan dan menjadi 'benteng' bersama Shukor Adan, juga akan memastikan bola yang dirembat pemain Kelantan terus ditambat, agar tidak melorong masuk ke dalam gawang.

"Tempoh 10 minit permainan di babak akhir ini amat penting. Kalau Negeri Sembilan, menerima padah di babak itu, saya bimbang semangat pemain akan luntur.

"Tetapi, saya yakin semangat meluap di kalangan rakan sepasukan akan terus membara sehingga ke babak wisel penamat.

"Hoben Jang Hoben akan melaung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan sejarah akan kembali melakar dalam catatan kejayaan juara Piala Malaysia," kata Aidil.

Apa pun katanya, mempertahankan kejuaraan lebih sukar berbanding Kelantan, yang memang memburu kejuaraan.

"Kelantan lebih kepada misi membalas dendam selepas kecundang beberapa kali untuk menjulang piala ini. Kita yang berhadapan tekanan dan semua itu akan diatasi sebaik mungkin di atas padang," ujarnya.

Justeru katanya, adalah penting semangat pasukan ini menjadi keutamaan dan kesilapan dalam aksi lampau dijadikan panduan untuk terus kekal hebat di persada bola sepak tanah air.

"Abdul Halim Zainal dan Tengku Qayyum Abdullah Tengku Ahmad mungkin pertama kali beraksi dalam perlawanan akhir ini, tetapi saya percaya kedua-duanya mempunyai kredibeliti untuk membawa pasukan ini menjulang piala keramat itu," jelasnya.

Apa yang penting, Aidil berkata pasukannya akan mencari gol awal dan mengelak daripada penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, yang direhatkan akibat kecederaan dan pembedahan lutut kirinya berkata, jika dibenarkan bermain, pasti dia akan turun berlatin bersama-sama rakan yang lain.

"Buat rakan-rakan, hadapilah perlawanan akhir ini dengan membawa azam menjulang Piala Malaysia untuk kali kedua berturut-turut. Saya sedih kerana tidak dapat bersama dan yakin kita akan menjuarainya.

"Jangan lepaskan peluang terbaik ini selepas begitu gigih membawa pasukan ke peringkat akhir. Hadapi Kelantan dengan aksi waras dan versetail.

"Ketepikan tekanan kerana kita yang akan mempertahankan kejuaraan ini. Ingat, selagi wisel belum ditiupkan, selagi itulah kita akan terus merembat ke gawang Kelantan," ujar Mohd. Zaquan.

Katanya, pemain skuad Hoben Jang Hoben perlu juga melihat perlawanan akhir ini seperti aksi pertemuan semasa peringkat kumpulan, mahupun perlawanan persahabatan bagi mengelakkan rasa tertekan dan pada masa yang sama tidak mencacatkan tumpuan memburu kejuaraan Piala Malaysia.

Mohd. Zaquan kini direhatkan selama enam bulan dan mengikuti latihan fisioterapi di Wisma FAM akibat pembedahan selepas kecederaan pada lutut yang dialaminya, baru-baru ini.-Utusan Malaysia Online

Semangat Jang....semangat..... pertahankan hingga ke wisel penamat.... Jang memang boleh....
hoben..Jang...hoben....

Monday, October 25, 2010

Taktik menjadi

NS ketika menjadi juara piala FA2010
SELEPAS melepasi halangan separuh akhir kedua menewaskan Johor FC 2-0 untuk agregat 2-1 dalam aksi di Stadium JCorp Pasir Gudang kelmarin, kini fokus jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan terarah kepada misi berdepan Kelantan pada final Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dalam misi mempertahankan kejuaraan.

Beliau yang melahirkan rasa syukur kerana pemainnya berjaya menterjemahkan matlamat disasarkan menyifatkan kemenangan itu hasil komitmen berpasukan.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini walaupun kebanyakan yang membarisi skuad ini adalah pemain muda yang masih cetek pengalaman namun mereka berjaya menunjukkan peningkatan memberangsangkan sehingga membawa pasukan ke final,” katanya semalam.

Bagaimanapun katanya, tugas pasukan masih belum selesai kerana cabaran lebih besar bakal menanti bertemu Kelantan pada saingan kemuncak Sabtu ini. dan setiap pemain perlu terus fokus kepada misi mempertahankan kejuaraan.

Menurutnya, walaupun Negeri Sembilan berjaya menewaskan Kelantan musim lalu, ia tidak sama cabaran yang akan dihadapi skuad bimbingannya itu kali ini, kerana mereka yang membarisi skuad Red Warriors kali ini berbeza dan lebih mantap.

“Kelantan miliki ramai pemain berpengalaman terutama di barisan depan seperti Akmal Rizal, Norshahrul, Norfarhan, Hairudin dan Indra Putra, berbanding Negeri Sembilan yang lebih berharap kepada penyerang muda selepas ketiadaan Mohd Zaquan Adha.

“Malah ramai pihak meramalkan Kelantan lebih berpeluang menjuarai Piala Malaysia kali ini, tambahan pula selepas melihat kebangkitan mereka lakukan ke atas Selangor,” katanya.-myMetro

X pa Jang....kita hayun yo.....kalah monang lain cito eh..... apo yg ponting main boto2... bola tu bulat.....sapo2 pun boleh monang..... kiro rojoki la....

Sunday, October 24, 2010

Kelantan, NS ulangi final

PEMAIN-pemain Kelantan meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 1-0 pada pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam


KUALA LUMPUR - Bagaikan ulangan perlawanan akhir tahun lalu, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi bertemu pada pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil, 30 Oktober ini.

Jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-78 ekoran kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias sudah cukup buat skuad Red Warriors menyingkirkan Kedah dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Gol tersebut membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut menyebabkan stadium bertukar menjadi gegak gempita dengan sorakan padu lebih 20,000 penyokong fanatik tuan rumah.

Kehadiran semula Norshahrul dalam kesebelasan utama Kelantan ternyata membawa masalah kepada pasukan pelawat apabila merencanakan hampir setiap serangan Red Warriors.

Norshahrul hanya memerlukan tempoh empat minit untuk menguji gawang Kedah, namun percubaannya pada minit ke dua terkena tiang gol sebelum satu lagi rembatan kaki kirinya melebih palang gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Percubaan pertama Kedah hadir seawal minit ke-11 melalui Mohd. Faizal Abu Bakar, namun sepakan leret diambilnya singgah di sebelah kanan gawang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas asakan bertali arus, Norshahrul akhirnya menjadi pemusnah apabila sepakan sudut yang diambilnya melencong masuk ke dalam gawang dan gagal dibaca dengan baik oleh Mohd. Helmi yang tertumbuk ke dalam gawang sendiri.

''Kemenangan ini saya hadiahkan kepada semua penyokong setia Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami.

''Mungkin ketiadaan saya dalam dua perlawanan ekoran penggantungan memberikan kelebihan kepada saya untuk beraksi baik membantu Kelantan mendapatkan gol,'' katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan bangkit menebus maruahnya yang tercalar di Paroi minggu lalu untuk mengatasi Johor FC 2-0 di gelanggang lawan apabila mara dengan kelebihan agregat 2-1.

Kemenangan itu melayakkan pasukan Negeri Sembilan ke Bukit Jalil buat kali kedua berturut-turut sekali gus menghancurkan harapan Sang Lebah untuk beraksi buat pertama kali.

Jaringan pertama disumbangkan oleh Mohd. Shukor Adan pada minit ke-36 melalui satu tandukan yang menerjah gawang lawan.

Gol kedua dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-60 separuh masa kedua melalui tendangan penalti selepas S. Kunalan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad Lebah semakin hilang punca apabila pemain pertahanan mereka, Mohamad Izuan Jarudin dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan juga tergendala selama dua minit pada minit ke-84 apabila penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang gara-gara membantah keputusan pengadil, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.-Utusan Malaysia Online

Hai bertemu lagi dua pasukan ini.....agak2 kecoh x kat stadium nanti.  Wahai abang2 FRU.....bersedialah utk tingkatkan keselamatan kami penonton2 yg benar2 cintakan bolasepak tempatan.

Saturday, October 23, 2010

Indonesia akui seksa Papua



JAKARTA 22 Okt. - Indonesia hari ini mengaku anggota tenteranya melakukan penyeksaan terhadap penduduk Papua dengan memukul dan menghina mereka seperti yang terpampang dalam video yang diedarkan secara dalam talian, serta berjanji untuk menyiasat kes itu.


Anggota tentera Indonesia mencucuh bara kayu ke atas kemaluan seorang tahanan dan mengugut seorang lagi dengan pisau semasa disoal siasat mengenai tempat penyembunyian senjata, menurut video tersebut.

''Berdasarkan laporan awal, kami mendapati tentera kami telah bertindak melampau semasa mengendalikan orang yang ditahan,'' kata Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Djoko Suyanto kepada pemberita hari ini.

"Apa yang mereka lakukan adalah tidak profesional," katanya.

Video tersebut mendatangkan kecaman antarabangsa terhadap dakwaan amalan menyeksa dan mendera para aktivis dan orang awam di wilayah bergolak Indonesia seperti Papua dan kepulauan Maluku.

Badan-badan hak asasi manusia termasuk Amnesty International menuntut Indonesia agar menyiasat dan menghukum tenteranya yang dikenal pasti dalam video tersebut.

Suyanto berkata, tentera yang didakwa terlibat dalam insiden itu pada Mei di wilayah Punjak Jaya di timur provinsi Papua, akan 'diuruskan dengan peraturan ketenteraan'.

"Ia telah mengundang perhatian umum dan dunia. Kita akan menyelesaikannya dengan cara sewajarnya,'' ujar beliau. - AFP-Utusan Malaysia Online

Kata org M'sia yg jahat.... org dia pun dua kali lima jugak.... kalau dah namanya manusia... mana ada yg sempurna.... jgn asyik nak menyalahkan org negara lain. Bak kata pepatah cermin diri dulu baru ngata org.... Dasar bangsa x tahu mengenang budi..... dah tolong digigitnya kita balik..... hah! sekarang macam mana tentera kamu lagi sadist.....

Friday, October 22, 2010

Geram kena pintas

KOTA BHARU: Gara-gara tidak berpuas hati kenderaan dinaiki dipotong kenderaan lain, seorang anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan berkenaan hingga terkena punggung kiri seorang penumpangnya dalam kejadian di Batu 2, Jalan Kuala Krai, dekat Bunut Payung, semalam.


Kejadian jam 1 tengah malam menyebabkan mangsa berusia 20 tahun dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) oleh dua rakannya sebelum menerima rawatan pesakit luar.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Machang menuju bandar ini untuk menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Bunut Payung.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kenderaan berkenaan memotong Perodua Kelisa dinaiki dua anggota polis di laluan sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata, sejurus kemudian kereta dinaiki anggota terbabit bertindak mengekori kenderaan mangsa bersama rakannya hingga ke Bunut Payung.


Menurutnya, anggota polis terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke arah Perodua Kancil itu sebelum terkena seorang penumpang hingga memaksa pemandunya memberhentikan kenderaan di kawasan berkenaan.

“Selepas kedua-dua kenderaan berhenti, seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum kedua-dua kenderaan termasuk kenderaan mangsa beredar dari kawasan itu.


“Selepas kejadian itu, rakan mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran. Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan, Perodua Kelisa itu milik seorang anggota polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Katanya, berikutan kejadian itu, mangsa dihantar dua rakannya ke hospital akibat cedera di punggung kiri dipercayai terkena tembakan dilepaskan anggota polis itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, anggota polis berkenaan dan rakannya dikatakan datang ke bandar ini kerana terbabit dalam satu kes perbicaraan.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mengenal pasti seorang daripada anggota terbabit berusia 28 tahun manakala seorang lagi belum dikenal pasti dan mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang.

“Berikutan kes itu, kami menghubungi Ketua Polis Pahang mengambil tindakan disiplin terhadap anggota terbabit. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. - sumber my Metro

Alamak! member dah salah guna kuasa ni.....suka2 nak tembak orang.... ni yg x syok ni... disebabkan dia, dah rosak nama anggota lain.... menambahkan persepsi serong terhadap PDRM.... aduhai....
Related Posts with Thumbnails

heratBeat